Menu

 

A+ A A-

HUKUM SYARIAT: ANDAINYA ENGKAU TAHU AKAN KASIH SAYANG-NYA

Secara jujurnya, saya melihat Islam agama yang penuh dengan hukum. Apa-apa sahaja aktiviti hidup manusia mesti ada hukumnya sama ada haram, halal, sunat, makruh dan seumpamanya. Mengapa ya?

Memang benar Islam ialah agama yang penuh dengan hukum. Ia sebagai ujian keimanan buat hamba-hamba Allah. Juga sebagai pengawal nafsu dan diri manusia agar tidak keluar daripada kerangka kehambaan kepada Allah s.w.t. Hasilnya kita dapat menjalani kehidupan dengan cara hidup Muslim bersyariat.

Hakikat Manusia

Sebenarnya, sebelum kita mengetahui tentang hukum hakam dalam syariat Islam, sewajarnya kita memahami akan hakikat kehambaan. Manusia ialah ciptaan Allah s.w.t. Fahamilah ayat Allah s.w.t. dalam surah al-Dhariyat ayat 56 yang mana Allah menyedarkan kita dengan firman-Nya yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah kepada-Ku.”

Hakikat Islam

Setelah menyedari bahawa manusia diciptakan oleh Allah s.w.t. dengan objektif agung iaitu menyembah dan beribadat kepada-Nya. Maka sudah pasti sebagai Muslim, kita akan mengambil Islam sebagai jalan dan panduan untuk hidup atas muka bumi ini. Justeru, agama Islamlah jawapannya yang dapat mengatur dan mentadbir bukan sahaja kebendaan malahan akal dan hati kita. Fikirkanlah firman Allah s.w.t. dalam surah Ali ‘Imran ayat 19 yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam.”

Hukum, Hakim dan Hikmah

Saya ingin membawa pembaca kepada satu fakta yang menarik dalam membicarakan persoalan hukum ini. Pernahkah pembaca mendengar perkataan hakim dan juga hikmah? Sebenarnya perkataan hukum, hakim dan hikmah mempunyai hubung kait yang rapat. Ini kerana kesemuanya mempunyai makna asal yang sama iaitu “memutuskan, menegah dan menghalang”. Oleh sebab itu, definisi bagi ketiga-tiga perkataan tadi adalah seperti berikut:

hukum-syariat-1

Hukum untuk Manusia Hidup Berhikmah

Kesimpulannya, bagi setiap perkataan tadi mempunyai signifikan yang perlu dijaga yang akhirnya membawa kepada hakikat kehambaan kepada Allah s.w.t. iaitu untuk membentuk acuan hidup yang bersyariat. Seorang Muslim yang memahami hakikat hukum seperti yang telah diterangkan tadi akan memahami bahawa dirinya dididik dan dibentuk oleh Allah s.w.t. untuk hidup dengan berhikmah. Tanpa hikmah, manusia akan hidup dipenuhi kesombongan, kezaliman, kegilaan dalam keseronokan dan pelbagai lagi bentuk tindakan yang melampaui hakikat sebagai seorang manusia. Dengannya juga, kita dapat memahami bahawa satu-satu hukum itu mengandungi kewajarannya, bentuk kewajaran dan waktu yang wajar.

Perhatikan jadual berikutnya agar dapat difahami kedudukan sesuatu hukum;

hukum-syariat-2

Namun, sebagai seorang Muslim, apa-apa sahaja hukum baik yang bersifat suruhan ataupun larangan, sama ada difahami atau tidak, kita hendaklah meyakini dan beriman bahawa ada kebaikan padanya. Hanya kemampuan akal sahaja terbatas untuk memahaminya.

Tanda Kasih Sayang-Nya

Renungilah firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 151 yang bermaksud: “Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutuskan kepada kamu rasul daripada kalangan kamu yang membacakan ayat-ayat kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepada kamu al-Kitab (al-Quran) dan al-Hikmah (sunnah) serta mengajarkan kepada kamu apa-apa yang belum kamu ketahui (melainkan dengan jalan wahyu).”

Nah! Fahamilah hukum Allah s.w.t. sebenarnya tanda kasih sayang-Nya. Ia bukannnya kongkongan sehingga merasakan hidup ini bak sebuah penjara. Akhirnya dengan menerima kasih sayang Allah ini menyebabkan kita sentiasa mendambakan rahmat-Nya dengan melakukan ketaatan dan menyebarkan kebaikan serta kebajikan kepada semua makhluk di atas muka bumi ini. Tidakkah hukum membentuk cara hidup Muslim? Ayuh bersyariat!

Amly Asenar
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 4


Ustaz Amly Asenar

Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang perguruan. Terlibat dalam penulisan buku dan majalah. Selepas buku pertamanya Ayuh Bersahur, kini karya keduanya Ayuh Haji sedang berada di pasaran. Kini editor Syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas