Menu

 

A+ A A-

ISLAM TIDAK ANTI HIBURAN

Islam dan Hiburan

REALITI kita pada hari ini tidak dapat lagi daripada mendengar nyanyian dan lakonan. Namun saya melihat ramai orang agama yang bersikap sangat anti terhadap realiti ini. Apa pendirian sebenar Islam terhadap hiburan?

Syariat Islam tidak didatangkan untuk membunuh fitrah dengan mengharamkan keseronokan, keindahan, kecantikan dan seumpamanya. Sebaliknya Islam datang untuk menyusun kehidupan kita agar menjadi lebih baik tanpa berlaku sebarang percanggahan dengan fitrah. Maka ditegaskan di sini bahawa tidak semua hiburan haram. Sebaliknya kita perlu melihat kepada keadaan yang berlaku. Sekiranya hiburan itu membawa kebaikan kepada masyarakat tanpa terdapat unsur-unsur yang bercanggah dengan asas Islam, maka hiburan tersebut dibenarkan.

islam-tidak-anti-hiburan-1

Hukum Bermain Alat Muzik

Ada orang kata bahawa bermain alat muzik seperti gitar, piano, dram dan sebagainya haram hukumnya. Tetapi bukankah banyak kumpulan nasyid yang menggunakannya? Saya keliru.

Persoalan ini termasuk dalam isu-isu khilaf (ada perbezaan pandangan terhadap hukum) antara ulama terdahulu. Kebanyakan ulama empat mazhab mengharamkan alat-alat muzik yang disebutkan secara umumnya. Mereka hanya membolehkan kompang dan alat muzik yang tidak bertali sahaja. Bagaimanapun terdapat juga sebahagian ulama dahulu yang mengharuskan peralatan muzik secara mutlak seperti Ibn Hazam, Ibn al-Arabi dan Imam al-Ghazali. Pendapat ini turut dipegang oleh ulama semasa antaranya Syeikh al-Qaradawi dan Syeikh al-Ghazali.

Antara hujah mereka: Hadis yang menyebutkan tentang pengharaman alat muzik (ma‘azif), kesahihannya dipertikaikan. Maksud larangan terhadap alat muzik dalam hadis tersebut sebenarnya lebih merujuk kepada adat kebiasaan alat tersebut dimainkan seperti dalam majlis minum arak dan maksiat. Adapun alat muzik itu sendiri, ia tidak haram.

Pendapat ini lebih dekat dengan realiti umat Islam masa kini yang tidak terlepas daripada mendengar muzik. Cuma diingatkan bahawa alat-alat muzik ini perlu digunakan ke arah kebenaran bukan kebatilan.

Wanita Menyanyi di Khalayak Ramai

Bagaimana pula dengan hukum wanita yang menyanyi di khalayak ramai sehingga lelaki ajnabi boleh mendengarnya?

Isu ini juga terdapat khilaf dalam kalangan fuqaha. Cuma saya ingin menyebut pendapat Imam saya (al-Qaradawi) bahawa wanita boleh menyampaikan lagu di hadapan orang ramai dengan beberapa syarat seperti berikut:

1. Lagu itu tidak mempunyai unsur-unsur yang haram seperti membangkitkan syahwat.

2. Tidak ada tarian.

Ini kerana hukum asal suara wanita tidak aurat. Seorang wanita boleh bercakap, boleh berceramah, membaca al-Quran dan sebagainya selama mana suaranya itu tidak menggoda.

Hukum Wanita Berlakon

Bagaimana pula dengan lakonan wanita dalam drama dan filem?

Sekiranya watak yang dipegang oleh wanita tersebut tidak membawa kepada adegan bersentuhan, mendedahkan aurat dan tidak melakonkan watak-watak yang merosakkan akidah dan akhlak, maka tiada larangan untuk wanita berlakon selama mana lakonan tersebut membina akhlak mulia.

Adegan Berdakapan dalam Lakonan

Dalam satu drama, ada adegan watak seorang ibu mendakap dan mengucup anaknya (pelakonnya seorang lelaki dewasa). Namun secara keseluruhannya drama itu bagus kerana membawa mesej akhlak mulia. Apa pula pandangan ustaz berkaitan hal ini?

Adegan itu jelas haram walaupun niat mereka baik. Satu prinsip dalam Islam, “Niat tidak menghalalkan cara”. Meskipun kita ada niat yang baik, ia tidak menghalalkan kita melakukan perkara yang haram. Justeru saya menasihati mereka yang terlibat dalam industri lakonan bahawa tindakan sedemikian tidak membina masyarakat sebenarnya biarpun berdasarkan tujuan baik. Pada masa yang sama saya tetap menyokong mereka untuk terus berusaha mencipta seni yang beriltizam dengan akhlak dan membawa kepada nilai murni.

Ke Arah Filem Islami

Apakah antara tindakan yang ustaz boleh cadangkan supaya kita dapat mewujudkan industri hiburan yang berteraskan Islam?

Saya mencadangkan supaya pengajian perfileman Islam diwujudkan di universiti. Dalam masa yang sama giatkan usaha melahirkan pelakon-pelakon Muslim yang beriltizam dengan agama. Begitu juga giatkan usaha pembikinan filem-filem yang berteraskan Islam yang dapat menyaingi filem-filem berteraskan maksiat.

Tambahan itu pula, kita perlu juga melahirkan penulis-penulis yang banyak membaca kitab sejarah Islam sehingga mampu menulis skrip lakonan menarik, namun tetap berlandaskan maklumat tepat dan akhlak terpuji.

Adakah ustaz juga mendengar muzik dan menonton filem?

Ya. Saya juga mendengar muzik dan menonton filem. Di luar sana ada lagu-lagu dan filem-filem baik dan bermanfaat. Saya suka lagu kakak Nora yang bercirikan Islam. Saya harap banyak lagi lagu sebegini dikeluarkan.

Ahmad Fauwaz Fadzil
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar, 2004. Mendapat Sijil Kemahiran Fatwa, Darul Ifta’ Mesir, 2008. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Ali Jumaah, Mufti Mesir, Dr. Taha Jabir al-Ulwani dan Dr. Mohammad al-Zuhaili. Kini sebagai Pegawai Perhubungan Korporat dan Penasihat Syariah Pelima Media Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas