Menu

 

A+ A A-

HUKUM MENCIUM ISTERI DI SIANG HARI PADA BULAN RAMADHAN

USTAZ, setahun lalu saya bernikah beberapa hari sebelum sampai bulan Ramadan. Sebelum saya pergi bekerja, saya akan mencium isteri dan melakukan perkara yang sama pada bulan Ramadan. Persoalannya, apakah hukum mencium isteri pada bulan Ramadan? Saya pernah mendengar ceramah di masjid, dilarang mencium isteri pada bulan Ramadan, betulkah ustaz?

Mencium isteri adalah sebahagian daripada kasih sayang, cinta dan perhatian daripada suami. Kebiasaannya, apabila hendak meninggalkan isteri seperti pergi bekerja, si suami akan mencium isterinya terlebih dahulu. Hukum asalnya adalah mubah (harus), bahkan boleh jadi ibadah jika diniatkan untuk menunaikan perintah Allah sebagaimana yang disebut dalam surah al-Nisa’ ayat 19 yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka (isteri-isterimu) dengan cara yang makruf (baik).”

Salah satu cara bergaul dengan isteri dengan cara yang makruf iaitu dengan menciumnya. Kebiasaan saudara mencium isteri itu tidaklah salah dan dibenarkan oleh syariat kerana Rasulullah s.a.w. juga melakukan demikian, bahkan pada bulan Ramadan. Dalam hal ini, Aisyah r.ha. pernah berkata dalam riwayat Muslim: “Rasulullah s.a.w. mencium dan menyentuhnya dalam keadaan puasa.” Dalam riwayat yang lain: “Baginda menciumnya pada bulan Ramadan dan Baginda sedang berpuasa”.

Begitu juga dengan isteri yang lain dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada Ummu Salamah: “Nabi s.a.w. mencium isterinya dalam keadaan berpuasa.”

Pernah Umar bin Abi Salamah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Bolehkah orang yang sedang berpuasa mencium? Jawab Rasulullah s.a.w.: ‘Tanyalah kepada orang ini (sambil menunjuk kepada Ummi Salamah).’ Kemudian Ummu Salamah memberitahu bahawa Rasulullah s.a.w. melakukannya. Lalu Umar bin Abi Salamah berkata: ‘Dosamu telah diampuni, baik yang lalu mahupun yang akan datang.’ Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Demi Allah, akulah orang yang paling bertakwa dan takut kepada-Nya.’” (Riwayat Muslim)

Atas dasar beberapa hadis yang dikemukakan di atas, sebahagian ulama berpandangan bahawa mencium isteri pada siang hari bulan Ramadan itu harus dan tidak ada halangan melakukannya. Namun ada sebahagian ulama berpandangan jika cium itu disertai dengan syahwat, maka hukumnya makruh kerana unsur puasa itu adalah menahan syahwat. Pandangan kedua ini berhujah bahawa Nabi ketika mencium isterinya pada bulan Ramadan tidak disertai syahwat? Perkara tersebut agak sukar buat manusia biasa.

Daripada penjelasan tersebut, saya menyarankan agar saudara cuba menghindari daripada mencium isteri pada siang hari bulan Ramadan kerana bimbang ketika mencium dapat merangsang syahwat dan menimbulkan keinginan untuk melakukan hubungan suami isteri. Seperti yang kita maklum, melakukan hubungan suami isteri adalah suatu yang sangat dilarang dalam bulan puasa. Justeru tundalah keinginan anda untuk mencium itu hingga setelah waktu berbuka. Lebih-lebih lagi bagi pasangan yang baru berkahwin. Demikianlah, wallahua’lam.

 

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 01

 


 

Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif

Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas