Menu

 

A+ A A-

HUKUM MENETAP DALAM KOMUNITI MAJORITI BUKAN MUSLIM

SAYA mendengar ada pandangan yang menyatakan bahawa haram hukumnya menetap dalam komuniti majoriti bukan Muslim. Pandangan ini bersandarkan hadis sahih. Jadi bagaimana dengan situasi saya yang hidup dalam satu kawasan perumahan yang penduduk bukan Islamnya lebih ramai. Mohon pencerahan daripada ustaz.

MUKADIMAH: Hakikatnya Islam membawa mesej ke arah hidup harmoni. Demikianlah yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat untuk seluruh alam.” (Surah al-Anbiya’ 21: 107)

hukum-menetap-dlm-komuniti-1

RINGKASNYA: Memang terdapat beberapa nas syarak yang memberi kefahaman bahawa hidup harmoni antara Muslim dan bukan Muslim tidak wajar berlaku. Antaranya sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Saya berlepas diri daripada setiap Muslim yang menetap hidup dalam golongan bukan Muslim.” (Riwayat Abu Daud)

Persoalannya, bagaimanakah kefahaman yang betul berkenaan hadis ini?

HURAIAN: Hadis ini sahih. Ia menjelaskan bahawa Nabi s.a.w. tidak bertanggungjawab terhadap nasib mana-mana Muslim yang tinggal bersama dalam masyarakat bukan Muslim. Jika kita hanya memahami hadis tersebut berdasarkan teks zahirnya sahaja, memanglah ia memberi wajah kefahaman bahawa haram hukumnya untuk tinggal bersama dengan masyarakat bukan Muslim. Rentetan itu, ditegah untuk menetap di kawasan perumahan yang wujud komuniti bukan Muslim. Namun nas syarak sebegini mestilah difahami dalam konteks maqasid syariahnya.

hukum-menetap-dlm-komuniti-2

Keterangannya adalah seperti berikut:

Umat Islam tidak ditegah untuk berbuat baik kepada golongan bukan Muslim yang tidak memerangi Islam dan umat Islam. Hujahnya firman Allah yang bermaksud: “Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah 60: 8)

Hadis tersebut ada sabab al-wurudnya. Sabab al-wurud bermaksud penyebab bagi satu-satu hadis itu keluar daripada mulut Nabi s.a.w. Dengan mengetahui sabab al-wurud, kita dapat memahami situasi yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w. Hasilnya, kita dapat memahami sesuatu hadis dengan lebih baik. Sabab al-wurud hadis ini berkaitan satu utusan ketenteraan yang dikirim oleh Nabi s.a.w. kepada Khath’am. Akhirnya berlaku pertempuran antara kedua-dua belah pihak.

Namun dalam pada itu, ada sekumpulan manusia daripada mereka yang melakukan sujud untuk menyelamatkan diri. Namun mereka tetap dibunuh oleh tentera Islam. Apabila berita tersebut sampai kepada Nabi s.a.w. maka Baginda bersabda sebagaimana hadis tersebut. Apabila ditanya tentang sebabnya, maka Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak nyata api kedua-duanya.” (Riwayat Abu Daud) Maksudnya, tidak nyata tanda keislaman atau tanda kekufuran mereka. Ini kerana mereka hidup dalam kalangan majoriti masyarakatnya bukan Muslim, sedangkan ketika itu zaman hijrah.

Jadi hadis tersebut bukan bermaksud mengharamkan hidup bersama mereka. Oleh sebab itu, juga Imam al-Tirmizi menamakan bab bagi hadis ini bukan dengan lafaz pengharaman, tetapi sekadar makruh sahaja untuk menetap bersama golongan bukan Muslim.

hukum-menetap-dlm-komuniti-3

LANJUTAN: Ada beberapa pengajaran daripada hadis tersebut yang wajar diberikan perhatian:

1. Tanda keislaman yang tidak zahir menyebabkan seseorang digolongkan sebagai bukan Muslim. Apatah lagi jika mereka hidup dalam masyarakat yang majoritinya bukan Muslim. Akibatnya, jika berlaku peperangan, adalah sukar untuk mengenal pasti mereka kerana mereka berada di tempat yang sama.

2. Tanda keislaman atau syiar Islam mesti dizahirkan seperti azan. Laungan azan menandakan wujudnya komuniti Muslim dalam kawasan tersebut.

3. Hadis ini bukanlah umum mengharamkan hidup bersama masyarakat bukan Muslim. Ia kes khusus sahaja. Kesimpulannya, tidak haram bagi Muslim untuk menetap di dalam kawasan perumahan bersama jiran yang bukan Muslim. Apa yang penting, jati diri sebagai Muslim hendaklah tetap dijaga dengan baik.

Wallahu a‘lam.

Mohammad Nidzam Abdul Kadir (al-Jarumi)
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Mohammad Nidzam Abdul Kadir

Lulusan diploma KUSZA, Sarjana Muda Universiti al-Azhar, Kaherah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Juga pengalaman pengajian di Pondok Pasir Tumboh. Kini pensyarah di UIAM. Boleh dihubungi di e-mel (nidiium@yahoo.com).

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

  

  

Kembali ke atas