Menu

 

A+ A A-

PRAKTIKKAN RASA UKHUWAH SESAMA SAUDARA

PERINGATAN Allah menerusi sabda-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Mukmin itu bersaudara” dan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri” meninggalkan kesan yang mendalam pada hati saya. Namun amat sukar untuk mencari orang yang dapat memenuhi ciri-ciri yang diceritakan dalam hadis ini. Hadis ini memang mudah dan ringkas untuk dihafal tetapi amat berat untuk dipraktikkan.

Siapakah saudara yang disebutkan dalam hadis ini? Adakah saudara kandung, kaum kerabat ataupun lebih luas lagi, saudara seagama? Sememangnya kita semua bersaudara kerana berasal daripada permulaan yang sama iaitu Nabi Adam dan Hawa. Tetapi kita menyempitkan pengertian ini dengan menyatakan kaum kerabat sahaja saudara kita. Sekiranya kita faham konsep ini, pengertian persaudaraan ini amatlah luas, tidak akan timbul soal perbezaan kaum, puak dan sebagainya kerana yang paling mulia adalah yang paling bertakwa.

praktikkan-rasa-ukhuwah-1

Islam telah menggariskan dasar-dasar dan cara yang positif dalam usaha mempererat ikatan cinta kasih dan roh ukhuwah. Jika dasar-dasar ini dipegang teguh oleh umat islam, maka persaudaraan itu akan semakin kukuh. Beberapa panduan untuk mencapai pengukuhan roh ukhuwah, antaranya:

1- Menyatakan Rasa Kasih

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang mencintai saudaranya, maka hendaknya ia memberitahu kepadanya.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

2- Saling Mendoakan

Sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Doa seorang sahabat kepada sahabatnya yang lain kerana Allah dalam tempat yang berjauhan akan diterima oleh Allah s.w.t.” (Riwayat Muslim)

3- Menampakkan Wajah yang Ceria

Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a. bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Janganlah engkau meremehkan apa-apa sahaja kebaikan (yang datang daripada saudaramu). Jika engkau berjumpa saudaramu, berikan dia senyuman kegembiraan.” (Riwayat Muslim)

4- Bersalaman Apabila Bertemu

Rasulullah s.a.w. menganjurkan umatnya untuk berjabat tangan apabila bertemu dengan saudara mereka. Hal ini sesuai dengan hadis yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Mukmin yang berjumpa, kemudian mereka berjabat tangan melainkan kedua-dua akan diampunkan dosa-dosa mereka sebelum berpisah.” (Riwayat Abu Daud).

5- Menziarahi

Nabi Muhammad s.a.w. bersabda, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Orang yang berkasih sayang kerana Allah, orang yang saling berziarah kerana Aku, orang yang saling memberi kerana Aku, orang yang saling berhubungan kerana Aku, mereka semua berhak mendapat kasih sayang-Ku.” (Riwayat Ahmad)

6- Sebarkan Salam

Rasulullah s.a.w. bersabda, ertinya: “Hak seorang Muslim terhadap Muslim lainnya ada enam; jika kamu bertemu dengannya, ucapkan salam kepadanya...” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

7- Memberi Hadiah

Imam Dailami meriwayatkan daripada Anas, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Kerapkan saling memberi hadiah kerana hadiah itu dapat meneguhkan rasa cinta dan menghilangkan kekotoran hati.” (Riwayat al-Tabarani)

praktikkan-rasa-ukhuwah-2

8- Cakna Keperluan Saudara

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, ertinya:

“Sesiapa yang meringankan beban penderitaan seorang Mukmin di dunia, pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat kelak. Sesiapa yang memudahkan orang dalam keadaan susah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim pasti Allah akan menutup (aibnya) di dunia dan akhirat. Dan Allah akan selalu menolong hamba-Nya jika hamba tersebut menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Semoga dengan panduan ini dapat kita ambil sebagai langkah seterusnya bagi membina dan mengukuhkan ukhuwah sesama umat islam. Ya Allah, hiasilah hati kami dengan keimanan dan perasaan saling menyayangi sesama umat islam. Amin Ya Rab al-‘Alamin.

Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz

Penceramah personaliti radio

Kembali ke atas