Menu

 

A+ A A-

USTAZ PONDOK VS USTAZ UNIVERSITI

DAKWAH merupakan tugasan kita yang termahal yang harus dikawal dan dipelihara dengan penuh rasa cemburu. Sebarang gejala yang boleh mencemarkan wajah dan citra dakwah harus ditentang dengan pertaruhan apa sahaja. Antara gejala tersebut ialah arus ganas gejala ekstrimisme yang melanda sebahagian kecil para pendakwah.

Seperti yang pernah saya ulaskan, antara kelemahan yang paling menonjol dan paling mengkhuatirkan dalam kalangan pendakwah selain daripada kekurangan pengalaman dan kedangkalan ilmu ialah persengketaan yang diakibatkan oleh kepelbagaian aliran pemikiran yang menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan juga matlamat.

Bahaya Ekstrimisme

Pendakwah sejati sewajarnya mempersiap diri menghadapi aliran arus ganas sifat-sifat golongan ekstrim ini. Antara yang boleh dikenalpasti adalah apabila wujudnya kecenderungan seseorang pendakwah dalam mengkultuskan wadah dan peribadi tokoh alirannya semata-mata, kesewenang-wenangan melabel pendakwah seagama sebagai jahil, sesat, taghut, munafik, kafir, murtad, batal syahadah dan bentuk-bentuk keceluparan lainnya, menggunakan kekerasan dan kekasaran (yang tidak kena pada tempat dan waktunya) dan meledakkan kekuatan sebelum waktunya.

Walaupun gejala ektremisme para pendakwah hanyalah sebesar nila setitik tetapi padah kerosakannya mungkin sampai sebelanga. Gejala-gejala seperti itulah yang selalu memberikan imej negatif terhadap Islam. Malah gara-gara gejala sedemikian itu jugalah – sebagaimana yang terbukti dalam sejarah – seringkali mengundang bahaya hingga terpukul hancurnya seluruh kekuatan Islam yang telah terbina dengan susah payah.

Wujud kecenderungan dalam kalangan pendakwah untuk melabelkan pendakwah lain dengan pelbagai gelaran seperti kelompok salafi, tradisional, ahli akademik, geng kerajaan, selebriti tv dan berbagai lagi. Wajarkah perkara sebegini wujud?

Adalah silap untuk para pendakwah yang gemar mengambil sikap memusuhi atau sinikal dengan orang yang tidak sealiran atau yang di luar lingkungannya. Sebaliknya wajar untuk kita sentiasa menaruh dan sekaligus meletakkan harapan hatta kepada mereka yang telah jauh terlanjur dalam kebejatan dan kesesatan sekalipun.

ustaz-pondok-vs-ustaz-universiti-1

Melabel Tidak Sudah-Sudah

Sudah-sudahlah memberi jenama dan label kepada pendakwah yang tidak sealiran atau tidak setaraf pendidikannya dengan kita. Setiap pendakwah ada kekuatan yang boleh dimanfaatkan secara bersama. Apa jua latar belakang pengajiannya, weltanschauung politiknya, perkhidmatannya sama ada sebagai pegawai kerajaan di jabatan agama atau penceramah bebas, selagi tidak terkeluar dari landasan Islam yang benar, maka ayuh sama-sama kita berpencak di gelanggang dakwah.

Ini bukan lagi zaman mengkelompokkan latar pengajian pendakwah kepada kategori lulusan tempatan atau lulusan luar negara. Sudah-sudahlah melabelkan pendakwah lain sebagai geng pondok, geng UKM, geng UM, geng UIA dan macam-macam geng lagi. Dalam kalangan graduan Timur Tengah pula, kedengaran sayup-sayup polemik kelompok geng Mesir- Jordan. Masing-masing mengangkat kelebihan serta sejarah tradisi pengajian sendiri.

Besar Cabaran untuk Ditanggung Seorang

Ini juga bukan masanya untuk mempertikai kemampuan seorang pendakwah hanya kerana dia tidak berstatus selebriti, tidak pernah atau hanya sekali-sekala muncul di televisyen, jarang bersiaran di radio, tidak memiliki kolum khas di akhbar dan majalah atau memiliki deretan buku penulisan yang bertaburan di serata toko buku.

Ini juga bukan zaman memandang pendakwah yang tidak berpeluang mengaji ke Timur Tengah atau ke benua Eropah atau pendidikannya tidak mencecah hingga ke peringkat sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah; lalu dianggap sebagai pendakwah yang kurang berilmu. Wajarkah hanya kerana kita memiliki ijazah tinggi maka kita merasakan kita terlalu ideal, sempurna, Mr. Know It All walhal hakikatnya kadang-kadang lebih kepada “Jack of all trades, but master of none”?

ustaz-pondok-vs-ustaz-universiti-2

Teringat saya kepada kata-kata Albert Einstein: “Everybody is a genius. But, if you judge a fish by its ability to climb a tree, it’ll spend its whole life believing that it is stupid (Setiap orang adalah genius. Tapi jika engkau menilai seekor ikan dengan kemampuannya memanjat pokok, maka ia akan menghabiskan seumur hidupnya meyakini dirinya sangat bodoh).”

Ingatlah, tugas dakwah kita ini terlalu besar. Kita bakal berhadapan dengan pelbagai ragam gelagat dan telatah manusia termasuklah golongan yang bertuhankan nafsu yang sentiasa siap dengan segala kekuatan yang mereka miliki: kuasa, harta, pengaruh dan apa sahaja daya dan upaya untuk mengganyang para pendakwah. Adakah dengan tugas sebesar ini, kita merasakan hanya kita dan semata-mata kita sahaja yang layak dan boleh memikulnya?

Selamat berpencak (beramai-ramai) di gelanggang dakwah!

Ustaz Badli Shah Alauddin

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas