Menu

 

A+ A A-

JENAYAH DALAM ISLAM

FIRMAN Allah s.w.t. bermaksud: “Demikianlah hudud Allah. Dan barangsiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya akan dimasukkan ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah kemenangan yang agung.”

(Surah al-Nisa’ 4: 13)

Islam yang bersifat sejagat, ‘alami, rabbani dan syumul datang untuk memenuhi segala lapangan kehidupan manusia dengan hukumnya dan pengajarannya. Tiada satu pun perkara sama ada urusan agama atau dunia dibiarkan begitu sahaja kecuali diterangkan dengan sejelas-jelasnya sama ada melalui kaedah yang umum atau hukum juz’i yang tafsil. Peraturannya lebih tinggi daripada sebarang peraturan dan undang-undang ciptaan manusia. Ia mempunyai dasar-dasar yang bernilai dan luhur berbanding dengan dasar lain.

Sifat syariat atau undan-gundang Islam

Begitu juga terdapat pengajaran yang menjamin keselamatan manusia dan kebahagiaan mereka. Inilah yang hendak ditahkikkan oleh peraturan dan undang-undang Islam. Jelas terbukti tasyri’ agama ini mewajibkan pemeliharaan atas lima daruriyat (kepentingan) yang datang dengannya oleh segala syariat dan agama samawi iaitu:

• Memelihara agama.

• Memelihara jiwa.

• Memelihara keturunan.

• Memelihara akal.

• Memelihara harta.

Syariat menganggap pencerobohan terhadap segala perkara di atas dianggap sebagai jenayah yang membawa kepada hukuman di dunia dan akhirat.

Pengertian jenayah

Perkataan jenayah yang digunakan di dalam bahasa Melayu berasal daripada bahasa Arab, iaitu jinayah. Merujuk kepada penggunaan fuqaha dalam bidang jenayah, terdapat dua perkataan yang sering digunakan iaitu jinayah (kata jamaknya jinayat) dan perkataan jarimah (kata jamaknya jara’im). Apakah beza kedua-duanya?

Sebahagian fuqaha berpendapat bahawa kedua-duanya membawa pengertian yang sama, iaitu kedua-duanya adalah larangan-larangan syarak yang diugut dengan pembalasan had ataupun ta’zir. Al-Mawardi, seorang ulama mazhab Syafii, dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniah beliau, menyebut tentang takrif al-jara’im (iaitu pelbagai jarimah): “Ia adalah sebagai larangan syarak yang diugut dan diancam dengan pembalasan had ataupun ta’zir.” Ibn Farhun, seorang ulama mazhab Maliki, menamakan apa sahaja tindakan yang mewajibkan pembalasan had dan qisas sebagai jenayah.

Lantaran itu beliau merumuskan bahawa pengertian jenayah itu meliputi jenayah terhadap nyawa, akal fikiran, harta benda, keturunan dan kehormatan. Di dalam kitab al-Taj al-Iklil ‘ala Mukhtasar al-Khalil disebut tentang pelbagai jenayah yang mewajibkan pembalasan, kesemuanya ada tujuh, iaitu:

• Jenayah penderhakaan.

Murtad.

• Zina.

Qazaf.

• Curi.

• Rompak.

• Minum arak.

jenayah dlm islam1

Dengan ini jelas tidak ada perbezaan dari segi makna di antara dua perkataan jinayah dan jarimah. Namun sebahagian besar fuqaha membezakan antara pengertian jinayah dengan pengertian jarimah. Mereka mengkhususkan perkataan jarimah bagi pelbagai kesalahan yang mewajibkan pembalasan had dan ta’zir. Sementara jinayah pula dikhususkan bagi pelbagai kesalahan yang mewajibkan pembalasan qisas.

Perbezaan maksud ini menurut mereka adalah berpunca daripada hukuman qisas yang harus diberi maaf sama ada dengan pembayaran ganti atau tanpanya sekalipun kesnya telah dimaklumkan kepada qadi atau hakim. Tapi keadaan ini berlainan dengan hokum had kerana ia tidak harus diberi maaf walaupun selepas dimaklumkan kepada qadi atau hakim. Lagipun hukuman qisas boleh disabit dengan bukti sedemikian.

jenayah dalam islam2

Ibn al-Humam seorang ulama mazhab Hanafi, menyebut perkataan jinayah itu dikhususkan bermaksud: “Setiap perbuatan yang dilarang yang menimpa nyawa dan anggota, yang pertama dinamakan pembunuhan dan yang kedua dinamakan penyebab kecederaan.” Begitu juga pendapat mazhab Syafii dan Hanbali, kecuali Ibn Qudamah sahaja yang menyebut: “Jinayah adalah setiap perbuatan yang menceroboh yang ditujukan terhadap nyawa atau harta benda, akan tetapi dari sudud uruf (kebiasaan) ia dikhususkan bagi apa sahaja tindakan yang mencerobohi tubuh badan.

Lantaran itu kesemua jenayah terhadap harta benda dinamakan jinayah, sama ada rampas atau curi, khianat atau merosakkan.” Semoga penerangan di atas dapat menjelaskan hakikat dan realitI kesyumulan undang-undang Islam dan sebabnya.¤                

 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No. 2


Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas