Menu

 

A+ A A-

HUKUM JINAYAH ISLAM – MENCEGAH BERLAKU KEJAHATAN

Ditulis oleh 

KEBANYAKAN umat Islam sampai sekarang ini masih lagi mengamalkan undang-undang yang diimport dari negara-negara Barat atau Eropah yang pernah menjajah mereka berabad-abad lamanya. Hampir semua bidang kehidupan mereka diatur dengan undang-undang tersebut. Di antara undang-undang tersebut ialah undang-undang Jenayah (Pidana, Criminal Law).

Islam mempunyai sistem undang-undang Jenayah tersendiri, berbeza dengan mana-mana undang-undang di dunia ini. Perbezaan-perbezaan tersebut terletak pada sumber-sumbernya, jiwa hukum, materi hukum, falsafah hukum, acaranya dan objektifnya. Hukum Jenayah Islam berdasarkan wahyu Allah dan sabda Rasul-Nya yang maksum, serta prinsip-prinsip amnya. Ia bukan ciptaan manusia yang serba daif, tapi adalah kebenaran mutlak kerana berasal dari Allah yang maha mutlak kebenaran dan kebijaksanaan-Nya.

Pelaksanaan hukum Jenayah Islam (dan lain-lain hukum Allah) adalah wajib dan dengan pelaksanaannya Allah berjanji akan wujud ketenteraman, keadilan dan kebahagiaan yang merata bagi semua manusia serta makhluk sejagat dan Allah tidak memungkiri janji-janji-Nya.

Firman Allah; “Barangsiapa mengikut petunjuk-Ku, ia tidak akan menjadi sesat dan tidak (mendapat) celaka.” (Surah Toha: 123) “Barangsiapa mengikut petunjuk-Ku, maka ia tidak akan merasa takut dan tidak pula mereka berdukacita.” (Surah al-Baqarah: 38)

Matlamat Hukum Jenayah Islam

Tujuan utama Hukum Jenayah Islam ialah untuk mendidik manusia menjadi insan kamil (sempurna dan mulia) yang bermanfaat kepada dirinya dan alam sejagat, tercegah daripada melakukan kejahatan-kejahatan yang merosakkan iman dan sahsiahnya, serta menghalangnya daripada mengulangi kejahatan selanjutnya jika ia telah melakukan kejahatan itu. Ini adalah tujuan yang khusus. Sementara tujuannya yang umum ialah untuk mewujudkan dan melindungi maslahat umum, masyarakat dan negara.

Dalam mana-mana masyarakat pun pasti ada orang yang jahat, sebagaimana juga dalam setiap tubuh badan manusia ada penyakitnya, sama ada banyak atau sedikit. Seorang pembunuh adalah manusia yang berpenyakit dan ia merupakan salah satu elemen buruk dalam masyarakat, yang sangat berbahaya terhadap masyarakat keseluruhannya.

Adanya pembunuh pasti akan menggugat keharmonian dan kestabilan masyarakat. Bagi mengawal dan melindungi keselamatan masyarakat seluruhnya, maka pembunuh wajib dimusnahkan.

jinayah2

Ibarat Doktor Dengan Pesakitnya

Dalam hal ini peranan Syari’at dalam hal mengubati masyarakat sama dengan peranan seorang doktor terhadap pesakitnya. Selama penyakit dapat diubati dan tidak menjangkiti anggota yang lain selama itulah ia wajib diubati, tetapi kalau sudah tidak dapat diubati, maka anggota yang berpenyakit itu wajib dimusnahkan.

Dalam dunia ini tidak ada undangundang yang memberikan layanan yang sama kepada orang baik dan orang jahat, dan tidak ada pula undang-undang yang menghormati kebebasan orang jahat dan tidak ada undang-undang yang memberikan syurga kepada penjahat. Yang berbeza cuma mengenai jenis-jenis kejahatan dan berat atau ringannya hukuman seksa ke atas kejahatan-kejahatan itu.

Hukuman mati dalam kejahatan-kejahatan tertentu masih lagi diamalkan dan dipertahankan dalam kebanyakan negara di dunia. Dan dalam semua undang-undang jenayah dunia masakini ada peruntukan-peruntukan undang-undang mengenai hukuman penjara seumur hidup, penjara untuk sementara waktu, kurungan, denda, pencabutan hak, perampasan atas harta dan sebagainya.

Hukuman-hukuman itu adalah sangat perlu bagi menjamin ketenteraman masyarakat dan negara. Hanya masyarakat haiwan sahajalah yang tidak mempunyai undang-undang yang tertulis serupa itu.

Maka untuk mengawal dan melindunginya, Allah telah menetapkan syariat yang mengandungi hukum-hukum dan norma-norma kaedah yang tetap. Dan supaya objektif-objektif itu terjamin pencapaiannya, maka Islam secara khusus menetapkan hukum jenayah yang akan secara langsung mencegah berlakunya kejahatan. Dan bila kejahatan itu berlaku maka satu tindakan hukum yang bersifat uqubah (seksa di dunia) wajiblah dikenakan atas yang bersalah menurut ketentuan hukum.

Uqubah dan ‘Iqab

Uqubah itu ada yang berbentuk uqubah nafsiah (jiwa), uqubah badaniah (jasad), uqubah maliah (harta), uqubah adabiah (moral) dan gabungan antara uqubah tersebut. Di samping itu ada pula satu uqubah yang paling istimewa dan yang paling ditakuti oleh orang yang beriman, iaitu ‘iqab (pembalasan seksa) di akhirat.

Kerana kealpaan alat-alat penguasa undang-undang, atau kerana kelicikan para pelaku jenayah, atau kerana kedudukan, atau kerana kekuasaan politik, atau pengaruh kekayaan atau keberuntungan, kadang-kadang manusia dapat bebas dari hukuman duniawi, tetapi tidak siapa yang dapat mengelakkan dirinya dari hukuman yang setimpal di akhirat kelak.

Allah berfirman, maksudnya; “Maka barangsiapa yang melakukan kebaikan sebesar atom pasti ia akan melihatnya, dan barangsiapa yang melakukan kejahatan sebesar atom pasti ia dapat melihatnya.” (Surah al-Zalzalah: 7-8) ¤

 

Solusi

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana

_______________________________________________________________________

 

Read 9800 times
Solusi

Berteraskan motto untuk menjadikan majalah Solusi sebagai panduan ke arah hidup yang bersyariat yang bersasarkan al-Quran & Sunnah. Berkonsepkan keagamaan yang menyentuh soal fardhu ain dan juga motivasi. Sesuai untuk dijadikan bahan bacaan harian untuk mendidik diri, menambah ilmu dan dikongsikan bersama.

 

Dapatkan majalah Solusi keluaran terbaru di Addeen Online Store!