Menu

 

A+ A A-

ANAK LUAR NIKAH TIDAK MASUK SYURGA

SAYA pernah mendengar sebuah hadis yang mafhumnya: “Anak zina tidak masuk syurga.” Adakah hadis ini sahih? Andai kata ia sahih, bagaimana hendak memahaminya dengan betul?

Penilaian dari segi sanad
Hadis yang mengandungi lafaz seperti ini diriwayatkan menerusi beberapa sanad. Sanad yang paling kuat ialah riwayat Abdullah bin ‘Amr bin al-As, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga anak yang derhaka kepada ibu bapanya, penagih arak, orang yang suka mengungkit kebaikan dan anak zina.” Hadis ini dikeluarkan oleh Imam al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra. Ibn Hibban mensahihkan hadis ini meskipun terdapat percanggahan riwayat antara Sufyan al-Thawri dan Syu‘bah.

Sanad daripada al-Thawri ialah seperti berikut, “Daripada Salim bin Abi al-Ja‘ad, daripada Jaban, daripada Abdullah bin ‘Amr.” Manakala sanad daripada Syu’bah; “..daripada Salim, daripada Nabit, daripada Abdullah.” Bagaimanapun Imam al- Bukhari melemahkan hadis ini. Setelah menjelaskan percanggahan di atas, beliau berkata: “Tidak diketahui Jaban ada mendengar daripada Abdullah. Dan tidak pula Salim daripada Jaban ataupun daripada Nabit.” Komentar ini dimuatkan dalam kitab beliau yang bertajuk al-Tarikh al-Kabir. Umumnya, ahli hadis sepakat bahawa al-Bukhari lebih menguasai kritikan hadis berbanding Ibn Hibban.

Sanad Lain

Selain riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr, hadis ini juga diriwayatkan menerusi Mujahid, daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga anak zina, juga anak keturunannya hingga tujuh keturunan.” Hadis ini dikeluarkan oleh ‘Abd bin Humaid dan al-Nasa’I dalam al-Sunan al-Kubra. Terdapat percanggahan (idtirab) yang sangat parah dalam sanad hadis ini. Menurut al-Daraqutni, percanggahan riwayat dalam hadis ini mencapai hingga 10 versi.

Sebahagian riwayat mengatakan: “Daripada Mujahid, daripada Muhammad bin Abdurahman, daripada Abu Hurairah.” Sebahagian yang lain: “...daripada Mujahid, daripada Ibn Umar, daripada Abu Hurairah.” Riwayat lain: “...daripada Mujahid: mauquf.” Selain aspek percanggahan riwayat, setiap sanad daripada hadis ini terdapat perawi-perawi yang dipertikaikan oleh ahli hadis tentang kelemahan hafalan mereka. Kesimpulannya, boleh dirumuskan bahawa hadis dengan lafaz seperti ini kesemuanya lemah. Bahkan terlalu lemah sehingga beberapa orang pakar hadis menilainya sebagai hadis bati dan palsu. Salah seorangnya ialah al-Hafiz Ibn al-Jauzi dalam kitab al-Mawdu‘at.

Takwil Hadis

Bagi para ulama yang menilai hadis ini lemah, apalagi batil dan palsu, maka kandungan hadis ini tidak dapat diterima. Apalagi, jika dirujuk kepada al-Quran, kita mendapati bahawa Allah tidak akan menghukum seseorang kerana dosa orang lain. Maka, tidak masuk akal jika anak zina  terhalang daripada masuk syurga kerana dosa yang dilakukan oleh kedua-dua ibu bapanya. Berkata Ibn al-Jawzi: “Apa dosa anak zina sehingga ia terhalang daripada masuk syurga? Hadis-hadis ini menyalahi usul (prinsip-prinsip asas agama Islam) antaranya firman Allah yang bermaksud: ‘Seseorang tidak akan menanggung dosa orang lain.” (Surah al-Zumar 39: 7) Prinsip ini disetujui oleh semua ulama, termasuk mereka yang mensahihkan hadis ini.

Oleh sebab itu, mereka yang tidak memahami kandungan hadis ini secara zahirnya, malah mereka berusaha mentakwilkannya agar selari dengan prinsip Islam yang telah disebutkan. Imam Ibn Hibban misalnya, setelah menetapkan kesahihan riwayat Abdullah bin ‘Amr di atas, beliau menjelaskan bahawa “anak zina” yang dimaksudkan dalam hadis ini bukannya merujuk kepada semua anak yang lahir hasil perzinaan, tetapi lebih khusus iaitu anak zina yang berani pula melakukan larangan-larangan Allah s.w.t. Justeru beliau berkata: “Makna penafian Nabi s.a.w. tentang anak zina daripada memasuki syurga, padahal anak zina tidak menanggung dosa orang tuanya bermaksud, anak zina yang biasanya lebih berani melakukan perkara-perkara yang dilarang.” Seperti Ibn Hibban, Imam al-Baihaqi juga tidak memahami hadis ini secara zahirnya.

Beliau berpendapat bahawa anak zina memang tidak masuk syurga jika dia melakukan perbuatan zina seperti yang dilakukan ibu bapanya. Menurut beliau dalam Shu‘ab al-Iman: “Jika sahih hadis ini, maka maknanya ditujukan kepada anak zina yang meniru perbuatan orang tuanya.

Nasihat Bagi saya, hadis ini tidak perlu disebarluaskan dalam masyarakat. Hujahnya, selain daripada faktor sanadnya yang lemah dan matannya yang perlu ditakwilkan, hadis ini akan memberi kesan melemahkan hati anak-anak zina yang tidak berdosa. Apa pun, mereka ialah sebahagian daripada umat kita. Seperti anak-anak yang lain, mereka berpeluang menjadi anak-anak yang soleh dan berguna untuk agama dan umat. Kewajiban kita adalah untuk mendidik dan membimbing mereka ke arah kebaikan, bukannya merendahkan maruah mereka, apalagi mendakwa pintu syurga sudah tertutup buat mereka. Wallahu a’lam.

Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 3


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas