Menu

 

A+ A A-

Ritual Tanpa Spiritual

  • Ditulis oleh 
  • Read 64018 times

SEORANG ketua sami tinggal di dalam sebuah kuil besar dengan seekor kucing kesayangannya. Kedua-duanya sangat akrab. Ke mana sahaja ketua sami pergi, si kucing akan ikut bersama. Namun, keadaan ini menimbulkan sedikit masalah, terutamanya apabila si ketua sami sedang menyembah berhala besar di tengah-tengah kuil tersebut. Konsentrasinya sering terganggu apabila kucing kesangannnya itu menggesel dan mengelus-ngelus di sisinya.

Setelah berfikir panjang mencari jalan penyelesaian, akhirnya ketua sami mendapat satu idea. Setiap kali dia melakukan penyembahan, dia mengikat si kucing di sebatang tiang di tepi kuil. Begitulah hari demi hari, minggu demi minggu, dan bulan demi bulan, ketua sami akan mengikat kucing kesayangannya di tiang yang sama semasa upacara penyembahan. Perlakuan ketua sami itu sangat diperhatikan oleh pengikut-pengikutnya.

Beberapa tahun berlalu, ketua sami meninggal dunia. Ketua sami yang baru pula dilantik. Begitu pun, setiap kali ketua sami yang baru hendak mengepalai upacara penyembahan, beliau akan mengikat kucing yang sama pada tiang yang sama juga. Tidak berapa lama, kucing itu pula mati. Ironisnya, ketua sami yang baru ini mencari kucing lain sebagai pengganti, dan diikat juga pada tiang yang sama setiap kali penyembahan berhala.

Begitulah rutin itu berlaku, tahun demi tahun. Kucing dan ketua sami datang dan pergi, silih berganti. Akhirnya terciptalah satu ritual dalam agama tersebut; setiap kali ketua sami akan mengetuai penyembahan berhala, dicari terlebih dahulu seekor kucing untuk ditambati pada tiang kuil!

PENGAJARAN: Sering berlaku dalam ajaran mana-mana agama (termasuk Islam), amalan ritual dengan nilai spiritual telah terlindung oleh sikap ‘taklid’ secara membuta-tuli. Penganut di belakang hari kerap menjadi pak turut tanpa mengerti sebab dan tujuan amalan tersebut. Tanpa disedari agama bertukar menjadi budaya dan syariat dianggap adat.

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No. 2


 

Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Artikel berkaitan: Obsesi Diri »
Kembali ke atas