Menu

 

A+ A A-

MUALAF ANTARA ADAB DAN HUKUM

Sengaja Batalkan Solat

Soalan : Saya seorang Muslimah yang baru memeluk Islam. Namun saya masih lagi tinggal bersama dengan keluarga saya yang masih belum memeluk Islam. Saya menghadapi masalah untuk mendirikan solat di rumah. Pernah terjadi beberapa kali saya terpaksa berhentikan solat secara mengejut apabila ibu saya masuk ke bilik. Kemudian saya akan solat semula apabila keadaan kembali selamat. Apa hukum perbuatan saya itu?

Jawapan :

RINGKASNYA: Secara prinsipnya tidak boleh seseorang memutuskan solatnya dengan sengaja melainkan disebabkan sebab-sebab yang dibenarkan syarak. Jika sekiranya dengan ibu saudari mengetahui hal saudari itu akan mengakibatkan saudari akan disakiti, maka tindakan saudari itu dibenarkan.

HURAIAN: Solat itu ada tempoh waktunya yang agak panjang. Harapnya saudari boleh memilih waktu yang paling sesuai untuk solat tanpa diganggu walaupun terpaksa sengaja melewatkannya. Contohnya saudari boleh solat Isyak di tengah-tengah malam ketika semua ahli keluarga sudah tidur dan solat Subuh pada awal waktu ketika ahli keluarga saudari masih nyenyak tidur.

Manakala untuk solat-solat yang lain, mungkin saudari boleh menunggu peluang ketika mereka tiada di rumah ataupun ketika mereka sedang sibuk dengan aktiviti masing-masing seperti memasak, menonton televisyen atau beriadah di luar rumah.

TAMBAHAN: Jika ibu saudari boleh menerima hakikat bahawa saudari sudah memilih Islam sebagai agama, maka insya-Allah lambat laun beliau boleh menerima bahawa saudari perlu beramal dengan agama itu.

Gunakanlah kata-kata yang baik dan penuh tata tertib serta berusahalah untuk memaafkan mereka jika mereka telah menyinggung perasaan saudari. Dalam masa yang sama, teruskanlah berdoa semoga mereka juga akan menerima nikmat hidayah seperti saudari.

Kerana Masuk Islam, Ibu Jatuh Sakit

Soalan :

Sejak saya memeluk Islam, ibu saya memutuskan hubungan dengan saya. Saya telah berusaha menghubungi beliau melalui pelbagai cara baik surat, telefon dan sebagainya. Beliau tetap keras hati tidak mahu berhubung dengan saya. Hingga kini sudah 13 tahun berlalu.

Hanya baru-baru ini saya mendapat berita beliau jatuh sakit. Menurut saudara saya, ibu jatuh sakit kerana tekanan perasan yang ada kaitan dengan saya. Apa yang patut saya lakukan sekarang? Adakah saya seorang anak yang berdosa kepada ibu saya yang tercinta?

Jawapan :

Memang menjadi sunnatullah (ketetapan Allah) bahawa Allah pasti akan menguji hamba-Nya dengan pelbagai jenis ujian. Tujuannya untuk mengurniakan kelebihan, mengangkat kedudukan di sisi-Nya dan menzahirkan kebenaran iman mereka dalam mengikuti jalan yang hak.

Seorang Mukmin sejati yang benar aqidahnya pastinya dia tidak akan tewas walau apa jua keadaan.

Hal yang saudari alami, pernah dilalui oleh para sahabat Nabi dahulu antaranya Saad bin Abi Waqqas. Ibu Saad berkata: “Kamu mengatakan bahawa Allah telah mengajarmu agar berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapamu dan aku ini ibumu. Aku menyuruhmu agar kembali semula kepada agamamu. Maka dengar dan patuhlah!”

Ibu Saad bersumpah untuk tidak bercakap selama-lamanya dan tidak akan makan dan minum sehinggalah Saad kembali semula kepada agama asalnya dan meninggalkan Islam. Setelah tiga hari, ibunya jatuh sakit dan pengsan. Lalu anaknya yang bernama Umarah memberinya minum lantas bergegas memanggil Saad untuk memaklumkan keadaan ibunya.

Dengan peristiwa ini, Allah menurunkan ayat, mafhumnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Jika mereka berdua mendesakmu agar kamu mempersekutukan- Ku dengan sesuatu yang tidak engkau ketahui tentangnya, maka janganlah engkau taat kepada mereka. Kepada Akulah tempat kamu kembali. Kemudiannya Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Ankabut: 8) (Riwayat Muslim)

Wahai saudari, teruskanlah untuk tetap teguh atas agama Allah ini. Dalam masa yang sama teruskan berbakti kepada ibu saudari sepertimana yang telah diperintahkan oleh Allah.

Sesungguhnya saudari tidak berdosa walau sedikit pun.

Ajar Non-Muslim Baca al-Quran

Soalan :

Saya ada seorang kawan karib bukan Islam yang amat berminat kepada Islam. Saya ada mengajarnya beberapa ayat al-Quran antaranya surah al-Fatihah. Namun saya tidak menyangka dia sanggup menghafalnya lalu memperdengarkan kepada saya. Apa hokum saya mengajar membaca al-Quran kepadanya sedangkan dia masih lagi belum memeluk Islam?

Jawapan :

RINGKASNYA: Tiada masalah mengajar al-Quran kepada seseorang bukan Islam yang sudah menampakkan kecenderungannya ke arah Islam.

HURAIAN: Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk ada menyatakan: “Telah berkata ashabuna: ‘Tidak dihalang bagi seorang kafir untuk mendengar bacaan al-Quran tetapi mereka dilarang daripada menyentuh mashaf. Adakah harus mengajarkan mereka al-Quran? Hal ini perlu dilihat kepada situasinya terlebih dahulu.

“Jika tiada kecenderungannya untuk menganut Islam, maka tidak harus. Jika didapati ada tanda-tanda bahawa dia cenderung untuk memeluk Islam, maka ketika itu adalah harus hukumnya menurut salah satu pandangan daripada dua pandangan dalam mazhab. Pendapat ini dipegang oleh QadiHussain, al-Baghawi dan beberapa orang ulama yang lain.’”

Imam Ibnu Hajar dalam Fath al- Bari pula menyatakan: “Masalah ini merupakan antara persoalan yang diperselisihkan dalam kalangan ulama salaf. Imam Malik melarang mengajar al-Quran kepada orang kafir dan Imam Abu Hanifah pula membolehkannya. Manakala Imam Syafi‘i pula ada beberapa pendapat.

“Secara jelasnya, pandangan yang terpilih adalah perlu dibezakan antara seorang kafir yang ada kecenderungan untuk memeluk Islam dan tidak dikhuatiri akan mencela dan menghina al-Quran dan seorang kafir yang tiada tanda-tanda kecenderungannya untuk memeluk Islam bahkan ada kemungkinan menyebabkan Islam boleh dicaci dan dicela olehnya.”

Wallahu a‘lam.

* Ashabuna: Gelaran yang digunakan untuk merujuk kepada tokoh-tokoh ulama mazhab Syafi‘I selepas Imam al-Syafi‘i dan sebelum Imam al-Nawawi.

 

Ustaz Salehuddin Abu Samah

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

 

Ustaz Salehuddin bin Abu Samah

B.A (Hons.) Syariah, Islamic University of Madinah. Kini bertugas sebagai Assistant Manager, Syariah Department, Bank Islam Malaysia Berhad. Pernah bertalaqqi (menuntut ilmu secara bersemuka) dalam bidang Fiqah, Hadits dan ilmu-ilmu Islam yang lain dengan ulama-ulama terkenal di Masjid Al-Nabawi, Madinah al-Munawwarah. Antara guru yang dikagumi Prof.Dr. Yusuf al-Qaradhowi, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, al-Syeikh Abu Bakar al-Jazairi, al-Syeikh Muhammad Mukhtar al-Syanqiti dan al-Syeikh ‘Atiyyah Muhammad Salim.

Kembali ke atas