Menu

 

A+ A A-

ANAK LUAR NIKAH BUKAN UNTUK DIBENCI

KEHIDUPAN DI DUNIA INI BAGAIKAN MENGHARUNGI BAHTERA DI TENGAH SAMUDERA LUAS. LAUTAN ADALAH SATU KEHIDUPAN YANG TIDAK BERTEPIAN, DAN MEDAN HAMPARAN KEHIDUPAN SERINGKALI BERUBAH. TETAPI BAGI MENGECAPI SESUATU IMPIAN, KITA HARUS MENGHADAPI CABARAN DAN DUGAAN , KERANA SESEBUAH BAHTERA TIDAK AKAN TERLEPAS DARIPADA DILANDA BADAI.

Begitu juga dengan kehidupan, kita tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Jadi tekanlah nafsu kecil kita kerana mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Menjauhi perbuatan maksiat itu lebih baik daripada merawat penyakit yang muncul akibat perbuatan yang sering kita lakukan.

Selari dengan arus perubahan zaman ini, kita perlu mendidik iman serta keperibadian
kita supaya kita tidak akan terjebak dengan gejala-gejala yang tidak sihat seperti pergaulan bebas dan seks bebas. Disebabkan perbuatan ini, lahirlah anak-anak yang tidak sah taraf. Tetapi mengapa kita menyisihkan mereka daripada kehidupan kita sedangkan mereka adalah hasil daripada perbuatan yang kita lakukan?

Sebenarnya anak tidak sah taraf ini adalah anak yang suci seperti anak-anak lain cuma yang haram adalah perbuatan yang dilakukan oleh kedua pasangan antara lelaki dan wanita yang menyebabkan lahirnya anak tersebut. Tidak ada seorang pun yang ingin lahir ke dunia dalam keadaan dan berkedudukan haram. Bahkan semua anak yang dilahirkan di dunia ini sama sahaja kedudukannya di sisi Allah s.w.t.

Kedudukan anak tidak sah taraf dalam Islam
Buanglah jauh-jauh anggapan yang selama ini bermain dalam fikiran kita tentang kedudukan anak ini. Tidak ada hukum yang menyatakan bahawa berdosa jika memegang atau menyentuh mereka dan begitu juga memakan hasil pencarian mereka. Bahkan mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah s.w.t. jika kita memelihara dan membesarkan mereka dengan tidak membeza-bezakan status mereka dengan anak yang diperolehi melalui pernikahan yang sah.

ANAK1

Telah menjadi fitrah, seorang ibu sudah semestinya mengasihi anak yang dikandungkan olehnya, begitu juga seorang anak, ke mana sahaja dia berada semestinya dia akan memikirkan ibunya. Mengapa anak-anak ini tidak diberi peluang seperti anak-anak lain untuk hidup bersama dan membesar di hadapan ibunya? Adakah kerana dia tidak boleh dinasabkan kepada ayahnya, ibunya tidak sanggup memeliharanya?

Menurut mazhab imam syafie, wanita yang melahirkan anak di luar pernikahan, maka anak itu haruslah dinasabkan kepada Abdullah atau ibunya sendiri. ini bermakna, anak itu mempunyai hak untuk hidup bersama ibunya kerana agama sendiri memberi laluan dan nasab kepada anak itu untuk bebas hidup.

Luahan hati seorang bayi
Wahai ibuku! Mengapa kau tidak membesarkan aku dengan tanganmu sendiri? Patutkah aku diperlakukan sebegini sedangkan saat aku hendak diturunkan ke dunia aku telah bertanya kepada Allah s.w.t.: “Ya Allah, para malaikat di sini berkata bahawa esok Engkau akan hantarkan aku ke dunia, tetapi Ya Allah, bagaimana cara untuk aku hidup di sana, sedangkan aku kecil dan lemah?”

Jawab Allah s.w.t.: “Aku akan menghadiahkan seorang malaikat kepadamu, dia akan menjaga dan menyayangimu.” Aku bertanya lagi, “Tetapi Ya Allah, aku sangat bahagia dengan keadaan aku di dalam syurga. Aku sangat bahagia dapat bernyanyi dan tertawa di dalam syurga.” Allah s.w.t. menjawab: “Malaikat yang menjagamu akan selalu membuat kamu tersenyum dan tertawa setiap masa.” Aku bertanya lagi, “Bagaimanakah caranya jika aku ingin mengadu sesuatu kepada-Mu?”

Allah s.w.t. menjawab: “Malaikatmu akan mengajarkan kamu bagaimana untuk berdoa.” Aku bertanya, “Tetapi di dunia ada ramai orang jahat.” Allah s.w.t. menjawab:
“Malaikatmu akan selalu melindungimu bahkan sanggup mengorbankan dirinya untukmu.” Aku bertanya lagi, “Tetapi aku tetap akan bersedih kerana aku tidak akan dapat melihat-Mu lagi Ya Allah!”
Jawab Allah s.w.t.: “ Malaikatmu akan mengajarkan kamu amalan-amalan untuk kamu kembali kepada-Ku walaupun sesungguhnya Aku selalu berada di sisimu.”

Ketika itu syurga begitu tenang dan sunyi sehingga terdengar rintihan dari bumi dan dengan sayunya aku bertanya lagi, “Ya Allah, kalau aku ditakdirkan untuk dihantarkan ke dunia sekarang, beritahulah kepadaku siapakah gerangan malaikat yang kamu maksudkan itu.” Allah s.W.T menjawab: “Malaikatmu ialah manusia yang bernama iBu.”

Wahai ibuku! Kamu digelar malaikat oleh Allah s.w.t. kerana kamu seorang penjaga. Jadi patutkah kamu melakukan sedemikian rupa padaku? Mengapa diriku yang dipersalahkan, sedangkan kesalahan itu adalah atas perbuatanmu? Wahai ibuku! Aku sangat menyayangi kamu.

Betulkan fahaman kita
Kembalilah kepada konsep ajaran islam yang sebenarnya dan hargailah insan lain tidak
kira mereka itu ialah anak yang lahir hasil perzinaan ataupun lahir melalui pernikahan
yang sah. sesungguhnya tidak ada perbezaan antara kedua-duanya di sisi Allah s.w.t.

Perkara yang membezakan seorang manusia dengan manusia yang lain hanyalah ketakwaan kepada Allah s.w.t. semata-mata. seorang ibu ialah malaikat kepada anak-anaknya. Tidakkah kita rasa bersalah jika kita sebagai ibu menghukum anak kita sendiri yang kita kandungkan selama sembilan bulan atas kesalahan yang kita lakukan sendiri? Bagaimana sekalipun, anak itu tetap anak kita dan kita wajib menjaganya.

Jalan penyelesaian
Persoalannya ialah bagaimana kita ingin mengatasi perbuatan seperti ini? Terdapat beberapa pandangan yang mengatakan supaya dilaksanakan hukuman hudud dan ada pula yang menyarankan supaya dibina sebuah pusat penyerahan bagi bayi yang tidak dikehendaki.

Jika kita pilih cara yang pertama, maka banyak permasalahan yang harus di ambil kira. Contohnya, bagaimana kita hendak mencari empat orang saksi yang adil? sekiranya kita memilih cara yang kedua, jika disalah erti, cara ini akan menjadi galakan kepada perbuatan zina kerana mereka tidak perlu risau apabila berlaku kehamilan luar pernikahan, telah tersedia tempat bagi menempatkan bayi yang tidak dikehendaki.

Penyelesaian perlu diambil kira daripada seluruh aspek. Oleh itu, kembalilah kita kepada Allah s.w.t. itulah jalan penyelesaian yang sebaik-baiknya. Jika kita mendidik iman dan diri kita dengan betul dan ikhlas, kita tidak akan terjebak ke kancah penzinaan. Cubalah kita jauhkan diri kita daripada perbuatan-perbuatan itu.

Fikir sejenak, adakah kita dilahirkan sedemikian rupa sehinggakan kita sanggup menconteng arang di muka kedua ibu bapa kita? sepatutnya, kitalah yang kena mencorakkan keperibadian kita, bukanlah diri kita ditentukan oleh orang lain. Contohilah orang yang telah berjaya: bukan kita menjadi hamba nafsu sedangkan kita dapat menilai baik dan buruk sesuatu perkara itu.

WAHAI IBUKU! KAMU DIGELAR MALAIKAT OLEH ALLAH S.W.T. KERANA KAMU SEORANG PENJAGA. JADI PATUTKAH KAMU MELAKUKAN SEDEMIKIAN RUPA PADAKU? MENGAPA DIRIKU YANG DIPERSALAHKAN, SEDANGKAN KESALAHAN ITU ADALAH ATAS PERBUATANMU? WAHAI IBUKU! AKU SANGAT MENYAYANGI KAMU.

ANAK

Oleh Ustaz Fauzi Abdul Hamid

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Ustaz Fauzi bin Abdul Hamid

Lulusan B.A dalam Usuluddin dan M.A dalam Ulum Hadis di Universiti Faisalabad, Pakistan. Kini bertugas sebagai editor syariah di jabatan penerbitan Telaga Biru Sdn.Bhd. Aktif dalam berdakwah di masjid dan surau. Antara guru beliau Syeikh Tariq Jamil iaitu ulama besar Pakistan dan Syeikh Ubaidillah (mufti). 

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas