Menu

 

A+ A A-

KASIH SAYANG ALLAH BAGAIMANA MENGUKURNYA?

USTAZ, saya selalu dihina oleh kawan-kawan disebabkan saya anak luar nikah. saya tetap bersabar walaupun hati rasa terluka. Mereka mengatakan nama saya berbinkan Abdullah, sedangkan ayah yang membela saya bernama Hasyim. Abang dan kakak saya juga selalu menghina saya anak luar nikah. Saya rasa tersisih dan terhina. Bolehkah ustaz memberi motivasi kepada saya?

Penghinaan manusia kepada manusia yang lain adalah lumrah perjalanan dunia sejak dahulu hingga sekarang. Lidah yang tidak bertulang kadang-kadang lebih tajam daripada pedang apabila ia tidak dilembutkan dengan iman dan takwa kepada Allah s.w.t. Janganlah saudara terlalu bersedih sehingga memudaratkan diri. Namun sebaliknya, hendaklah pasrah dan reda, serta berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan kemajuan diri dalam pelbagai aspek, agar tidak dipandang rendah lagi pada masa akan datang.

Jika diteliti, sehinggakan Allah dan Rasul-Nya juga pernah dikutuk dan dihina oleh manusia, inikan pula kita manusia biasa yang tidak dapat lari daripada kesalahan. Bina kekuatan motivasi saudara dengan keyakinan bahawa walau sesiapa pun yang membenci dan menghina saudara, namun kita masih ada Tuhan yang sentiasa sayang kepada kita.

kasih-sayang-ALLAH-1

Cukuplah Allah s.w.t. sebagai tempat pengharapan kepada kita, yang Maha Menyayangi, Maha Mengasihi dan Maha Merahmati. Jika ada orang mengeji, mengadulah kepada Allah. Jika ada yang membenci, harapkanlah kasih sayang Allah. Jika ada yang menjauh, maka yakinlah bahawa Allah s.w.t. sentiasa mendekati dan merahmati kita.

Ustaz mahu menceritakan serba ringkas kepada saudara yang bertanya dan pembaca sekalian berkenaan kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Mudah-mudahan, kefahaman yang murni berkenaan kasih sayang Allah akan memberikan motivasi kepada semua.

Imam Muslim meriwayatkan melalui jalur sahabat yang mulia Abu Hurairah r.a., beliau berkata bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya, Allah memiliki 100 rahmat. Diturunkan satu rahmat daripadanya (dan diberikan) kepada jin, manusia, binatang ternakan dan binatang yang berbisa. Maka dengannya mereka saling berbelas kasihan dan saling merahmati. Dengannya juga binatang buas mengasihi anaknya. Allah s.w.t. mengakhirkan (menangguhkan) 99 rahmat (yang berbaki) untuk Dia merahmati hamba-Nya dengan rahmat itu pada hari kiamat.”

kasih-sayang-ALLAH-2

Subhanallah, tiada siapa yang dapat menandingi Allah kepada hamba-Nya. Allah memberikan rahmat dan kasih sayang kepada sesiapa sahaja tanpa meminta sedikit pun balasan dan kepentingan. Berbeza dengan makhluk yang memberikan kasih dan sayang kerana ingin mendapat pulangan kasih yang diharapkan. Manusia memberikan kasih kepada manusia lain agar turut dikasihi. Begitu juga kasih kepada haiwan. Ini kerana Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.”

Itulah kasih sayang makhluk, yang mempunyai sempadan, had dan harapan di sebaliknya. Kasih Allah s.w.t. tidak bertepi dan bersempadan. Bahkan tidak setara seperti kasihnya ibu kepada anaknya.

Pernah terjadi pada zaman Rasulullah, seorang wanita yang menjadi tawanan perang telah buntu fikirannya untuk mencari anaknya yang telah hilang. Dalam kerinduan kepada anaknya, setiap kali dia melihat kanak-kanak di dalam tempat tawanan tersebut dia akan menimang kanak-kanak itu dan menyusukannya.

Melihat betapa kasihnya seorang ibu terhadap anaknya, Rasulullah lantas bertanya kepada sahabat-sahabat: “Adakah kamu semua fikir wanita itu sampai hati untuk mencampakkan anaknya ke dalam api?” Jawab para sahabat: “Tentu sekali tidak.” Rasulullah bersabda: “Allah lebih kasih kepada hamba-Nya melebihi kasih ibu itu kepada anaknya.”

Rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. amat luas. Tiada sesiapa yang mampu memberikan kasih sayang seumpama Allah kepada makhluknya. Kasih sayang Allah yang begitu luas dapat kita lihat dengan berterusannya nikmat dan kurnian Allah kepada hamba-Nya walaupun mereka melakukan sebesar-besar dosa dan maksiat.

Orang yang kafir dan ingkar di dunia, mereka tetap hidup senang-lenang dengan kemewahan dunia yang sementara. Itu juga adalah rahmat Allah. Orang Islam pula, turut mendapat kesenangan di dunia walaupun bergelumang dengan maksiat. Itu juga dengan sebab kasih sayang Allah s.w.t.

kasih-sayang-ALLAH-3

Adakah kasih sayang Allah diukur dengan kesenangan di dunia?

Makhluk yang mendapat kesenangan di dunia bukanlah menjadi ukuran bahawa mereka sahaja yang mendapat rahmat Allah. Manakala orang yang hidupnya susah di dunia, bukanlah bermakna Allah s.w.t. tidak mengasihi mereka. Tidakkah para nabi dan rasul adalah kekasih Allah s.w.t.? Mereka semua menghadapi cabaran dan kesusahan dalam perjalanan hidup mereka, namun merekalah yang paling banyak mendapat rahmat dan kasih sayang Allah sehingga menjadi kekasih-Nya.

Kadangkala ujian dan cabaran hidup merupakan tanda kasih sayang Allah secara hakikatnya, walaupun tidak pada zahir. Apabila kita diuji, kita menjadi calon ahli yang mendapat kebaikan daripada Allah s.w.t. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah inginkan kebaikan kepadanya, dia akan diuji daripada-Nya.”

Kadangkala apabila situasi kita diuji dan sempit dengan masalah, pengharapan kepada Allah amatlah tinggi dan menebal di dalam hati manusia. Sebenarnya secara tidak sedar, kita melalui proses untuk menjadi orang beriman yang sebenar kerana orang yang beriman akan diuji oleh Allah s.w.t. Maka, menjadi pilihan Allah untuk menjadikan kita dekat kepada-Nya sebagai tanda kasih sayang Allah kepada kita.

kasih-sayang-ALLAH-4

Apakah antara contoh kisah kasih dan sayang Allah s.w.t?

Dalam al-Quran amat banyak ayat yang menyebut nama Allah s.w.t. dengan al-Rahman dan al-Rahim. Kedua-dua nama ini menunjukkan maksud yang hampir serupa iaitu Maha Memberikan Rahmat. Kasih dan sayang amat berkait rapat dengan sifat rahmat.

Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya Mafatih al-Ghayb menghuraikan ayat ke-3 surah al-Fatihah mendatangkan dua kisah yang amat menarik berkaitan sifat kasih sayang Allah s.w.t.

Kisah pertama ialah pengalaman Ibrahim bin Adham seorang sufi yang terkenal. Ibrahim bin Adham menceritakan bahawa suatu hari beliau pernah dihidangkan makanan berupa roti oleh suatu kaum yang beliau kunjungi. Ketika hendak menyuap ke mulutnya, tiba-tiba datang seekor gagak mengambil roti itu. Hairan dengan burung gagak yang berani mengambilnya daripada tangan manusia, beliau segera mengikuti ke mana gagak itu pergi.

Tidak beberapa jauh dari situ, gagak itu tiba-tiba menjatuhkan makanan yang diambilnya itu ke sebuah tempat yang agak tinggi. Ibrahim segera pergi ke tempat itu. Sesampainya di sana beliau melihat bahawa roti tersebut dijatuhkan kepada seorang yang sedang dalam keadaan terikat kedua-dua tangannya.

Maha suci Allah daripada segala kekurangan dan bersifat dengan al-Rahman dan al-Rahim yang telah menggerakkan gagak ini untuk membantu hamba-Nya yang tidak mampu berbuat apa-apa.

Kisah kedua pula ialah pengalaman seorang sufi yang bernama Zunnun al-Misri. Zunnun al-Misri bercerita: “Suatu hari, hati saya berasa tidak tenang. Lantas saya keluar dari rumah menuju ke tebing sungai Nil agar hilang kegelisahan hatiku. Tiba-tiba saya melihat seekor kala jengking, berjalan menuju sungai Nil. Saya ikuti arah jalannya. Apabila sampai di tepi sungai Nil, kelihatan seekor katak yang seolah-olah sedang menunggunya. Kala jengking itu terus melompat ke belakang katak tersebut dan katak itu kemudiannya berenang mengendong si kala jengking ke seberang sungai Nil.

Saya segera mengikutinya dengan menaiki sebuah perahu kecil. Di sana saya menyaksikan kejadian yang sungguh mengagumkan. Saya melihat seorang anak muda yang sedang tidur di bawah sebuah pohon dan ada seekor ular berbisa yang hendak menyerangnya. Kala jengking yang dibawa oleh katak menyeberangi sungai Nil sebentar tadi lantas turun dan melompat ke arah ular tersebut. Lalu terjadilah pertarungan antara kedua-dua mahluk itu. Akhirnya, kedua-duanya mati dan si anak muda tetap tidur nyenyak.”

Kisah menakjubkan ini diceritakan oleh Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab tafsirnya. Kisah ini menjadi isyarat kepada kita bahawa rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. amat luas sama ada manusia merasai dan menyedarinya ataupun langsung tidak menyedarinya.

kasih-sayang-ALLAH-5

Bagaimanakah Allah s.w.t. mengasihi hamba-Nya?

Berikut adalah bentuk kasih sayang Allah kepada hamba-Nya: Halal dan haram adalah bentuk kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-Nya. Suruhan dan tegahan daripada Allah tanda begitu kasihnya Allah s.w.t. agar tidak terjerumus dalam tipu daya syaitan dan nafsu yang menyesatkan.

Setiap anggota yang ada di tubuh manusia terutamanya akal adalah nikmat Allah s.w.t. yang tidak dapat dihitung dan dibalas. Dengan pancaindera yang pelbagai, manusia menjadi sangat mulia dan terhormat daripada makhluk yang lain.

Islam dan iman adalah nikmat yang paling terbesar yang kita perolehi. Bayangkan, orang kafir yang melakukan kebaikan sebesar gunung, tidaklah dinilai di sisi Allah s.w.t. berbanding kebaikan orang beriman walau sebesar kuman sekalipun, akan dibalas dengan balasan yang setimpal. Allah s.w.t. mengampunkan dosa para hamba-Nya walaupun dosanya menjangkau seluas langit dan bumi. Satu kebaikan yang dibuat, akan dibalas dengan 10 pahala.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa amal yang baik maka baginya (pahala) 10 kali ganda amalnya. Sesiapa yang membawa perbuatan yang jahat, maka dia tidak diberi pembalasan melainkan seimbang dengan kejahatannya, sedang mereka sedikit pun tidak dizalimi (dirugikan).” (Surah al-An‘am 6: 160)

Sekiranya hendak disenaraikan, sudah pasti kita tidak mampu menghitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada kita. Semuanya adalah bukti kasih sayang Allah s.w.t. kepada hamba-Nya.

kasih-sayang-ALLAH-6

Apakah yang manusia perlu lakukan untuk mendapatkan kasih Allah?

Konsep memberi dan menerima perlu disebatikan dalam jiwa setiap insan. Kita perlu kembali kepada hadis yang telah disebutkan sebelum ini, dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi.”

Walaupun hadis ini berlatarbelakangkan nasihat Rasulullah s.a.w. kepada al-Aqra‘ bin Habis r.a. agar menyayangi 10 orang anaknya, namun begitulah juga caranya untuk mendapatkan kasih Allah s.w.t. Maka terlebih dahulu hendaklah kita cinta kepada Allah s.w.t. melebihi segala-galanya untuk kita menggapai kasih-Nya kepada kita.  


Ustaz Mohd Azrul Bin Ismail
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2

 


 

Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas