Menu

 

A+ A A-

JOM DERMA ORGAN

Derma Organ

APAKAH hukum menderma organ sebenarnya? Ada ustaz mengatakan hukumnya haram dan ada juga yang mengatakan dibolehkan.

Sebenarnya terdapat dua pandangan ulama yang berbeza:

1. Haram. Antara hujah mereka, pemindahan organ badan memberi kemudaratan kepada penderma. Tambahan pula anggota badan manusia adalah milik Allah, sesiapa pun tidak boleh mendermakannya melainkan dengan izin Allah.

2. Harus sekiranya memenuhi syarat-syaratnya. Antara hujah mereka, tindakan tersebut termasuk bawah maksud darurat. Prinsipnya, darurat mengharuskan perkara yang diharamkan. Sayidina Umar r.a. pernah berkata: “Sesuatu perkara yang memberi manfaat kepada saudara kamu dan tidak memudaratkan kamu, kenapa kamu menghalangnya?” Manakala Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat bahawa proses pendermaan organ badan tidak menafikan kehormatan terhadap mayat. Ini kerana proses pemindahan organ badan dilakukan dengan penuh penghormatan dan teliti.

jom-derma-organ-1

Derma Organ kepada Non-Muslim

Adakah seorang Muslim boleh menderma organ kepada non-Muslim? Ini kerana sekiranya kita menjadi pengikrar dan organ kita akan didermakan selepas kematian, kita tidak tahu siapa yang akan menerima organ kita sama ada Muslim atau tidak.

Di sini saya menukilkan jawapan guru saya, Imam al-Qaradawi: “Dibolehkan menderma organ kepada mereka yang bukan beragama Islam selagi mana mereka tidak memerangi kita.” Bagi saya, pendermaan organ kepada orang bukan Islam merupakan lambang hubungan kemanusiaan walaupun berbeza agama. Agama kita tidak menghalang kita melakukan kebaikan kepada orang bukan Islam. Firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah 60: 8)

Jual Organ

Apa pula hukum seseorang menjual organnya? Banyak kes orang menjual organ badan sendiri kerana kesempitan hidup.

Sekali lagi ulama berbeza pandangan dalam hal ini:

1. Haram. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menunjukkan kemuliaan manusia dan larangan menjual manusia. Ini merupakan pendapat majoriti ulama termasuk Imam al-Qaradawi, ulama-ulama kontemporari dan kesatuan-kesatuan fiqah-fiqah sedunia. Dan pendapat inilah kita fatwakan.

2. Harus. Ini adalah pendapat Ibn Hazm, Ibn Qudamah dan Syed Sabiq. Ibn Hazm berkata: “Adapun rambut, najis, air kencing dan semua benda yang dibuang, apabila ia dimiliki maka boleh seseorang menjualnya”. Ibn Qudamah pula berkata: “Kesemua anggota tubuh manusia boleh dijual.”

Jual Susu Ibu

Bagaimana pula dengan hukum menjual susu ibu?

Susu ibu dihasilkan oleh badan manusia dan ia makanan kepada bayi selama dua tahun. Ia sesuatu yang suci (bukan najis) mengikut jumhur ulama. Namun ulama tidak sependapat dalam persoalan penjualannya:

1. Harus. Ini merupakan pendapat Imam Malik, mazhab Syafi‘i dan Zahiri. Antara hujah mereka adalah maksud umum ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan menghalalkan perniagaan.” (Surah al-Baqarah 2: 275) Tambahan pula tiada dalil khusus yang menetapkan pengharaman penjualannya. Maka ia kekal menjadi harus.

2. Haram. Ini merupakan pendapat mazhab Hanafi. Antara hujah mereka, susu manusia bukannya sesuatu yang boleh dijual beli dan ia tidak dianggap sebagai harta.

jom-derma-organ-2

Ustaz Ahmad Fauwaz Fadhil Noor
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas