Menu

 

A+ A A-

KONSEP WASATIYYAH DAN TAJDID

APAKAH contoh dakwah yang dibawa oleh gerakan wasatiyyah?

Saya menukilkan beberapa prinsip dakwah yang dibina oleh Imam Yusuf al-Qaradawi sebagai lambang gerakan wasatiyyah iaitu:

 

 

• Mengutamakan dalaman lebih daripada luaran.

• Mengajak untuk beramal daripada hanya menunggu.

• Mengajak kepada ijtihad bukannya taklid bagi mereka yang mampu berijtihad.

• Mengajak kepada dakwah secara lemah lembut daripada bersikap kasar.

• Menyeru kepada perpaduan berbanding perpecahan.

• Mengutamakan isu pokok berbanding furuk.

• Mengutamakan akal dan ilmu dalam dakwah, bukannya emosi.

Bagaimana konsep wasatiyyah bagi wanita?

Terdapat dua tanggapan terhadap wanita iaitu golongan yang terlalu merendah-rendahkan golongan wanita sehingga menganggap kerja wanita hanya di dapur, melayan suami dan tidak ada fungsi dalam masyarakat. Manakala golongan kedua pula terlampau memuja wanita sehingga wanita boleh melakukan apa-apa sahaja sehinggakan wanita boleh menjadi imam dalam solat Jumaat.

Alhamdulillah, wasatiyyah Islam tetap berdiri atas prinsip keseimbangan yang sentiasa membawa kepada keadilan, kekuatan dan istiqamah. Dalam Islam, ia memberi hak kepada wanita dan memperakui kehebatan serta nilai mereka sehinggakan sekiranya mereka dibunuh pun, nilai mereka sama dengan lelaki.

Tetapi pada masa yang sama, hak kaum lelaki juga tidak dizalimi sehingga tidak berlaku kezaliman. Apabila membincangkan perkara ini, kita perlu memberi hak kepada setiap golongan baik lelaki ataupun wanita.

Justeru, al-Quran dan sunnah telah membicarakan perkara tentang wanita dengan penuh adil dan menepati realiti iaitu dengan meletakkan wanita sesuai di tempatnya dan sedikit pun tidak menyisihkan mereka daripada masyarakat.

Bagaimana pula dengan konsep tajdid?

Tajdid ialah konsep yang lazim dengan wasatiyyah. Tidak akan sempurna wasatiyyah melainkan dengan wujudnya tajdid. Tajdid adalah penambahan atas kekurangan, dan kecantikan atas kecacatan tanpa menyentuh dan merosakkan asas. Ia hanya berlaku kepada cabang dan furuk.

Tajdid merupakan tugas para ulama dan dibantu oleh umat Islam bagi mengembalikan kefahaman umat Islam yang salah kepada kefahaman yang betul, seterusnya membawa kepada pelaksanaan agenda al-Quran dan sunnah yang telah ditinggalkan oleh umat Islam.

Siapakah tokoh-tokoh mujaddid?

Sebenarnya ramai tokoh mujaddid untuk disebutkan. Cukuplah tokoh-tokoh yang disebutkan oleh Imam al-Suyuti rhm. dalam syairnya, antaranya Imam al-Syafi‘i, Imam al-Ghazali, Imam al-Rafi‘i, Imam al-Razi, dan Imam Ibn Daqiq al-‘Aid.

Mudah-mudahan ramai orang dapat mengkaji tokoh-tokoh yang disebutkan tadi bagi mengetahui rahsia kehebatan mereka.

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas