Menu

 

A+ A A-

PANDUAN HUKUM BUAT “SAUDARA LAMA”

Ditulis oleh 

Kalau ada saudara baru, maka sepatutnya ada saudara lama. Saudara baru, reverted Muslim dan sebagainya hanyalah istilah yang manusia sendiri ciptakan. Jika hendak direkakan istilah lain, patut ada “orang Islam usaha” dan “orang Islam pusaka”.

mualafPada Allah, sesiapa yang mengucapkan syahadah, maka dia Muslim. Tiada baru atau lama. Boleh jadi orang baru itu lebih Islamnya daripada orang lama. Ambil contoh beberapa tokoh seperti Dr. Ridhuan Tee, Ustaz Farid Ravi dan Shah Kirit. Mereka pula yang mengajar orang lama. Pun begitu, mereka tetap digelar mualaf. Kelakar bukan?

Allah juga tidak mengukur hambanya berdasarkan senioriti sebaliknya meritokrasi. Namun senioriti itu satu peluang. Peluang meraih pahala Allah. Berikut adalah beberapa persoalan yang boleh menjadi panduan kepada “saudara lama” untuk mengambil kesempatan daripada senioriti mereka.

Islam kerana Berkahwin

Soalan : Sahkan Islam seorang yang menjadi mualaf kerana ingin berkahwin dengan seorang Muslimah?

Jawapan :

RINGKASNYA: Sah.

HURAIAN: Syariat tidak mensyaratkan agar diselidik dan ditapis sesiapa yang ingin memeluk Islam berdasarkan niatnya. Sebaik sahaja dia mengucapkan syahadah dengan penuh sedar akan maksud dan tuntutannya, maka dia menjadi Muslim.

NASIHAT: Bukan suatu yang aib apa lagi kesalahan apabila masuk Islam kerana hendak berkahwin. Bahkan berdosa jika kita memandang rendah soal iman dan hidayah. Ambillah peluang meraih pahala dengan membimbingnya menjadi seorang Muslim yang baik. Setiap ilmu dan bimbingan kita yang digunapakai olehnya, kitalah yang akan mendapat pahala walaupun sesudah mati.

Ramai juga mereka yang masuk Islam memang pada asalnya untuk berkahwin. Namun akhirnya dia menjadi Muslim yang baik. Bahkan lebih baik daripada sekian ramai “Muslim pusaka”.

Mempertikai Keislaman

Soalan :Satu hari ada seorang India beragama Hindu datang ke surau kami. Kami memang mengenalinya. Dia sekeluarga keluarga miskin dan dia sendiri bekerja sebagai pencuci kereta. Dia bertanyakan tentang cara untuk masuk Islam. Namun salah seorang daripada kami bertanya: “Engkau hendak masuk Islam sebab nak duit zakat kan?” Kemudian dia terus beredar. Saya masih tidak dapat lupakan peristiwa itu sampai sekarang.

Jawapan :Haram justeru berdosa kita mempertikaikan hasrat atau status keislaman seseorang. Boleh jadi pada awalnya dia tidak baik namun kemudiannya menjadi Muslim yang baik. Siapa yang tahu? Tanggungjawab saudara lama adalah membimbingnya supaya menjadi Muslim yang baik.

HUJAH: Kisah yang berlaku kepada Usamah bin Zaid, cucu angkat kesayangan Nabi. Beliau sendiri menceritakan: “Kami bertembung dengan seorang musuh. Tatkala kami mengepungnya, lalu dia mengucapkan lailahaillallah. Kami membunuhnya. Kemudiannya peristiwa itu aku laporkan kepada Nabi. Lalu Nabi bersabda: ‘Apa kamu nak buat dengan lailahaillallah pada hari kiamat nanti?!’

‘Wahai Rasulullah, dia ucapkannya hanya kerana takutkan senjata.’

‘Kamu belahkah hatinya sampai kamu boleh tahu bahawa dia mengucap kerana itu?! Apa kamu nak buat dengan lailahaillallah pada hari kiamat nanti?!’”

Usamah mengakhiri ceritanya:“Baginda tidak henti-henti mempersoalkan sehingga aku betul-betul berangan kalaulah aku tidak masuk Islam lagi melainkan selepas hari itu.” (Riwayat Abu Daud)

orang berborak

Segerakan Usah Bertangguh

Soalan : Dahulu saya ada seorang rakan bukan Muslim. Beberapa kali dia menyatakan hasratnya untuk menjadi Muslim kepada saya. Ketika itu saya menasihatinya agar fikir masak-masak dan belajar tentang Islam terlebih dahulu. Selepas itu dia terlibat dalam kemalangan dan meninggal dunia. Adakah saya berdosa?

Jawapan :

RINGKASNYA: Allah Maha Pengampun. Dia sudi mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya biar sebanyak manapun. Bahkan Dia sangat gembira dengan taubat hamba-Nya yang ikhlas. Tinggal lagi, susulilah sebarang kesalahan dan penyesalan dengan memperbanyakkan amalan.

TAMBAHAN: Syahadah itu sangat besar nilainya. Hayatilah daripada dua hadis berikut:

1. Huzaifah menceritakan bahawasanya Rasulullah bersabda bermaksud: “Islam akan meluntur sebagaimana melusuhnya baju. Hinggakan orang tidak tahu apa itu puasa, solat, haji atau zakat. Kitabullah akan diangkat pada waktu malam hingga tidak ada satu ayat pun yang tinggal di muka bumi.

“Ketika itu masih ada beberapa kumpulan manusia orang tuatua dan lemah. Mereka berkata: ‘Dahulu kami dapati nenek moyang kami sentiasa dengan kalimah ini: Lailahaillallah maka kami mengucapkan.’”

Seorang tabiin bernama Silah bertanya kepada Huzaifah: “Jadi apa faedahnya lailahaillallah kepada mereka sedangkan mereka tidak tahu solat, puasa, haji dan zakat?”

“Wahai Silah, itu menyelamatkan mereka daripada neraka!” Tiga kali Huzaifah mengulanginya. (Riwayat Ibn Majah).

2. Dahulu ada seorang budak Yahudi suka berkhidmat kepada Nabi. Kemudiannya dia jatuh sakit. Rasulullah pergi menziarahinya. Baginda duduk dekat dengan kepalanya dan bersabda: “Islamlah!” Budak Yahudi itu memandang ayahnya yang ada berdekatan. Ayahnya pun berkata: “Ikutlah Abu al-Qasim (Rasulullah).”

Budak itu pun memeluk Islam. Rasulullah keluar sambil bersabda: “Alhamdulillah yang menyelamatkannya daripada neraka.” (Riwayat al-Bukhari)

Beramal Sebelum Beriman

Soalan : Di tempat kerja kami ada seorang rakan non Muslim yang berminat dengan Islam. Namun dia tidak ingin masuk Islam lagi. Dia ingin mendalaminya terlebih dahulu. Dia ingin belajar membaca al-Fatihah dan ikut kami solat di surau. Bolehkah kami memenuhi hasratnya?

Jawapan:

Boleh. Sangat dialu-alukan. Tiada halangan untuk orang bukan Islam membaca al-Quran, mendengar atau mempelajarinya. Cuma elakkannya daripada memegang mashaf. Juga tiada halangan membiarkannya masuk ke surau dan mengikut kita solat.

TAMBAHAN: Memang ada perbezaan pendapat dan perbincangan panjang berkenaan hal ini dalam kalangan fuqaha. Maka kita mengambil pendapat yang mengharuskannya. Status orang kafir yang solat turut dibincangkan. Sebahagian fuqaha bahkan berpendapat dia sudah dikira Muslim.

Birokrasi Untuk Memudahkan

Soalan :

Saya mengenali seorang India Muslim yang telah masuk Islam lapan tahun yang lalu. Saya terkedu mendengar pengalamannya semasa memeluk Islam. Dia diarah mengulang-ulang lafaz syahadah. Sebelum itu dia diminta membawa dua orang saksi Muslim dan mengambil gambarnya bersongkok.

Dia memang mengeluh dan hampir membatalkan hasratnya. Mujur ketika itu dia berfikir bahawa untuk mendapat kebenaran itu perlu bersusah payah, bahkan beliau pernah diherdik oleh petugas di pejabat semasa ingin memohon zakat.

Kini beliau seorang usahawan ternak yang berjaya. Mohon ustaz kongsikan pengalamannya kepada orang lain buat pengajaran bersama.

Jawapan: Bahkan saya ada membaca kisah orang yang membatalkan hasratnya untuk memeluk Islam disebabkan kerenah birokrasi. Sama-sama kita memahami roh Islam itu sendiri. Allah berfirman mafhumnya: “Saling membantulah kamu ke arah kebaikan dan ketakwaan. Janganlah kamu saling menolong ke arah dosa dan permusuhan.” (Surah al-Maidah: 2 )

Rasulullah turut bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mengutusku untuk mempersulit atau memperberat, melainkan sebagai seorang pengajar yang memudahkan.” (Riwayat Muslim)

Namun saya bersangka baik mudah-mudahan pada hari ini sudah tidak ada lagi peristiwa malang seumpama ini terjadi.

Syaratkan Masuk Islam

Soalan : Ada seorang gelandangan bukan Islam datang ke surau kami untuk tinggal di situ. Dia menawarkan diri untuk menjadi penjaga kebersihan surau itu jika diizinkan tinggal di situ. Buat masa sekarang kami izinkannya tinggal di situ. Namun jawatankuasa surau agak keberatan. Jika kami ingin mengizinkannya, bolehkah kami mensyaratkannya supaya memeluk Islam dahulu?

Jawapan:

Insya-Allah boleh. Islam tidak memaksa manusia menganutnya. Namun Islam terbuka menerima sesiapa yang memeluknya secara terpaksa. Saya kira langkah tersebut sama seperti tindakan Nabi dalam peperangan yang menawarkan kepada pihak kafir dengan tiga pilihan: Masuk Islam, bayar jizyah atau berperang.

Dia datang kepada kita, itu sudah sangat-sangat baik. Ambillah peluang pahala. Selamatkannya daripada neraka.

org dgn budakTukar Kerja Dahulu

Soalan : Dia berminat masuk Islam, tetapi dia bekerja sebagai pemandu lori bawa arak. Adakah dia mesti menukar kerjanya dahulu sebelum boleh memeluk Islam?

Jawapan :

Tidak perlu. Langkah utama sekarang, biarkan dia masuk Islam dahulu. Tidak disyaratkan dia mesti meninggalkan segala keburukan dan kejahatan jika hendak memeluk Islam. Namun jika telah memeluk Islam, dia wajib meninggalkannya. Itupun secara berhikmah dan beransur-ansur.

Firman Allah mafhumnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakan dan juga menanggung dosa kejahatan apa yang diusahakannya.” (Surah al- Baqarah: 286)

Mualaf Perangai Buruk

Soalan : Saya pernah melihat seorang memaki saudara baru: “Engkau ni dahlah mualaf, buat pula kerja tidak senonoh!” Dia dicekup kerana tidak berpuasa pada bulan Ramadan. Mohon komen ustaz.

Jawapan : Jika begitu apa bezanya dengan saudara lama yang jahat? Allah sekali-kali tidak “double standard”. Soal iman dan dosa-pahala itu hak Allah. Jangan kita pula melampaui batas.

Jangan sampai mempertikaikan keislaman seseorang. Jangan pula sampai menyangka dan mendakwa seorang Muslim itu tidak lagi Islam. Rasulullah bersabda maksudnya:“Sesiapa yang berkata kepada saudaranya: ‘Hei si kafir!’, maka tuduhan itu pasti mengena salah seorangnya. Jika tidak yang dituduh, maka yang menuduhnya!” (Riwayat al-Bukhari)

Bimbing Suami Mualaf

Soalan: Bagaimana saya hendak membimbing suami mualaf yang tidak menjaga solat? Jauh sekali hendak belajar agama. Dia masuk Islam dahulu pun kerana ingin berkahwin.

Jawapan : Pada saya, sebelum kita ingin mengubah keadaan, ubahlah dahulu pandangan kita tentang keadaan itu. Jadi pertama sekali, jangan ada sesal di hati puan kerana berkahwin. Usah kecewa dan putus asa. Anggaplah dirinya sebagai ujian dan peluang. Dengannya Allah ingin menyucikan diri daripada dosa mengangkat darjat puan.

Allah sudah beritahu awal-awal lagi: “Sesungguhnya kamu tidak berupaya memberi hidayah kepada sesiapa yang kamu sayangi. Namun Allah sahajalah yang memberi hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.” (Surah al-Qasas: 56)

Ya, kita tidak akan dipertanggungjawabkan jika orang tersayang kita tidak mendapat kesedaran dan hidayah. Namun kita bertugas sebagai agen hidayah yang menyediakan segala kemungkinan agar dia mendapat hidayah. Secara ringkasnya, saya boleh mencadangkan beberapa langkah asas berikut:

1.Usah mengeluh, tunjukkan contoh.

Perbanyakkan solat, membaca al-Quran dan berzikir semasa keberadaannya.Sedikit sebanyak dia akan terkesan dengan pancaran ketenangan daripada ibadah tersebut.

2. Usah secara terus, bimbing secara halus.

Jika dia liat untuk belajar agama, puan sendiri yang perlu perbanyakkan usaha menuntut ilmu. Kerapkan mendengar ceramah agama di TV, radio dan sebagainya. Banyakkan membeli dan membaca buku agama di rumah. Suatu hari, dia akan tergerak hati membelek buku itu.

3. Serlahkan semula “kecantikan” puan.

Saya beranggapan baik bahawa dia meminati puan dahulu pun disebabkan kecantikan akhlak dan keperibadian puan. Akhlak dibentuk oleh agama. Maka jadilah isteri yang romantik. Jika dia tertarik dengan akhlak, dia pasti tertarik dengan agama.

4. Jangan memaksa, berikannya masa.

Ada orang yang Islam sudah 30, 40 tahun tetapi masih tidak menjaga solat. Inikan dia yang baru setahun dua.

5. Jangan berhenti berdoa dan mengharap kepada Allah.

Antara Adat dan Syariat

Soalan : Atas pelawaan sebuah NGO, kami bercadang untuk mengambil seorang remaja mualaf ini sebagai anak angkat. Apa nasihat ustaz dalam membimbingnya?

Jawapan : Tahniah. Allah sahajalah yang mampu membalas jasa besar tuan puan. Secara ringkasnya, saya ingin menyentuh dua prinsip yang perlu kita fahami:

1.Bezakan antara adat dan syariat.

Pada hari ini ramai masyarakat tidak dapat membezakan antara adat dan syariat. Memakai baju Melayu atau baju kurung, berjubah atau berserban, makan bersila dan menggunakan tangan atau seumpamanya itu hakikatnya adat sahaja. Maka jangan memaksa dia mengubah adat dan gaya hidupnya sebelum ini dengan adat Melayu.

Berikannya gambaran Islam yang sebenar, bukannya dalam versi sempit berdasarkan bangsa tertentu

2. Bezakan antara Sunat dan Wajib

Berkaitan ibadah pula, berikan penekanan tentang perkara yang wajib. Abaikan perkara sunat dahulu. Apatah lagi perkara bukan sunat yang disangka sunat seperti lafaz usalli.

Kita ambil lafaz usalli sebagai contoh kes. Dalam mazhab Syafi‘i, yang sunat adalah melafazkan niat. Antara hikmah disunatkan melafazkan niat sebelum solat adalah untuk menghadirkan dan meneguhkan niat untuk solat.

Jadi kalau orang Arab bermazhab Syafi‘i, logiklah lafaz niatnya dalam bahasa Arab kerana itu bahasa mereka. Namun kenapa orang yang bercakap dalam bahasa Melayu, tetapi lafaz niatnya dalam bahasa Arab yang dia sendiri tidak faham?

Jadi bayangkan, dia mengucap syahadah pun pelat. Kemudian dipaksa pula untuk menghafal lafaz niat dalam bahasa Arab. Bukan satu, tetapi lima. Kalau berjemaah pula, berubah pula sedikit lafaznya. Ini pun tidak kira dengan lafaz solat jamak dan qasar yang lebih memeningkan.

Kekal Vegetarian

Bolehkah seorang saudara baru itu kekal dengan gaya pemakanan vegetariannya?

Jawapan : Boleh. Asalkan motivasinya bukan lagi atas faktor kepercayaan tertentu.

Oh My God!

Soalan : Isteri saya seorang mualaf. Beliau seorang guru bahasa Inggeris. Kami juga bercakap dalam bahasa Inggeris di rumah. Selalu terkeluar daripada mulutnya kalimah “Oh my God”. Beliau pernah ditegur secara baik oleh seorang ustazah di sekolahnya. Menurut ustazah itu, haram menyebut perkataan itu. Betulkah begitu?

Jawapan :

Tidak benar sama sekali. Sebagaimana tidak haram menyebut “ya Tuhanku” dalam bahasa Melayu, maka tidak haram juga untuk dia menyebut “Oh my God”. Bahkan bahasa pertuturannya bahasa Inggeris. Lafaz God itu sendiri merujuk kepada Tuhan Yang Esa iaitu Allah dalam bahasa Inggeris.

TAMBAHAN: Lainlah pula hukumnya jika orang Islam yang bertutur dalam bahasa Melayu tetapi mengada-ngada membudayakan sebutan “Oh My God” atau OMG. Jika asas perbuatan itu kerana meniru budaya orang kafir, maka boleh jadi haram hukumnya.

Wallahu a‘lam.

 

 

Ustaz Muhammad Luqman Makhtar

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10

 


 

Read 3412 times
Muhammad Luqman Makhtar

Sarjana Muda Ilmu Wahyu (Fiqh dan Usul al-Fiqh), UIAM. Pernah berkhidmat di Kolej Komuniti Masjid Tanah dan Selayang. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

special-4157 special-4099special-3928