Menu

 

A+ A A-

MEMAHAMI HADIS BERKAITAN POLITIK

SOALAN : Apakah metode yang sesuai untuk memahami hadis-hadis Nabi berkaitan politik?

 

JAWAPAN : Berhubung hal ini, para fuqaha silam telah mengambil manhaj atau pendekatan para sahabat dalam memahami hadis-hadis Nabi. Kebiasaannya, para sahabat akan bertanya Rasulullah s.a.w.mengenai keputusan Baginda berkaitan urusan keduniaan samaada keputusan itu merupakan wahyu yang diturunkan ataupun ianya pendapat Baginda semata-mata sebagai seorang manusia.

 

Berikut adalah beberapa contoh yang masyhur:

1. Semasa perang Badar, Khabab bin Munzir memberikan saranan kedua sebagai alternatif kepada rancangan asal Rasulullah dalam memilih lokasi strategik. Rasulullah mengikut saranannya.

2.Semasa perang Uhud, majoriti sahabat menginginkan agar medan pertempuran bertempat diluar Madinah sedangkan Nabi inginkan yang sebaliknya. Akhirnya Baginda mengikut kehendak majoriti.

3.Semasa perang Khandaq, Rasulullah mengguna pakai idea pertahanan dengan menggali parit daripada Salman al-Farisi.

4.Berkaitan teknik pendebungaan tamar, Rasulullah secara peribadi tidak berapa menyukainya. Namun Baginda membiarkan urusan ini kepada pengusahanya dengan sabda Baginda yang masyhur, mafhumnya: “Kamu lebih mengetahui berkaitan profesion keduniaan kamu.”  (Riwayat Muslim)

 

Hadis Nabi Tidak Semua Sama

Berdasarkan asas di atas, para fuqaha membahagikan hadis-hadis Nabi kepada apa yang bersifat tashri‘i (penetapan hukum syariat) dan ghayr tashri‘i (tiada unsur syariat). Al-Qarafi dalam karyanya al-Furuq membahagikan wahyu iaitu spesifiknya hadis kepada:

1.Sunnah berbentuk keagamaan yang bersifat tetap dan normatif. Sunnah ini merangkumi ijtihad atau keputusan Rasulullah yang berkaitan soal aqidah, ibadat dan akhlak. Justeru sunnah ini perlu diterima tanpa berdolak dalik.

2.Sunnah yang berupa perbuatan dan keputusan Baginda berkaitan perkara harian sebagai seorang manusia. Sunnah ini termasuklah keputusan-keputusan Rasulullah berkaitan politik dengan kapasitinya sebagai ketua negara. Maka hadis yang berkisar tentang persoalan politik, keputusan penghakiman dan lain-lain isu keduniaan yang diambil oleh Baginda atas kapasitinya sebagai manusia biasa, tidaklah bersifat imperatif dan normatif.

Sungguhpun demikian, ini tidak bermakna hadis-hadis tersebut boleh diabaikan sama sekali. Hadis-hadis tersebut mestilah dikaji, difahami falsafah dan tujuan di sebaliknya berdasarkan konteks masa kejadian, seterusnya boleh dijadikan iktibar.

 

Apa yang Ingin Dicapai Rasulullah

Apa yang pastinya berdasarkan penyelidikan kritikal, kesemua hadis-hadis berkaitan politik sebenarnya bertujuan untuk menjaga maslahat umum orang Islam dan maqasid al-syari‘ah (objektif syariat). Justeru, umat Islam yang datang kemudian perlu memahami bahawa ijtihad berkaitan politik dan hal kenegaraan pada zaman Nabi dan sahabat berdasarkan kerangka maqasid al-syari’ah. Ibarat kata Fazlur Rahman,segala tindakan Rasulullah dalam soal politik hendaklah dilihat dengan konsep: “Apa yang ingin dicapai oleh Baginda, bukannya apa yang dilakukan oleh Baginda semata-mata. ”Semaksud dengan itu, kita sepatutnya memahami sejarah para khulafa al-rashidin dan dinasti-dinasti yang datang selepas mereka daripada sejarah umat Islam yang panjang dengan sikap ingin menjadikannya sebagai teladan.

Umat Islam terkemudian tidak patut menjadikan pengalaman dan pengamalan umat sebagai sesuatu yang maksum ataupun teks kudus. Ini kerana segala pengamalan mereka sama ada berkaitan model pemerintahan, sistem yang dijalankan termasuk hukum-hakam fiqah berkaitan dengan pengamalan mereka yang dikeluarkan oleh para fuqaha zaman tersebut, hanyalah merupakan ijtihad mereka untuk menjaga kepentingan umum masyarakat dan juga Islam pada zaman tersebut.

 

Hukum Berubah Berdasarkan Masa dan Tempat

Bagi para fuqaha pada zaman moden ini, mereka hendaklah melihat fiqah terdahulu yang berkaitan politik sebagai ijtihad para fuqaha pada zaman tersebut berdasarkan tuntutan zaman mereka. Apa yang lebih penting, fuqaha semasa perlu lebih tertumpu untuk mempelajari metode istinbat (proses penetapan hukum syarak) ulama silam dan keupayaan mereka berinteraksi dengan konteks zaman dan tempat sehingga mereka mampu mengeluarkan hukum-hakam berkenaan. Maka ditegaskan disini bahawa ijtihad-ijtihad hukum berkaitan politik bersifat relatif dan sesuatu percubaan berterusan sepanjang zaman.

Buktinya, karya-karya silam banyak dicorakkan oleh suasana zaman dan juga keadaan setempat. Jika diteliti secara kritikal, kita akan dapati bahawa penulisan para ulama pada zaman Umayyah berbeza dengan Abbasiah. Begitu juga penulisan pada zaman Abasiyyah berbeza dengan zaman Uthmaniyyah atau Andalusia dengan zaman moden. Hal ini sama sahaja dalam perkembangan disiplin ilmu tafsir dan hadis. Faktor sosio-sejarah memainkan peranan penting dalam mencorakkan perbahasan dan juga pengaplikasian apa yang terkandung dalam karya itu.

Pemikiran kritis dan analitis inilah yang telah dipelopori oleh para ilmuwan Islam pada zaman ijtihad. Bukanlah tujuan saya untuk menyamakan umat Islam yang terlibat dalam bidang politik pada zaman moden ini dengan para imam mujtahid. Siapalah kita ini berbanding mereka. Namun kita perlu mencontohi budaya pemikiran kritis dan analitis mereka. Sikap ini memerlukan kepada kemahiran yang dibina dan diasah. Umat Islam perlu didedahkan dengan wacana-wacana kritis dan bersedia mendengar pendapat pelbagai pihak. Sikap kritis dan sentiasa mencari kebenaran perlu menjadi bekalan sepanjang jalan agar umat yang ingin dibina nanti adalah umat yang tajam fikirannya dan mampu untuk berbicara dengan semua pihak, termasukkepada bukan Islam.

 

politik

 

 

 

 

Dr. Maszlee Malik

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 08


 

Dr. Maszlee Malik

Sarjana Fiqah dan Usul Fiqah, Universiti Al al-Bayt, Sarjana UM. PhD, Universiti Durham dan pernah menjadi pensyarah di universiti tersebut. Kepakaran dan tumpuan begitu terserlah dalam kajian tentang politik Islam semasa. Aktif menulis dan antara buku beliau Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin dan Road To Beirut.

Kebanyakan bidang penulisan beliau adalah berkisar isu Palestin, isu umat Islam antarabangsa dan fiqh kontemporari. Sehingga kini, beberapa buah buku tulisan beliau sudah diterbitkan antaranya Biografi Syeikh Ahmad Yassin, Persoalan Asas Isu Palestin, Aspek-Aspek Keislaman, Road To Beirut, Soal Jawab Remaja Islam, dan disertasi sarjananya yang bertajuk Hukum Talfiq Dalam Muamalat. Kini pensyarah UIAM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas