REMEH TETAPI PENTING TENTANG HAIWAN
- Ditulis oleh Muhammad Luqman Makhtar
- Kategori Hukum
- Read 32586 times
Kolum ini cuba melengkapi kupasan isu kali ini daripada perspektif berlainan. Di samping soal taharah, kita juga akan mengangkat perbincangan berkaitan jual beli haiwan peliharaan. Kemudiannya tidak salah untuk kita matangkan perbahasan dengan menyentuh hukum berkaitan haiwan bukan peliharaan pula.
Makanan Tidak Halal
Adakah kita perlu memastikan status halal makanan kucing yang hendak kita beli? Ada orang kata begitu. Cuma saya terfikir, jika kucing itu yang pergi mencari makan sendiri di luar, maka kemungkinan juga kucing akan makan bangkai. Bangkai itukan haram. Bagaimana?
Jawapan : Tidak perlu. Kucing boleh makan bangkai atau daging yang tidak disembelih mengikut syarak.
HURAIAN: Makan makanan halal itu wajib untuk manusia sahaja. Binatang itu sendiri tiada taklifan untuk mencari makanan yang halal. Maka tiada masalah untuk memberinya makan makanan yang tidak halal untuk manusia seperti bangkai. Syaratnya makanan itu mestilah:
1.Tidak membahayakan binatang itu sendiri.
2.Tidak diambil daripada hak orang lain.
Tahlil Buat Haiwan
Kucing kesayangan kami sekeluarga mati dilanggar di depan rumah tempoh hari. Jadi kami mengutip bangkainya dan menanamnya. Adakah terdapat panduan hukum menguruskan haiwan peliharaan yang mati? Saya terfikirkan soalan ini setelah melihat anak-anak kecil saya beria-ia membacakan doa, sedekah al-Fatihah dan tahlil kepada kucing mereka.
Jawapan : Tiada hukum khas dalam menguruskan bangkai haiwan sebagaimana mengurus jenazah manusia seperti mandi dan kafan. Haiwan yang mati wajib dilupuskan agar tidak menimbulkan gangguan kepada manusia. Maka antara cara yang terbaik adalah menanamnya. Haram membiarkannya begitu sahaja atau membuangnya dalam tong sampah hingga mereput dan berbau.
Doa dan tahlil itu untuk manfaat manusia di akhirat nanti. Maka tiada keperluan perkara itu untuk haiwan kesayangan.
Tidur dengan Kucing
Apa hukum tidur dengan kucing? Bukankah bulu kucing yang melekat pada kain itu najis?
Jawapan : Boleh, tiada larangan untuk tidur dengan kucing. Kucing itu sendiri haiwan yang suci. Maka bersentuhan dengannya tidak membatalkan wuduk.
Ya, bulu kucing yang terpisah daripada badannya dikira najis menurut mazhab Syafi‘i. Namun hal ini tidak menghalang kita untuk tidur dengan kucing. Maka apa yang perlu dibuat, hilangkannya sahaja atau pakaian yang melekat bulu usah dipakai untuk solat. Lagipun, bulu kucing itu najis yang dimaafkan jika dalam kuantitinya sedikit.
Selain Kucing
Bolehkah kita memegang dan mengusap haiwan peliharaan seperti hamster, ular dan iguana? Ada orang kata haiwan-haiwan itu najis, maka tidak boleh memegangnya?
Jawapan : Tiada larangan untuk menyentuh haiwan-haiwan tersebut asalkan tidak membahayakan diri. Haiwan-haiwan itu sendiri suci, bukannya najis. Maka kita boleh solat terus tanpa perlu membasuh tangan dahulu. Andai kata seekor binatang itu najis sekalipun seperti makannya berlumuran najis, hal itu tidak bermakna haram memegangnya. Yang wajib adalah membersihkan najis.
Dandan Kucing
Apa hukum mendandan kucing? Dandanan itu melibatkan trim (membuang atau merapikan) bulu, kuku dan misainya.
Jawapan : Perbuatan mendandan itu sendiri tiada masalah asalkan sahaja tidak membahayakan kucing. Jika tidak silap saya, mengerat misai kucing akan menyebabkan si kucing menjadi dungu dan tidak tentu hala. Boleh jadi misai itu alat deria dan pengesan kucing. Jika benar, maka haram mengerat misai kucing.
Di samping itu, perbuatan mendandan kucing itu boleh jadi haram jika ada unsur pembaziran dan melampau. Contohnya, kos mendandan kucing itu harganya berpuluh ringgit. Ingat pesanan Nabi maksudnya: “Berilah perhatian pada perkara yang bermanfaat untuk kamu.” (Riwayat Muslim)
Bunuh Kerana Kasihan
Jiran saya non Muslim ada memelihara kucing. Baru-baru ini dia melakukan suntikan maut ke atas kucingnya. Alasannya kerana kucingnya sudah sangat tua, dan doktor haiwannya pun menasihatinya. Itu cara terbaik. Bolehkah orang Islam berbuat begitu?
Jawapan : Tidak boleh. Haram perbuatan tersebut.
HURAIAN: Syariat memandu akal. Ada ketikanya akal tidak dapat memikirkan hal yang terbaik. Secara prinsipnya, haram sengaja membunuh makhluk Allah melainkan atas sebab dibenarkan syarak seperti untuk dimakan serta jenis haiwan perosak yang sunat dibunuh seperti cicak dan lipas. Walau bagaimanapun, membunuh kerana kasihan tidak termasuk alasan yang dibenarkan
Nasihat saya, buang kucing di tempat yang dia boleh mencari makan sendiri. Allah sebenarnya melengkapkan haiwan dengan naluri boleh mencari makan sendiri. Jika kucing itu mati selepas itu sekalipun, kita sudah terlepas daripada tanggungan dosa membunuh.
Kerjaya Veterinar
Seorang anak saya ini sejak kecil lagi sangat meminati haiwan. Bahkan dia bercita-cita hendak menjadi doktor haiwan. Apa hukum bekerja sebagai doktor haiwan? Menurut apa yang saya tahu, untuk menjadi doktor haiwan dia terpaksa memegang babi dan anjing untuk mengubatinya.
Jawapan : Tiada halangan untuk menjadi doktor haiwan. Kerjaya itu ada manfaat besar yang tersendiri buat manusia. Maka menjadi fardu kifayah atas umat Islam. Mesti ada doktor haiwan Muslim yang memenuhi keperluan masyarakat pada setiap masa.
Soal anjing dan babi hanya pada kenajisannya sahaja. Satu-satunya hukum yang berbeza adalah tentang cara membasuh najis berkaitannya sahaja. Selain itu, prinsip umum masih sama iaitu sesuatu yang najis tidak semestinya haram disentuh. Bukankah hasil buangan air besar kita itu najis? Lalu bagaimana kita hendak membersihkannya jika haram hukumnya menyentuhnya?
Islam mengajar kita belas kasihan kepada semua jenis makhluk termasuk anjing dan babi.
Kucing Mahal
Apa hukum membeli kucing yang harganya RM4000?
Jawapan : Hukum jual beli kucing menurut pendapat jumhur adalah harus. Maka sah hukumnya. Namun dari aspek akhlak dan keutamaan, usahlah menghabiskan duit pada sesuatu yang tidak memberi manfaat besar. Boleh jadi haram hukumnya jika perkara ini dinilai sebagai pembaziran.
Bisnes Biak Kucing
Apa hukum perniagaan membiak baka kucing? Hari ini memang terdapat permintaan tinggi terutamanya terhadap anak kucing baka baik.
Jawapan : Mengambil pendapat jumhur ulama, harus jual beli kucing. Maka harus juga hukumnya segala bentuk perniagaan berkaitan dengannya seperti yang saudara nyatakan.
Sewakan Kucing sebagai Induk
Dalam kalangan peminat kucing, menyewakan kucing jantan sebagai induk itu amalan biasa bagi mendapatkan baka anak yang terbaik. Saya mempunyai kucing Parsi jantan berbulu lebat. Sebelum ini sudah beberapa kali saya menyewakannya kepada orang lain untuk disatukan dengan kucing betina mereka. Kadarnya RM300 seminggu. Ada kawan saya menyewa sampai RM800.
Jawapan : Menyewakan haiwan jantan untuk tujuan seperti ini diharamkan. Abdullah bin Umar menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w melarang untuk (menjual) mani haiwan jantan (‘asb al-fahl). (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menjadi dalil para ulama untuk menyatakan haram mengambil upah atas menyewakan haiwan jantan untuk bakanya.
Namun begitu, para ulama menganjurkan untuk meminjamkan haiwan jantan itu beberapa lama agar ia mengawan dengan haiwan betina milik orang lain. Selepas itu, pemilik haiwan betina itu tidak haram memberikan hadiah atas peminjaman tersebut, dan pemilik haiwan jantan halal menerima hadiah tersebut. Demikian dijelaskan dalam kitab-kitab fiqh antaranya Mughni al-Muhtaj.
Tengok Haiwan Mengawan
Apa hukum melihat haiwan mengawan? Saya terpaksa berbuat demikian untuk memastikan kucing saya benar-benar mengawan. Jika tidak sia-sia sahaja duit saya menyewa induk.
Jawapan : Jika ada keperluan seperti yang saudari nyatakan, maka dibolehkan. Adapun menonton haiwan mengawan itu secara suka-suka merupakan perbuatan yang tidak elok dilakukan. Apatah lagi jika ia boleh membangkitkan syahwat, maka haram hukumnya.
Bunuh Semut
Apa hukum membunuh serangga yang berkeliaran di dalam rumah seperti semut dan labah-labah? Saya terbaca hadis yang menyebut bahawa Nabi melarang membunuh semut.
Jawapan : Boleh. Prinsipnya boleh membunuh haiwan jika kewujudannya memudaratkan kita.
Nabi menceritakan: “Ada seorang nabi berteduh di bawah pokok. Kemudian dia digigit oleh seekor semut. Lalu dia membakar keseluruhan sarangnya. Allah menegurnya: “Kenapa tidak bunuh seekor itu sahaja?!” (Riwayat Muslim)
Berkenaan hadis-hadis Nabi yang menyuruh atau membunuh haiwanhaiwan tertentu itu perlu difahami sebaiknya. Satu ketika Rasulullah menyebut: “Tiada dosa membunuh lima jenis binatang: gagak, helang, tikus, jengking dan anjing gila.” (Riwayat Muslim)
Dalam kesempatan yang lain pula, Nabi melarang membunuh empat jenis binatang: semut, lebah, burung belatuk dan katak.” (Riwayat Abu Daud)
Maka kefahamannya adalah seperti berikut:
Kategori Haiwan & Hukumnya
Tengok Babi
Apa hukum melihat babi? Semasa pergi ke zoo, saya hendak melihat juga bagaimana rupa babi tetapi dilarang oleh ayah saya. Tidak boleh tengok.
Jawapan : Boleh. Tidak makruh apa lagi haram untuk melihatnya.
HURAIAN: Anjing atau babi itu makhluk ciptaan Allah. Tiada bezanya dengan haiwan lain melainkan hukum kenajisannya sahaja
Masyarakat kita sangat prejudis terhadap kedua-duanya. Ingat, kedua-duanya makhluk Allah. Allah tidak mengarahkan kita untuk membencinya. Allah hanya mengarahkan cara khusus untuk mengurusnya. Tidak lebih dari itu.
Menghina makhluk Allah, boleh jadi menghina Allah. Bukankah jika kita menghasilkan sesuatu seperti hidangan, lukisan lalu ada orang mengkritik, kita pun berasa. Allah tiada bandingan. Namun kita memahami cara beradab dengan Allah dengan memperhatikan cara beradab sesama kita.
Tangkap dan Lepas
Apa hukum amalan memancing ikan tetapi melepaskannya semula? Secara positifnya, pendekatan ini dapat mengekalkan populasi spesies ikan.
Jawapan :Perbuatan menangkap dan melepaskan semula ikan dikira sebagai menyeksa haiwan. Maka berdosa dan dilarang hukumnya. Bayangkan, mata kail itu melekat di mulut ikan yang berdarah. Semasa hendak mencabut mata kail, sudah tentu mulut ikan tersebut terluka teruk.
HURAIAN: Allah menjadikan haiwan untuk berkhidmat kepada manusia. Selagi manusia menggunakannya untuk tujuan dan dengan cara yang dibenarkan, maka Islam membenarkannya. Kita hanya boleh membunuh haiwan dengan dua sebab sahaja. Maka selain itu, tidak boleh.
Bakar, Racun atau Pukul
Bagaimana cara membunuh tikus yang ditangkap? Bagaimana pula semut dan lipas yang banyak terdapat dalam rumah.
Jawapan : Apa-apa sahaja cara dibolehkan asalkan:
1.Tidak menyeksa
Sabda Rasulullah maksudnya: “Sesungguhnya Allah menetapkan ihsan buat setiap sesuatu. Maka jika kamu hendak membunuh, perelokkan pembunuhan itu.” (Riwayat Muslim)
2.Bukan dengan api.
Ibn Mas‘ud menceritakan bahawa beliau pernah bersama Nabi dalam satu musafir. Semasa Nabi pergi membuang air, ada sahabat yang membakar sarang semut. Tatkala Nabi kembali dan melihat sarang yang dibakar, lalu Baginda bertanya: “Siapa yang membakar ini?”
“Kami!”
“Sesungguhnya sesiapa pun tidak boleh mengazabkan dengan api melainkan Tuhan pencipta api!” (Riwayat Abu Dawud)
Wallahu a‘lam.
Ustaz Muhammad Luqman Makhtar
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 11
Muhammad Luqman Makhtar
Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Fiqh dan Usul al-Fiqh), UIAM. Pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Selayang. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.