Menu

 

A+ A A-

JUAL BELI DI DALAM MASJID

Hadis Larangan Berjual Beli di dalam Masjid

SAYA pergi ke sebuah masjid. Apa yang menarik perhatian saya ialah sebuah notis yang tertulis: “Dilarang berjual beli di dalam masjid.” Saya ingin tahu, adakah larangan ini bersandarkan mana-mana hadis atau ia larangan daripada pihak pengurusan masjid sahaja? Mohon penjelasan.

Hadis Pertama

Memang ada sebuah hadis yang melarang urusan jual beli di dalam masjid. Ia diriwayatkan oleh Amr bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya bahawa Nabi s.a.w. melarang berjual beli di dalam masjid. (Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i) Namun ramai ulama hadis terawal seperti Syu‘bah, Yahya al-Qattan, al-Syafi‘i, Ahmad, Abu Daud mengatakan bahawa rangkaian sanad tersebut lemah. Justeru mereka tidak berhujah dengannya kerana ia sebuah sahifah (buku catatan yang belum dipastikan kesahihan tulisannya). Manakala ulama hadis yang lebih terkemudian seperti al-Zahabi dan Ibn Hajar menilai rangkaian ini hasan.

Hadis Kedua

Terdapat satu lagi hadis yang berkaitan. Ia diriwayatkan oleh Abdul Aziz bin Muhammad al-Darawardi daripada Yazid bin Khasifah daripada Muhammad bin Abdul Rahman bin Thawban daripada Abu Hurairah bahawa Nabi pernah bersabda yang bermaksud: “Jika engkau melihat orang yang berjual beli di dalam masjid, maka katakanlah: ‘Semoga Allah tidak memberi untung dalam perniagaanmu! Jika engkau melihat seseorang mencari barangan hilang di masjid, maka katakanlah: ‘Semoga engkau tidak menemukan baranganmu!’” Imam al-Tirmizi berkata: “Hadis ini berstatus hasan gharib.” Ulasan ini mengisyaratkan ada unsur lemah dalam penilaian sesebuah hadis.

Al-Tabarani ada menjelaskan hal tersebut: “Tidak ada seorang pun perawi yang meriwayatkan hadis ini secara bersambungan melainkan Abdul Aziz al-Darawardi.” Oleh sebab itu, al-Daraqutni mentarjihkan bahawa sanad ini mursal. Hadis mursal ialah hadis yang diriwayatkan oleh seorang tabiin terus daripada Nabi s.a.w. tanpa menyebut nama sahabat. Dalam kes ini, sanadnya daripada Ibn Thawban terus daripada Nabi, tanpa menyebut Abu Hurairah. Demikianlah penjelasan beliau dalam kitab ‘Ilal. Walau bagaimanapun, sebahagian ulama mensahihkan hadis ini seperti Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan al-Hakim. Namun ketiga-tiga ulama tersebut dikenali dengan standard penilaian hadis mereka yang agak longgar. Justeru penilaian mereka tidak sekuat penilaian daripada al-Daruqutni.

jual-beli-dalam-masjid-1

Hukum Jual Beli di dalam masjid

Apa hukum berjual beli di dalam masjid?

Pandangan terpilih mazhab Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Zahiri menetapkan bahawa larangan yang terdapat dalam hadis ini tidak bermakna haram, akan tetapi makruh. Sesiapa yang melakukan akad jual beli di dalam masjid, maka ia telah melakukan perbuatan yang dibenci. Namun, akad jual belinya tetap sah. Imam al-Syafi‘i berkata: “Saya memakruhkan jual beli di dalam masjid. Jika seorang yang sedang beriktikaf atau orang selainnya melakukan jual beli, aku memakruhkannya. Begitu pun jual beli itu sah.” Demikian ucapan beliau dalam Mukhtasar al-Muzani sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘.

Manakala dalam mazhab Hanbali ada dua pendapat. Satu pendapat mengatakan bahawa jual beli di dalam masjid itu haram dan batal. Manakala pendapat kedua mengatakan makruh dan sah. Ibn Qudamah dan Ibn Muflih memilih pendapat kedua ini. Dalam pada itu, Abu Ja‘far al-Tahawi daripada mazhab Hanafi ada membawa satu pendapat yang sangat baik. Dalam kitab Syarh Ma‘ani al-Atsar beliau mengatakan bahawa jual beli di dalam masjid menjadi terlarang apabila ia melibatkan ramai orang sehingga keadaan menjadi seperti di pasar. Adapun jika tidak sampai ke tahap itu, maka jual beli dalam masjid adalah harus hukumnya.

Nasihat

Bagaimanapun saya berpendapat seboleh-bolehnya elakkan sebarang aktiviti jual beli di masjid. Masjid tidak dibina untuk aktiviti-aktiviti duniawi seperti ini. Masjid ialah tempat untuk solat, zikir dan aktiviti-aktiviti ibadah yang lain. Rasulullah pernah bersabda kepada seorang Arab kampung yang kencing di dalam masjid: “Sesungguhnya masjid-masjid tidak layak untuk kencing dan najis seperti ini. Ia dibina untuk solat, zikir dan membaca al-Quran.” Beliau berkata: “Wahai saudara, masjid ini pasar akhirat. Jika engkau ingin berjual beli, pergilah ke pasar dunia.” (Riwayat Ahmad).

Wallahu a‘lam.

jual-beli-dalam-masjid-2

Ustaz Umar Muhammad Noor
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas