HUKUM MOGOK LAPAR & KERJAYA PEGUAM
- Ditulis oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqar
- Kategori Hukum
- Read 5783 times
Apa hukum mogok lapar untuk memprotes kezaliman? Bagaimana untuk menguruskan orang seperti ini?
Jawapan :Dalam Islam tidak ada yang disebut sebagai mogok lapar demi mencapai matlamat tertentu. Ia adalah satu tindakan negatif dan tidak boleh dilakukan. Banyak lagi cara yang boleh dilakukan.
Sesiapa yang melakukannya, maka ia telah memudaratkan diri sendiri dengan lapar dan haus tanpa beroleh ganjaran pahala. Terdapat satu hadis yang masyhur Syeikh Atiyyah Saqr berbunyi: “Jangan membahayakan orang lain dan diri sendiri.” Pada saat yang sama orang ini mendedahkan dirinya kepada kematian.
Allah s.w.t. berfirman mafhumnya: “Jangan engkau lemparkan dirimu dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195)
Sesiapa yang mati akibat mogok seperti ini, maka ia telah membunuh diri. Bunuh diri satu dosa yang sangat besar. Jika dia berpendapat bahawa perbuatan itu halal (dibenarkan Islam), maka ia telah kafir. Maka dia tidak perlu dimandikan, disolatkan dan dikuburkan di perkuburan Islam.
Kerjaya Peguam
Soalan : Apa hukum kerjaya sebagai peguam yang bekerja mewakili anak guamnya dalam kes-kes di mahkamah?
Jawapan : Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sabda Nabi maksudnya: “Saya hanya manusia biasa. Kamu semua mengadukan pertikaiannya kepadaku. Boleh jadi sebahagian daripada kamu lebih pandai dalam berhujah daripada saudaranya, lalu aku menghukumkan mengikut hujah hujah yang aku dengar. Oleh sebab itu, siapa yang aku menangkan dan aku berikan hak saudaranya kepadanya, maka sesungguhnya ia memberinya sepotong api neraka.”
Abu Dawud dan al-Tabarani juga ada meriwayatkan dengan sanad yang baik dan disahihkan oleh al-Hakim bahawa Nabi bersabda maksudnya: “Sesiapa yang membantu dalam pertikaian tanpa hak, maka ia berada dalam murka Allah hingga ia tinggalkan perbuatan itu.”
Dalam riwayat al-Tabarani: “Sesiapa yang membantu orang zalim dengan batil untuk mengalahkan kebenaran, maka ia telah terlepas daripada perlindungan Allah dan rasul-Nya.”
Hadis-hadis ini menjelaskan bahayanya mengambil hak orang lain secara zalim. Meskipun ia mengambilnya atas keputusan hakim yang dibina atas hujah, bukti dan saksi yang diajukan. Hakim hanya membuat keputusan sesuai dengan penilaian zahirnya sahaja. Hakikat sebenar hanya Allah yang tahu.
Hukum ini adalah untuk orang yang terlibat dalam sebarang pertikaian dan melakukan sendiri usaha membela dirinya. Hukum ini juga meliputi sesiapa sahaja yang menjadi wakil bagi salah satu pihak yang terbabit.
Al-Quran menetapkan dalam ayat berhutang mengenai kewajipan untuk berlaku adil dalam menulis surat-menyurat hukum. Allah juga memerintahkan para wali yang mewakili anak-anak atau orang yang jahil dalam menulis dokumen agar takut kepada Allah dan memelihara keadilan.
Firman Allah mafhumnya: “Dan hendaklah orang yang berhutang itu merekodkan (butiran hutang) dan hendaklah ia bertakwa kepada Allah Tuhannya. Janganlah ia mengurangi sedikitpun daripada hutangnya. Jika yang berhutang itu seorang yang lemah akal atau lemah (keadaannya) atau dia sendiri tidak mampu merekodkan, maka hendaklah walinya merekodkan dengan jujur.” (Surah al-Baqarah: 281)
Peguam ialah wakil bagi pihak dalam kes pertikaian. Maka ia mesti bertakwa kepada Allah dan menjaga hukum-hukum-Nya. Jika ia mengetahui bahawa hak berada di pihak anak guamnya, maka tidak mengapa mewakilinya dalam kes ini.
Bahkan ia akan mendapatkan ganjaran secara moral, material dan keagamaan. Perbuatan ini merupakan satu bentuk saling menolong dalam kebaikan dan takwa, membantu orang yang dizalimi dan membantu hakim dalam memutuskan perkara dengan hak.
Adapun jika ia mengetahui bahawa pihak anak guamnya bersalah, namun ia berusaha untuk membelanya dengan pelbagai muslihat dan helah agar ia terlepas daripada tuduhan, maka hadishadis tadi sangat jelas melarang daripada membantu kebatilan dan menghalangi kebenaran. Antaranya hadis Abu Dawud, maksudnya: “Sesiapa yang membantu dalam pertikaian dengan cara yang batil, maka ia telah mengundang murka Allah.”
Selain membantu kejahatan, perbuatan itu juga mengandungi penyaksian daripada peguam bahawa anak guamnya tidak bersalah. Ini sebuah penyaksian palsu. Maka dia telah berhadapan dengan ancaman Nabi: “Sesiapa yang bersaksi atas sesuatu yang tidak ada, maka Allah akan menempatkannya di dalam Radgah Khabal hingga ia berlepas diri daripada penyaksian tersebut.” Radghah Khabal ialah tempat najis dan peluh ahli neraka sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis riwayat Muslim.
Dalam hadis gharib -yakni hadis yang diriwayatkan oleh seorang perawi sahaja- riwayat al-Tabarani dalam Mu‘jam al-Kabir: “Sesiapa yang membantu orang zalim padahal ia mengetahui kezalimannya, maka ia telah terkeluar daripada agama Islam.”
Hadis ini bagi orang yang beranggapan bahawa membantu orang zalim itu halal. Meyakini bahawa yang haram itu halal merupakan satu kekufuran.
Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulum al-Din menjelaskan bahawa wakil dalam pertikaian halal mendapat upah jika ia membelanya dalam kebenaran. Namun hukumnya haram jika ia membelanya dalam kebatilan.
Hendaklah kita selalu mengingat firman Allah mafhumnya: “Sekarang ini kamu berdebat untuk (membela) mereka dalam kehidupan dunia. Maka siapakah yang akan berdebat dengan Allah untuk (membela) mereka pada hari kiamat? Dan siapakah yang akan menjadi wakil mereka nanti?” (Surah al-Nisa’: 109)
Wallahu a‘lam.
Syeikh ‘Attiyyah Saqr (1914-2006)
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 10
Syeikh ‘Atiyyah Saqar
Nama beliau ialah Sahibul Samahah Fadhilatul Syeikh Atiyyah Muhammad Atiyyah Saqr. Beliau masyhur dengan panggilan Syeikh Atiyyah Saqr. Dilahirkan di perkampungan Behna Bai, Zaqaziq Syarqiyyah pada hari Ahad tanggal 4 Muharram 1333 hijriyyah bersamaan 22 November 1914 masihi.
Antara jawatan yang pernah disandang oleh al-Marhum Fadhilatul Syeikh Atiyyah Saqr sepanjang terlibat sebagai pendakwah ialah beliau pernah memegang jawatan sebagai pensyarah di jabatan pengajian agama Islam dan Bahasa Arab bagi peringkat PHD. Beliau turut diamanahkan sebagai pengarah bagi Jabatan Syeikhul Azhar dan salah seorang daripada ahli jawatankuasa Majma’ Buhuts Islamiyyah (Majlis Kajian Dan Penyelidikan Islam) di Mesir. Beliau juga turut diamanahkan untuk menjadi penasihat kepada Menteri Keagamaan Mesir, juga sebagai Ketua Lajnah Fatwa dan sebagainya.
Al-Marhum Syeikh juga sering terlibat di dalam rancangan-rancangan agama yang disiarkan di corong-corong radio dan di kaca televisyen. Penulisan beliau juga banyak memberi manfaat kepada pembaca. Jawapan beliau terhadap soalan yang diajukan kepadanya adalah sangat kemas, disiplin dan berwibawa. Di Malaysia, Ustaz Azhar Idrus adalah antara tokoh ilmuwan yang mengkagumi Syeikh Atiyyah Saqr, dan sering menyandarkan rujukan jawapannya kepada ulama besar ini.
Pemergian al-Marhum sangat dirasai oleh setiap umat Islam khususnya kepada golongan yang mencintai para ulama. Al-Marhum kembali ke rahmatullah pada pagi 18 Zul Qa'dah 1427 bersamaan 9 Disember 2006 di rumah beliau di St. Theresa, Syubro. Umat Islam telah kehilangan sebutir lagi mutiara yang sangat berharga. Semoga roh beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan auliya' al-solihin. Al-Fatihah.