Menu

 

A+ A A-

HUKUM ORANG BERHADAS MEMEGANG AL-QURAN

Apa hukum orang yang tidak mempunyai wuduk (berhadas kecil) memegang al-Quran?

Jawapan :

Saya ingin merujuk kepada buku Taudih al-Adillah oleh K.H.M. Syafi’i Hadzami. Beliau berkata bahawa hukum orang yang berhadas memegang al-Quran atau menyentuhnya adalah haram. Hal ini telah disebut dalam kitab Minhaj al-Talibin oleh Imam al- Nawawi rhm. sebagaimana berikut: “Dan dengan sebab berhadas, haramlah bersembahyang, bertawaf, membawa mushaf dan menyentuh lembarannya.”

Syarat menyentuh Al-quran

Mohon ustaz jelaskan maksud firman Allah s.w.t.dalam surah al-Waqi‘ah ayat79 yang bermaksud: “Tidak menyentuhnya kecuali orang yang disucikan.”

Jawapan :

Ayat 78 dan 79 surah al-Waqi‘ah menyebut firman Allah yang bermaksud: “Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara. Tidak menyentuhnya kecuali orang yang disucikan.” Menurut Tafsir al-Jalalain menyebut begini (terjemahannya): “Sesungguhnya apa yang dibacakan atasmu ialah al-Quran yang mulia. ‘Dalam kitab yang terpelihara’ iaitu al-Mushaf (al-Quran). ‘Tidak ada yang menyentuhnya’ iaitu pemberitahuan dengan erti larangan. Lafaznya berbentuk pemberitahuan, tetapi maknanya dalam bentuk larangan. Jadi terjemahannya ketika ini: Janganlah menyentuhnya kecuali ‘al-Mutahharun.’ Al-Mutahharun ertinya orang yang telah membersihkan dirinya daripada segala hadas. ”

Hukum Bismillah dalam solat

Apakah hukum membaca bismillah pada awal surah al-Fatihah yang dibaca pada setiap rakaat solat?

Jawapan :

Membaca al-Fatihah ialah salah satu rukun sembahyang. Rukun adalah wajib. Bismillah pula ialah satu ayat daripada al-Fatihah, maka membaca bismillah dalam bacaan al-Fatihah semasa solat adalah wajib. Dalilnya dalam kitab Ianah al-Talibin oleh Sayyid Abu Bakr Ibn al-‘Arif Billah al Sayyid Muhammad Syatha al-Dimyati (jil. 1, hlm. 139) sebagai berikut: “Dan sah pula sabda Nabi s.a.w. (yang bermaksud): ‘Apabila kamu membaca al-Fatihah, maka bacalah bismillah. Sesungguhnya ia ‘ibu’ al-Quran dan tujuh pujian (al-sabu al-mathani) dan bismillah itu salah satu ayat daripadanya.’”

Hukum wanita mengeraskan bacaan Al-quran

Apakah hukum seorang wanita membaca al-Quran dengan suara yang kuat sehingga dapat didengari orang lain yang bukan ahli keluarganya?

Jawapan :

hukum mengeraskan bacaan sekumpulan wanita atau mahram-mahramnya adalah mubah (harus). Sedangkan hukum mengeraskan bacaan bagi wanita di hadapan lelaki ajnabi adalah makruh. (Hashiyah ‘ala Sharh al-Ramli li al-Sittin Masa’ilihi, hlm. 63)

Ayat suci dalam bentuk gambar

Apakah hukum tulisan bismillah dibuat dalam bentuk gambar tertentu? Adakah dibolehkan tulisan khat tersebut dipersembahkan dalam bentuk gambar seperti burung yang lengkap dengan dua sayap, dua kaki dan buntut? Bagaimana pula dengan kalimah kalimah suci yang lain?

Jawapan :

Bismillah, syahadah dan pelbagai lagi kalimah suci, wajiblah dihormati dan dijauhkan daripada segala sesuatu yang dapat menghinakannya. Sebagaimana yang telah kita maklum bahawa melukis gambar adalah haram kecuali gambar pohon-pohon, gunung-gunung atau sesuatu yang tidak ada roh padanya. Daripada Ibn Abbas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Setiap pelukis itu di dalam neraka. Dijadikan baginya dengan tiap-tiap gambar yang dilukisnya itu jiwa, maka menyeksa dia dalam neraka jahanam.” Kemudian Ibn Abbas berkata: “Jika kamu terpaksa, maka lukislah gambar pohon atau sesuatu yang tidak ada roh padanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Aisyah r.ha. pernah menutup ruang beranda dengan kain yang ada gambar padanya. Apabila Rasulullah s.a.w. pulang, Baginda terlihat gambar tersebut. Wajah Baginda segera berubah.

Baginda bersabda yang bermaksud: “Wahai Aisyah, yang paling keras manusia beroleh seksa di sisi Allah pada hari kiamat ialah mereka yang menyerupakan dengan perbuatan Allah.” Aisyah kemudian memotong kain tersebut dan menjadikannya sebiji atau dua biji bantal. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) Kepada saudara yang bertanya, tulisan kalimah-kalimah suci yang dibuat dalam rupa gambar-gambar haiwan bernyawa seperti burung, orang yang sedang duduk tasyahud dan gambar-gambar yang lain bererti mempersembahkan tulisan-tulisan suci dengan sesuatu yang diharamkan dan mencampurkan antara yang hak dengan yang batil. Ia patut dijauhi oleh orang yang bertakwa kepada Allah. Firman Allah s.w.t. dalam surah al- Baqarah ayat 42 yang bermaksud: “Janganlah kamu campurkan yang hak dengan yang batil.”

Bakar kertas mengandungi ayat Al-quran

Saya suka menulis ayat al- Quran pada sehelai kertas, lalu saya membakarnya disebabkan takut dipijak. Adakah cara saya itu betul?

Jawapan :

Sesuatu yang ditulis padanya ayat-ayat al-Quran untuk tujuan pelajaran atau bacaan dihukum sebagai al-Quran. Membakar al- Quran dengan sengaja hukumnya makruh, kecuali dengan tujuan untuk memeliharanya daripada tersia-sia atau terhina seperti dipijak oleh orang yang lalulalang, dimain oleh kanak-kanak yang belum mumaiyiz atau dibuat pembungkus makanan dan sebagainya. Kalau dibakar dengan tujuan memeliharanya, tidak makruh sebaliknya mubah (harus).

Akan tetapi membasuhnya iaitu menghapuskan tulisan itu dengan air adalah lebih baik daripada membakar, sekiranya untuk tujuan memeliharanya. Hal ini disebut dalam Fath al- Mu‘in pada hamisi (disebelah tepi) I’anah al-Talibin: “Dimakruhkan membakar sesuatu yang ditulis ayat al-Quran di atasnya kecuali dengan tujuan seperti memeliharanya. Namun begitu, membasuhnya adalah lebih utama daripada membakarnya.” (Jil. 1, hlm. 69) Dalam al-Mughni pula menyebut: “Dimakruhkan membakar kayu yang dilukis padanya ayat al-Quran kecuali jika dimaksudkan untuk memelihara al Quran. Inilah yang difahami daripada perkataan Ibn Abd al- Salam.

 

Dr. Hj. Zahazan Mohamed

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu 3


 

Ustaz Dr Hj Zahazan Mohamed

Dilahirkan di Melaka, mendapat pendidikan awal di Kolej Islam Kelang, kemudian melanjutkan pelajaran di Universiti Yarmouk, Jordan. Mendapat Ijazah Sarjana (MA) dalam Bahasa Arab di Universiti Malaya, dan meneruskan pelajaran ke peringkat Ph.D. Berpengalaman dalam memimpin kursus dan membimbing jemaah haji dan umrah yang bertauliah dari Lembaga Tabung Haji. Sering dijemput ceramah agama di samping sering muncul dalam program radio dan tv. Aktif dalam bidang penerbitan bahan ilmiah di beberapa akhbar dan majalah.

Terbaharu, Dr. Zahazan sedang menjayakan pengajian tafsir “KULTUM” (Kuliah Tafsir Tujuh Minit) setiap hari di Surau Firdaus, Saujana Damansara. Satu ayat akan dikupas pada setiap hari. Pembaca boleh mengikuti beliau melalui Youtube dengan carian “kultum ust zahazan”.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

  TBBK1057 TBBK1157TBBK1182

   TBBK1052TBBK1297TBBK1126

    TBBK1214TBBK1052

Kembali ke atas