Menu

 

A+ A A-

SEKULARISME TIADA TEMPAT DALAM POLITIK ISLAM

MENGAPA Barat bersungguh-sungguh menaja ideologi sekularisme kepada seluruh negara lain termasuk negara Islam?

Antara ideologi yang dibawa oleh Barat untuk “membangun”kan masyarakat dunia ialah melalui pakej “modernity” (kemodenan). Hakikatnya mereka menyeru kepada fahaman sekularisme versi positivisme. Sebenarnya hal ini amat berkait rapat dengan sejarah gelap Eropah yang menyaksikan penyalahgunaan kuasa atas nama agama.

Zaman Kegelapan Eropah

Pada masa itu, rakyat ditindas dan dizalimi oleh pihak penguasa dan gereja atas nama agama. Mereka dianggap pemerintah yang mempunyai kuasa “suci” dengan restu Pope (ketua gereja Kristian Katolik sedunia). Rakyat jelata sama ada petani, hamba, peniaga ataupun tentera merupakan kasta terendah. Merekalah sumber pendapatan pihak pemerintah dan penguasa kawasan. Rakyat Eropah pada waktu itu hidup pada zaman yang digelar sebagai “Dark Ages” (zaman kegelapan).

Mereka terpaksa akur dengan strata sosial tersebut atas nama agama dan kepatuhan kepada Tuhan. Segala kezaliman dan ketidakadilan istana dan gereja yang memungut cukai berlebihan dijustifikasikan atas nama agama.

Sekularisme “Dilahirkan”

Keadaan ini berterusan hinggalah kepada kebangkitan reformis Martin Luther dengan agenda Protestanism yang membawa ke zaman pencerahan Eropah. Maka bermulalah paradigma sekularisme dalam politik Eropah yang menyaksikan dikotomi antara agama dan politik negara. Ruang lingkup agama Kristian dikecilkan kepada urusan kepercayaan peribadi sahaja. Sementara itu politik negara mendominasi seluruh aspek kehidupan yang lain. Tempoh seribu tahun itulah (zaman kegelapan) yang menjadi igauan kepada dunia Barat hingga hari ini, lantas membentuk “worldview” mereka.

Politik Awal Islam

Bagaimana pula dengan realiti agama Islam dan pemerintahan di dunia Islam pada ketika itu?

Pengalaman buruk Eropah ini amat bertentangan dengan pengalaman masyarakat Islam. Semenjak hari pertama Nabi Muhammad s.a.w. dilantik menjadi ketua kaum Muslimin di negara kota Yathrib (yang kemudiannya digelar Madinah), ia menandakan satu prinsip yang jitu dalam ajaran Islam. W. Montgomery Watt dalam Muhammad: Prophet and Statesman memberikan ulasan yang menarik bahawa Islam telah meletakkan politik dan urusan pemerintahan sebagai sebahagian daripada ajaran Islam itu sendiri.

Manakala Ann Lambton dalam State and Government in Medieval Islam pula memberikan pandangan bahawa Islam telah meletakkan urusan pemerintahan sebagai salah satu cabang syariah ataupun hukum tuhan. Hal inilah yang membezakan antara dogma “gereja-istana” dengan politik syariah ataupun politik Islam. Dalam Islam tidak ada konsep seumpama autoriti kegerejaan atau penguasa gereja. Dalam Islam, pihak pemerintah juga bukannya wakil Tuhan atau seseorang yang mempunyai kuasa kesucian atas nama Tuhan.

Realitinya selepas kewafatan Nabi Muhammad, para pemimpin umat Islam hendaklah dipilih daripada kalangan rakyat. Mereka yang dilantik pun tidak memiliki kuasa mutlak ataupun mempunyai kekebalan. Pendek kata, agama tidak dimonopoli atau dimanipulasikan oleh pihak tertentu, tetapi dipelihara oleh setiap individu ummah. Tambahan pula, hanya orang yang mempunyai kelayakan untuk berijtihad dan memahami dalil sahaja yang mempunyai kelayakan untuk mentafsirkan agama. Namun ia bukan tiket untuk menjadikan mereka maksum dan bebas daripada kesilapan. Apa yang penting, semua manusia itu sama dari segi hak dan tanggungjawabnya dalam kerangka politik.

Agama Dalam Politik Islam

Jelas sekali Islam tidak dipergunakan dalam politik oleh penguasa Islam. Adakah ini juga bermakna agama tiada tempat dalam urusan politik kenegaraan?

Tidak benar sama sekali. Bahkan agamalah pemantau terhadap politik kenegaraan. Maka tidak hairanlah dalam sejarah umat Islam yang berusia lebih 1400 tahun, agama mempunyai peranan dan hubungan rapat yang istimewa dengan politik. Pertama, institusi politik berperanan sebagai penyebar dan penjaga agama daripada dicemari. Namun ia sekali-kali bukannya pentafsir dan juga penguasa mutlak agama untuk menzalimi rakyat.

Keduanya, agama sering dijadikan ruang berlindung oleh rakyat dalam usaha mereka untuk berhadapan dengan institusi politik (dawlah - state), seumpama ruang masyarakat sivil. Hal ini bertambah nyata selepas Imam al-Syafi‘I menggariskan bahawa hanya para mujtahid sahajalah yang berhak menjadi pihak berkuasa agama melalui institusi wakaf demi menghalang pihak istana daripada mempergunakan agama. (Tamimi, hlm. 194-5)

Maka, jika pihak istana berlaku zalim, pihak wakaf ataupun para ulama yang mewakili rakyat akan segera berhadapan untuk mengkoreksi para penguasa istana. Pendek kata, agama telah dijadikan tema agar pihak pemerintah menggunakan mekanisme yang mereka syorkan supaya keadilan akan tetap terpelihara. Kitab al-Kharaj karangan Abu Yusuf, kitab al-Amwal karangan Abu Ubaid, kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah karangan al-Mawardi dan al-Farra, kitab al-Ghiyathi karangan al-Juwayni, kitab al-Siyasah al-Syar‘iyyah karangan Ibn Taimiyah adalah antara karya yang mempunyai tujuan seumpama ini.

Kesimpulannya, pengalaman buruk Eropah berkaitan keterlibatan agama dalam ruang pemerintahan tidak boleh menjadi alasan Barat untuk memaksa masyarakat dunia yang lain menerima pakai ideologi sekularisme.

Dr. Maszlee Malik
Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu No.5


Dr. Maszlee Malik

Sarjana Fiqah dan Usul Fiqah, Universiti Al al-Bayt, Sarjana UM. PhD, Universiti Durham dan pernah menjadi pensyarah di universiti tersebut. Kepakaran dan tumpuan begitu terserlah dalam kajian tentang politik Islam semasa. Aktif menulis dan antara buku beliau Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin dan Road To Beirut.

Kebanyakan bidang penulisan beliau adalah berkisar isu Palestin, isu umat Islam antarabangsa dan fiqh kontemporari. Sehingga kini, beberapa buah buku tulisan beliau sudah diterbitkan antaranya Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin, Aspek-Aspek Keislaman, Road To Beirut, Soal Jawab Remaja Islam, dan disertasi sarjananya yang bertajuk Hukum Talfiq Dalam Muamalat. Kini pensyarah UIAM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Artikel berkaitan: « DUA JENIS ILMU BAHASA DAKWAH »
Kembali ke atas