Menu

 

A+ A A-

HANTU OH HANTU

Hantu Boleh Memudaratkan Manusia?

PADA asalnya saya memang tidak percaya bahawa hantu boleh mengapa-apakan manusia sehingga membunuh sebagaimana yang disogokkan dalam drama hantu. Namun apabila berlaku tragedi adik saya yang tersesat di dalam hutan, saya berfikir semula. Mungkinkah hantu boleh memudaratkan manusia?

Untuk pengetahuan ustaz, mereka tersesat kerana mencari salah seorang rakan mereka yang hilang. Mereka mengikut-ikut suara rakannya itu yang meminta tolong seolah-olah telah jatuh ke dalam gaung. Walhal rakannya itu hanya berpisah daripada kumpulan kerana ingin membuang air kecil sahaja.

RINGKASNYA: Tidak sama sekali!

HURAIAN: Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, hantu itu hanyalah perserupaan yang dilakukan sama ada oleh iblis, jin ataupun syaitan. Rasulullah s.a.w. pernah ditanya tentang hantu, maka Baginda bersabda yang bermaksud: “Mereka ialah tukang sihir daripada kalangan jin.” Sanad riwayat ini sangat lemah (da‘if jiddan). Namun begitu, hal ini tidaklah menafikan apa yang dikhabarkan oleh sahabat Nabi, Jabir r.a. bahawa Baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Tidak ada wabak penyakit, kesialan dan hammah (ada yang mentafsirkannya roh orang yang mati yang menjelma burung atau sebutan orang melayu sebagai hantu).” (Riwayat Muslim)

Rasulullah bukan menafikan kewujudan perkara tersebut, sebaliknya Baginda ingin menafikan anggapan atau kepercayaan bahawa ada perkara lain selain Allah yang juga boleh memberi mudarat dan manfaat.

hantu-oh-hantu-1

Hantu Padang Pasir

Masyarakat Arab ketika itu mempercayai bahawa hantu boleh menyesatkan manusia yang sedang bermusafir di tengah-tengah padang pasir. Imam al-Nawawi rhm. mengulas: “Jumhur ulama berkata bahawa orang Arab mempercayai bahawa ada hantu di padang pasir. Ia sebenarnya sejenis syaitan yang menampakkan diri untuk menakut-nakutkan manusia sehingga mereka tersesat dan kemalangan. Oleh sebab itu, Nabi s.a.w. memusnahkan kepercayaan tersebut.

Justeru sabda Rasulullah “la ghula” yang bermakna tidak ada hantu itu bermaksud ia tidak dapat menyesatkan seseorang. Hal itu dikuatkan oleh hadis lain yang bermaksud: “Tidak ada hantu, namun ia hanya al-sa’ali (tukang-tukang sihir daripada kalangan jin).”

Menurut para ulama, jin juga mempunyai tukang sihir dalam kalangan mereka yang dapat mengelabui mata dan membuat khayalan.” (Sahih Muslim dengan Sharh al-Nawawi)

RUMUSAN: Yakinlah bahawa tidak kira iblis, jin mahupun syaitan yang menjadi hantu sama sekali tidak mempunyai kuasa untuk memudaratkan manusia. Sesungguhnya manfaat dan mudarat ialah hak mutlak yang datang daripada Allah. Tambahan lagi, Rasulullah s.a.w. mengajar kita al-mu‘awwizat (ayat-ayat al-Quran sebagai pelindung diri) seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas yang mampu memelihara diri kita daripada gangguan jin dan syaitan.

hantu-oh-hantu-2

Hantu Takut Manusia

Saya tahu bahawa kita tidak patut takut kepada hantu. Namun jujurnya perasaan itu tetap ada. Bolehkah ustaz berikan sedikit “motivasi” supaya saya dapat hilangkan perasaan itu.

Jawapan:

Hakikatnya, iblis, jin dan syaitan sangat takut kepada manusia. Hairan sungguh jika manusia pula yang takut kepada mereka yang menjelma menjadi hantu. Diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya daripada Mujahid, beliau berkata: “Ketika aku melakukan salat pada suatu malam, tiba-tiba berdirilah satu makhluk seperti kanak-kanak di hadapanku. Lalu aku mengejar untuk menangkapnya. Ia pun berdiri dan melompat ke balik dinding sehingga aku mendengar bunyi ia terjatuh. Ia tidak kembali lagi setelah kejadian itu.”

Mujahid turut berkata: “Sesungguhnya mereka (jin) takut kepada kalian sebagaimana kalian pun takut kepada mereka.” Sambung beliau lagi: “Syaitan itu lebih takut daripada sesiapa sahaja kamu. Apabila ia menampakkan diri kepada kalian, maka janganlah kalian takut sehingga ia dapat menguasai kalian. Akan tetapi bersikap beranilah kepadanya, nescaya ia akan pergi.” (Akam al-Marjan, hlm. 137)

Mujahid turut berkongsi pengalamannya: “Syaitan kerap menampakkan dirinya ketika aku ingin solat dalam rupa Ibn Abbas. Kemudian aku teringat pesanan Ibn Abbas, lalu bersiap sedia dengan sebilah pisau. Tatkala ia kembali menjelma, aku terus menusuknya. Ia pun jatuh tersungkur. Setelah itu, aku tidak pernah melihatnya lagi.” (Akam al-Marjan, hlm. 166)

Jelas sekali bahawa generasi salafussoleh tidak pernah menjadikan “hantu” sebagai sesuatu yang ditakuti. Malah iblis, jin dan syaitan hanyalah makhluk ciptaan Allah s.w.t. yang tidak mempunyai apa-apa kuasa dan kelebihan jika dibandingkan dengan iman dan takwa yang menjadi pakaian Mukmin.

Kesimpulannya, sebagai seorang Muslim, kita dituntut untuk beriman kepada perkara-perkara ghaib. Oleh sebab itu, percaya dengan kewujudan iblis, jin dan syaitan termasuk dalam keimanan terhadap perkara ghaib.

Walau bagaimanapun, kita tidak dibenarkan berlebih-lebihan untuk mengkaji, merekayasa atau menokok tambah perkara-perkara ghaib sehingga membawa kepada syirik, khurafat dan tahyul. Memadailah bagi kita apa-apa yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w.

Wallahu a‘lam.

Mohd Aizam Mas‘od
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 4


Mohd Aizam Mas‘od

Sarjana Muda Usuluddin Universiti Al al-Bayt, Jordan. Sarjana Usuluddin dan Pemikiran Islam, UIAM. Pernah bertalaqqi dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Syu‘aib al-Arna‘ut (ulama tahkik terkenal) dan Prof. Dr. Abdul Qadir al-Sa‘di. Beliau pakar dalam kajian aqidah dan aliran sesat. Kini merupakan Penolong Pengarah Bahagian. Penyelidikan (Aqidah), JAKIM. Dekati beliau di mufakkir-islami.blogspot.com.

Artikel berkaitan: « DI MANA ALLAH? INGAT ALLAH »
Kembali ke atas