Menu

 

A+ A A-

KORBAN TUNGGANGAN KITA DI AKHIRAT?

Dilemahkan Ahli Hadis

Dalam satu majlis ilmu, saya mendengar seorang ustaz mengatakan bahawa haiwan korban akan menjadi tunggangan kita ketika melintas titian sirat di akhirat nanti. Saya merasa agak sangsi. Apa pandangan ustaz?

Terima kasih atas soalan ini. Saya pun sering mendengar kenyataan tersebut semasa di kampung dahulu. Setelah mengkajinya, ternyata kenyataan ini berasal daripada sebuah hadis yang sanadnya tidak sahih. Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus menerusi sanad Ibn al-Mubarak daripada Yahya bin Ubaidillah bin Mauhab daripada bapanya daripada Abu Hurairah bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Perbesarkanlah haiwan korbanmu sebab ia akan menjadi tungganganmu di atas titian sirat nanti.”

Yahya bin Ubaidillah dalam sanad ini seorang matruk al-hadith (hadisnya mesti ditinggalkan dan tidak boleh diterima). Manakala bapanya yang bernama Ubaidillah Ibn Mauhab pula majhul (tidak diketahui identitinya apalagi status hafalannya).

Oleh sebab itu, ulama hadis melemahkan riwayat ini. Al-Hafiz Ibn Salah berkata: “Hadis ini tidak dikenali dan tidak sahih setahu kami.” Penilaian ini disokong oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Talkhis al-Habir dan ramai ahli hadis lain. Adalah sedia maklum bahawa hadis yang sangat lemah tidak boleh dijadikan sandaran hukum, apa lagi untuk menjadi asas dalam soal keimanan dan perkara ghaib. Justeru saya berani menyimpulkan bahawa keyakinan ini tidak berasas.

haiwan-korban-tunggangan-2

Terdapat dalam Kitab Fiqah

Namun menurut ustaz tersebut, hadis itu terdapat dalam beberapa kitab fiqah antaranya al-Minhaj al-Qawim dan I‘anat al-Talibin. Jika hadis ini tidak sahih, mengapa para ulama menyebutkannya dalam kitab-kitab mereka?

Saya tidak menafikan hadis ini memang terakam dalam kitab-kitab fiqah karangan para ulama kita. Selain dua kitab yang anda sebutkan, hadis ini juga disebutkan dalam kitab-kitab fiqah yang lebih awal lagi seperti Nihayat al-Matlab karangan Imam al-Haramain, al-Wasit karangan al-Ghazali dan Fath al-Aziz karangan al-Rafi‘i. Dalam hal ini, kita perlu fahami bahawa kewujudan sebuah hadis dalam kitab-kitab fiqah tidak menjamin kesahihan status hadis tersebut. Demikianlah ditegaskan oleh ramai ahli hadis terdahulu dan terkemudian. Salah seorangnya ialah Syeikh Abdul Hay al-Laknawi dalam kitab al-Ajwibah al-Fadilah li al-As’ilah al-‘Asyarah al-Kamilah.

Namun begitu, kita mesti bersangka baik kepada para ulama. Mereka bukan tidak mengetahui kelemahan hadis ini. Jika kita yang jahil ini mengetahuinya, apatah lagi mereka yang jauh lebih pakar daripada kita. Justeru mesti ada sebab tertentu.

Menurut pengamatan saya, para ulama menyebutkan hadis ini bukan sebagai hujah bagi isu kepercayaan yang sedang kita bincangkan. Sebaliknya, mereka menyebutkannya sebagai dalil sokongan (shahid) bagi anjuran memilih haiwan korban yang besar dan gemuk. Para ulama sering kali menggunakan hadis lemah sebagai dalil sokongan. Dan itu bukan satu kesalahan menurut ahli hadis sendiri.

Anjuran memperbesar haiwan korban telah sabit menerusi pelbagai riwayat yang lain. Salah satunya riwayat Abu Awanah dalam kitab Mustakhraj daripada Anas bin Malik: “Rasulullah berkorban dengan dua ekor kambing berwarna putih dan gemuk.”

Seorang sahabat bernama Abu Umamah berkata: “Kami menggemukkan haiwan korban di Madinah. Dan kaum Muslimin selalu menggemukkan haiwan korban mereka.” Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari secara mu‘allaq (tanpa membawakan sanad).

Ringkasnya, jika hadis ini hanya sebagai dalil sokongan bagi anjuran membeli haiwan yang besar dan gemuk untuk ibadah korban, maka saya berpendapat tidak mengapa. Adapun jika ia dijadikan dalil bagi kepercayaan bahawa haiwan korban menjadi tunggangan di akhirat, maka ianya merupakan satu kesalahan.

haiwan-korban-tunggangan-1

Seorang Anak “Tertawan” dengan Aqiqahnya

Bagaimana pula dengan hadis yang menyatakan bahawa seorang anak tertawan dengan aqiqahnya. Adakah ia sahih? Dan apa yang dimaksud dengan “tertawan” dalam hadis itu?

Hadis ini sahih insya-Allah. Sanadnya bersambung hingga kepada Ismail bin Muslim dan Qatadah. Kedua-duanya mengambilnya daripada Hasan al-Basri daripada Samurah bin Jundab, bahawa Nabi bersabda yang bermaksud: “Seorang anak tertawan (tergadai) dengan aqiqahnya. Disembelih baginya pada hari ketujuh, lalu diberi nama dan dicukur.”

Riwayat ini merupakan satu-satunya hadis yang didengar langsung oleh Hasan al-Basri daripada Samurah. Justeru para ahli hadis mensahihkannya seperti al-Tirmizi, Ibn Abd al-Bar dan lain-lain. Adapun makna kalimah “tertawan” dalam hadis ini, terdapat beberapa pentafsiran ulama.

Imam Ahmad bin Hanbal menafsirkan: “Maknanya: jika anak itu meninggal dunia pada waktu kecil sebelum dibuatkan aqiqah, maka ia tidak dapat memberi syafaat bagi kedua ibu bapanya.”

Menurut Syeikh al-Zarqani dalam Syarh Muwatta: “Makna tertawan di sini ialah anak itu terikat oleh belitan syaitan yang berusaha menghalanginya daripada melaksanakan perintah Allah. Aqiqah itulah yang akan melepaskan ikatan syaitan yang membelit anak tersebut.”

Kedua-dua pendapat di atas merupakan tafsiran terbaik bagi makna kalimah “tertawan” yang tersebut dalam hadis ini. Sebahagian ulama memahami bahawa kalimah ini membawa maksud akikah itu satu kewajipan. Yakni, seorang anak yang masih belum diaqiqahkan adalah seperti sebuah barangan yang masih tertahan dan belum boleh dibebaskan. Ini ialah pendapat ulama mazhab Zahiri seperti Dawud bin Ali dan Ibn Hazm.

Walau bagaimanapun jumhur ulama berpendapat bahawa aqiqah hukumnya sunat, tidak wajib.

Wallahu a‘lam.

Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas