Menu

 

A+ A A-

KEUTAMAAN TIDUR AWAL SELEPAS ISYAK

Ditulis oleh 

SAYA pernah membaca kenyataan Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam buku Aku dan Ikhwan al-Muslimin: “Televisyen banyak merosakkan umat Islam akhir zaman terutama sekali untuk ibadah malam.”

Rasulullah s.a.w. tidak suka melewatkan solat Isyak, tidak suka tidur sebelumnya dan tidak suka berbual kosong sesudahnya. Ada sebuah hadis yang bermaksud: “Baginda melarang tidur sebelum Isyak dan berbual kosong sesudahnya.” (Riwayatal-Bukhari)

Berbual kosong selepas Isyak merupakan kebiasaan buruk Musyrikin Quraisy pada zaman Nabi. Firman Allah yang bermaksud: “Mereka dengan keadaan sombong angkuh mendustakannya (al-Quran) serta mencacinya dalam perbualan pada malam hari.” (Surah al-Mu’minun 23: 67)

Kesimpulan Dan Pengajaran:

Dalam buku tersebut, Dr. Yusuf menceritakan bahawa antara bulan Ramadan terbaik dalam hidupnya adalah ketika beliau berada di dalam penjara Mesir setelah ditahan oleh pihak berkuasa atas tuduhan menentang kerajaan secara kekerasan kerana terlibat dengan perjuangan jemaah Ikhwan al-Muslimin. Pada bulan Ramadan tersebut, beliau dan tahanan al-Ikhwan yang lain terus tidur sesudah Isyak dan bangun beribadah sepanjang malam.

Sunnah tidur awal tidak dapat diikuti oleh kebanyakan umat Islam moden kerana tertarik hati dengan rancangan televisyen seperti perlawanan bola sepak, drama dan sebagainya. Baginda s.a.w. tidak suka tidur sebelum Isyak kerana risau akan terlepas solat Isyak. Cakap kosong selepas Isyak pula bakal mendedahkan seseorang kepada dosa baru dan merosakkan catatan amalan yang dipegang oleh dua malaikat Raqib dan Atid.

Sepatutnya solat Isyak menjadi penutup amalan harian yang baik sebelum tidur. Tanpa perbualan kosong atau aktiviti yang tidak berfaedah, rekod harian bakal ditutup dengan pengampunan Allah daripada solat Isyak! Tambahan pula bersembang kosong atau menonton televisyen akan melewatkan tidur dan tidak membantu untuk berqiamullail.

Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Read 9041 times
Abdullah Bukhari Abdul Rahim

Sarjana Usuluddin (Tafsir al-Quran), UM. Kini pensyarah Jabatan Tilawah al-Quran, Pusat Bahasa, UIAM. Tulisan beliau kerap tersiar di akhbar Utusan Malaysia dan Berita Harian. Tumpuan penulisan beliau ialah kefahaman dan interaksi dengan al-Quran. Dekati beliau di abdullahbukhari.blogspot.com. 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.