Menu

 

A+ A A-

PENYERU BUKAN PENGHUKUM

Saya melihat kesedaran untuk berdakwah sudah ada dalam masyarakat. Banyak laman dakwah mudah didapati dalam Internet. Pada masa yang sama saya kurang selesa dengan sesetengah laman dakwah yang mengkafirkan orang lain yang tidak sependapat dengan mereka. Ia menimbulkan suasana tidak harmoni. Apa pandangan ustaz mengenai perkara ini?

Pendakwah seharusnya diberi peringatan preventif agar sedaya upaya tidak terjebak dengan ekstremisme takfir, suatu keterlanjuran yang sering kali berlaku di kalangan aktivis Islam. Perkara itu pernah berlaku kepada kelompok Jama’atul Takfir wal Hijrah, suatu aliran yang terbentuk di tengah-tengah suasana tribulasi pahit ‘brutal’ yang amat dahsyat. Mereka membuat reaksi mengkafirkan masyarakat sekeliling yang dianggap jahiliah. Ketika menjalani tribulasi tersebut, kebanyakan mereka telah terpisah dari pimpinan lantas membuat keputusan sendiri. Secara umumnya, fenomena takfir timbul berlatarbelakangkan keadaan dan suasana tertentu seperti:

1. Wujudnya jurang kontradiksi yang amat menjolok antara realiti masyarakat yang serba bejat dengan idealisme Islamiah yang serba unggul. Jurang luas itu menimbulkan rasa kecewa yang mendalam di kalangan generasi muda yang idealis. Juga rasa kecewa yang membawa kepada sikap menolak masyarakat yang di luar kelompok sendiri.

2. Penindasan yang keterlaluan dari pihak pemerintah ke atas aktivis-aktivis Islam, penindasan melampau yang menimbulkan reaksi melampau dari pihak yang dimangsakan.

3. Kadangkala ilmu para aktivis Islam itu sendiri tentang hukum hakam serta kaedah-kaedahnya, kedangkalan yang meledakkan keberanian melulu dalam menghukum dan melabel orang lain.

 

Perlu Realistik

kafir 1Perlu ditegaskan bahawa pendakwah yang realistik tidak selesa mendukung pendekatan takfir dalam melaksanakan tugasan dakwahnya. Sikap dan fikrah di balik ungkapan penuh hikmat du’ah la qudah’ (dai bukan hakim), menjadikan pendakwah kembali fokus kepada peranannya iaitu menyeru, menyampai, mengubati dan mendidik. Yang sesat diberi petunjuk, yang berdosa diajak bertaubat, yang jahil dibimbing dan yang kafir diislamkan. Tugas hakim jauh berbeza dari tugasan dai.

Hakim harus menyelidiki hakikat dan kedudukan sebenar seseorang yang dihadapkan kepadanya dalam keadaan tertuduh dan setelah itu membuat keputusan sama ada membebaskan atau menghukumnya. Sebenarnya, kita tidak berseorangan dalam mengambil pendekatan ini. Pandangan senada juga ada dianjurkan oleh gerakan-gerakan Islam dunia termasuklah gerakan Ikhwan al-Muslimin. Pengasas dan pemimpin besarnya, Imam Hassan al-Banna telah membuat penegasan menerusi Risalah at-Ta’limnya: “Jangan sesekali mengkafirkan seseorang Muslim yang telah berikrar mengucapkan dua kalimah syahadah dan beramal dengan segala kehendak- Nya, melainkan apabila berikrar mengaku sebagai seorang kafir atau mengingkari sesuatu hukum agama yang nyata, mendustakan al-Quran atau memberi tafsiran yang terkeluar dari maksud sebenar menurut kaedah bahasa Arab atau melakukan sesuatu perbuatan yang jelas membawa syirik dan kufur.”

Penjelasan selanjutnya mengenai persoalan ini kemudian telah dibuatoleh beberapa tokoh ulama dalam penulisan mereka apabila fenomena yang mencemaskan ini akhirnya berlaku jua sebagai suatu penyimpangan dari arus perdana pendakwah sejati. Antara tokoh ulama tersebut seperti Syeikh Hassan al-Hudaybi membicarakan dalam “Du’at la Qudat”, as-Sheikh Mustafa Masyhur dalam “Tariq ad- Da’wah” dan Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam “Zahirat al-Ghuluw fi al-Takfir”.

 
Implikasi Menafikan Keislaman
 
Sebagai pendakwah, tanggungjawab kita hanyalah menyeru, bukan menghukum. Penentuan kedudukan akidah seseorang bukan tanggungjawab individu tetapi menjadi tanggungjawab pemerintah yang melaksanakan syariat Allah kerana setiap golongan Muslim, zimmi dan murtad, masing-masing menerima layanan yang berbeza-beza. Mengkafirkan seseorang Muslim mempunyai implikasi yang amat besar, penafian keislaman seseorang membawa kepada penafian dan pencabulan terhadap hurumat (perkara-perkara yang menjadi hak seseorang Muslim ke atas Muslim yang lain) iaitu darah, harta benda dan kehormatannya. Rasulullah pernah marah dengan tindakan Usamah bin Zaid yang membunuh seorang lelaki yang baru sahaja mengucap dua kalimah syahadah dalam satu pertempuran di Juhainah dengan alasan ucapan syahadah lelaki itu hanya suatu helah demi menyelamatkan lehernya dari dipenggal. Rasulullah menyoal Zaid: Apakah engkau telah membelah dadanya (hinggakan engkau tahu niat sebenarnya)?” (Riwayat Muslim). Moga budaya takfir ini dijauhkan dari arus dakwah tanah air kita.
 
Wallahu a‘lam.
 
 
 
 
Ustaz Badli Shah Alauddin
 
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.12

 
Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas