Menu

 

A+ A A-

UNTAIAN HIKMAH IBN ATA’ILLAH

PERTAMA kali mendengar syarahan kitab al-Hikam, saya terus tertarik padanya. Mohon ustaz dapat menjelaskan maksud salah satu hikmah yang terdapat dalam kitab itu yang berbunyi: “Sebahagian tanda (kuatnya) bergantung pada amal perbuatan adalah kurangnya perasaan berharap (pada Allah) ketika berlaku kesilapan.”

Al-Hikam ialah kitab karangan al-Imam Ahmad Ibn Ata’illah al-Sakandari yang wafat sekitar tahun 658 H. Kitab tersebut begitu masyhur di seluruh ceruk rantau timur dan barat dunia Islam. Jawapan yang saya sampaikan ini bukanlah semata-mata capaian akal daif saya, bahkan ia perahan ilmu daripada himpunan pemahaman para pengulas kitab al-Hikam yang mampu saya kumpulkan.

Pada kalam hikmah di atas, Ibn Ata’illah ingin menegaskan satu perkara yang amat penting bagi mereka yang ingin menempuh perjalanan kerohanian menuju Allah. Perkara tersebut ialah pergantungan hati kita pada Allah yang disebut dalam istilah sufi sebagai raja’.

Untaian-hikmah-ibn-ataillah-1

Benar, sebahagian pensyarah hikmah mengatakan bahawa maksud yang tersirat di sini berkaitan dengan amal. Namun sebahagian mereka memahami bahawa pokok cerita berlakunya kekuatan bersangkut pada amal itu berpunca daripada raja’.

Raja’ kerap kali diperbincangkan dalam kalangan ahli sufi lantaran kepentingannya yang amat maksimum dalam perjalanan kerohanian. Raja’ yang bermaksud pengharapan digandingkan bersama khauf (takut) dalam perbincangan sufi. Pembentukan, tabiat dan kesan perjalanan rohani banyak bergantung pada raja’.

Raja’ sebagaimana yang diertikan oleh kaum sufi ialah pengharapan sepenuh hati pada ihsan dan rahmat Allah dalam menunaikan perintahnya (melakukan suruhan dan meninggalkan larangan). Kesan langsung daripada kurangnya pemahaman yang mendalam terhadap raja’ menurut Ibn Ata’illah dapat dikesan pada kuatnya kita bergantung pada amal sama ada zahir atau batin.

Kesimpulan langsung ini secara jelas memberikan gambaran tentang betapa pentingnya pemahaman raja’ menurut kaum sufi dalam menghabiskan umur di dunia ini berlandaskan perjalanan hati.

Landasan hikmah

Apakah sandaran kalam hikmah ini yang boleh kita dapati daripada al-Quran dan sunnah?

Firman Allah yang bermaksud: “Jangan berputus asa daripada (mengharap) rahmat Allah. Sesungguhnya tiada yang berputus asa daripada rahmat Allah kecuali orang kafir.” (Surah Yusuf: 87)

Ayat ini menjelaskan bahawa lawan bagi sifat raja’ iaitu sikap berputus asa. Sikap ini menyebabkan wujudnya sifat mendatang yang lebih parah (iaitu kufur). Justeru mengharap belas kasihan Allah ialah satu sikap terpuji di sisi-Nya. Secara tidak langsung, istilah raja’ ini bukanlah semata-mata rekaan sufi dalam ilmu tasawuf sekaligus menolak dakwaan bahawa ilmu ini bukannya berasal daripada al-Quran dan sunnah.

Cara Menggapai Sifat Raja’

Bolehkah dijelaskan dengan lebih terperinci cara untuk melahirkan sifat ini dalam diri?

Tanda-tanda wujudnya pengharapan adalah wujudnya taat yang murni (ibadat yang murni daripada pengaruh nafsu). Sumber yang menjadi penggerak utama dalam mewujudkan tanda kehidupan raja’ ini bertunjangkan pengetahuan (akidah) tentang kekuasaan Allah dengan sifat-Nya: Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Bijaksana, Maha Pengampun, Maha Mengetahui dan sebagainya.

Berdasarkan pengetahuan (akidah) yang mendalam ini, maka ia akan menerbitkan rasa bertuhankan Allah lalu lahir pula rasa takut dan sekaligus wujud pengharapan. Lalu rasa kehambaan makin menebal dan sifat ketuhanan bertambah jelas pada akidah kita. Buangkan bayangan nafsu keakuan yang bersarang dalam hati dan semailah benih-benih kehambaan dalam diri. Benih hamba yang hina bertuhankan Allah itu perlu disemai dengan baja zikir, memanfaatkan waktu untuk ibadat (muraqabah) dan memaksimumkan koreksi diri (muhasabah) bagi mengelak serangan “nafsu keakuan” yang mendorong supaya lebih bertaut pada amalan sama ada zahir ataupun batin seseorang yang ingin berjalan kepada Allah.

Carilah ilmu yang membawa kita ke arah ini, kuatkan harapan kita pada Allah, jangan berputus asa sambil berdoa pada Allah agar dikurniakan rujukan daripada kalangan solihin yang lebih mampu menerangkan pemerolehan kehidupan raja’ ini secara lebih praktikal berbanding kertas dan dakwat yang semestinya kaku dan kelu dalam mentafsirkan perjalanan rohaniah ini.

Mengamalkan Hikmah Ini

Bagaimana cara untuk saya menterjemahkan kalam hikmah ini dalam kehidupan?

Setiap perlakuan dan kesan amalan zahir serta batin perlu dihubungkaitkan dengan Allah yang bersifat dengan segala kemuliaan dan kesempurnaan. Bila Allah menyebut dalam al-Quran dan menyatakan kepada Nabi-Nya bahawa Dialah yang berkuasa, pentadbir setiap sesuatu dan sebagai tempat pergantungan, maka siapa lagi yang perlu digantungkan pengharapan selain daripada-Nya?

Hubung kait tersebut hanya mampu diperoleh daripada kefahaman akidah ketuhanan yang jelas lagi menyendiri dalam jiwa tulus seseorang hamba Allah. Mereka yang memahami akidah sebegini dengan betul akan mudah sahaja mempraktikkan raja’ dalam perjalanan kerohanian mereka. Hati mereka bergantung pada Allah sedang amalan zahir mempamerkan sifat hamba salih di muka bumi. Baik dan buruk terhasil daripada amal perbuatan zahir dan batin langsung dikaitkan pula dengan kehendak serta kekuasaan Allah.

Apabila dia sudah mencapai tahap itu, maka perasaan dan tekanan hati mereka tidak lagi bermasalah dengan amalan (tidak lagi bergantung pada amalan). Kesenangan mereka dipandang sebagai kurniaan Allah, kesusahan dikira ujian Allah. Jika begitu keadaannya, damailah hati dengan-Nya, insya-Allah.

Ustaz Abdul Muhsien Sulaiman

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Abdul Muhsien Bin Sulaiman

Felo Akademik di Fakulti Pendidikan Universiti Malaya. Mendapat pendidikan di Ma’had Muhammadi Lilbanin, Madrasah Rahmaniyyah Pasir Mas dan Universiti Malaya. Tumpuan penulisan beliau kebanyakannya dalam bidang Pendidikan Islam dan Tasawwuf Islam.

Kembali ke atas