Menu

 

A+ A A-

ISTIHALAH: HARAM MENJADI HALAL

Bolehkan ustaz jelaskan maksud istihalah dan konsepnya

Jawapan:

Istihalah ialah istilah bahasa Arab yang bermaksud perubahan atau pertukaran. Perubahan dan pertukaran yang dimaksudkan di sini ialah perubahan yang melibatkan zat dan sifat.

Merujuk kepada Mu‘’jam Lughat Fuqaha’, istihalah ialah pertukaran sesuatu jisim kepada bentuk yang lain dan tiada kemungkinan kembali kepada bentuk asal. Contohnya biji benih tumbuh dan berubah menjadi pokok. Secara umumnya, ada tiga bentuk istihalah:

1.    Perubahan fizikal dan kandungan seperti darah kijang bertukar menjadi kasturi.

2.    Perubahan aspek luaran sahaja seperti kulit binatang selain anjing dan babi menjadi suci selepas melalui proses penyamakan.

3.    Perubahan kandungan sahaja seperti arak bertukar menjadi cuka.

Dari segi hukum syarak pula, ada dua jenis istihalah iaitu istihalah sahihah iaitu perubahan yang diterima oleh syarak dan istihalah fasidah iaitu perubahan yang tidak diterima oleh syarak. Lihat jadual berikut:

halal haram

Walaupun para ulama silam telah membahaskan isu istihalah, perkembangan sains dan teknologi menyebabkan konteks dan skop istihalah ini menjadi lebih luas. Maka isu ini terbuka kepada perbahasan lanjut. Tambahan pula hukum boleh berubah berdasarkan masa dan zaman selagi mana berlandaskan kaedah syarak yang benar.

Pengaruh Makanan

Kenalan saya ini tidak begitu endah tentang halal haram dalam pemakanan. Dia ceritakan kepada saya bahawa dia pernah makan di restoran Cina semata mata ingin mencuba hidangan makanan laut istimewa di situ. Hujahnya, asalkan tiada unsur babi dan arak, maka boleh makan di restoran Cina. Bagaimana saya ingin menasihatinya?

Jawapan:

Nasihatkannya tentang hikmah mencari makanan yang halal. Antaranya:

Doa dimakbulkan Allah

1. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya kusut dan mukanya berdebu. Ia menadah tangan dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya diisi dengan benda haram. Bagaimana doanya akan diperkenankan Allah?” (Riwayat Muslim)

Selamat daripada api neraka

2. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dagingnya membesar dengan perkara haram, maka neraka lebih layak buatnya.” (Riwayat al-Tirmizi)

Ibadah ditolak Allah

3.  Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang solat dengan memakai pakaian, harganya 10 dirham tetapi satu dirham yang dibayar itu daripadanya sumber haram, Allah tidak akan menerima solatnya.” (Riwayat Ahmad)

Membentuk akhlak mulia

4.  Ibn Khaldun menyatakan dalam bukunya al-Muqaddimahbahawa setiap makanan yang baik, segar dan tanpa mengandungi bahan tambah, perisa, pelazat dan sebagainya dapat memberi kesan ke atas peribadi dan perilaku manusia.

Membentuk anak-anak soleh

Imam al-Ghazali pula menyatakan kesan pemakanan halal kepada anak-anak sejak lahir menjadikan mental anak-anak sihat dan bijak, cergas dan seterusnya menjadikan anak-anak itu mudah menerima kebaikan.

Menghindari penyakit makanan

5. halal itu bukan sahaja bermaksud produk yang memenuhi tuntutan syariat tetapi juga berkualiti, berkhasiat, suci, bersih dan memenuhi tuntutan fitrah manusia. Makanan halal menurut piawaian yang dikeluarkan oleh Standard Malaysia memenuhi piawaian GMP iaitu Amalan Pengilangan Baik yang amat menekankan aspek kebersihan dan kesucian. Maka, mengambil makanan halal sebenarnya mengambil makanan yang bersih, suci, berkhasiat dan berkualiti untuk tubuh badan kita seterusnya dapat menghindari penyakit.

Menyucikan diri

6.  Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Suci dan tidak akan menerima kecuali yang benar-benar suci.” (Riwayat Muslim)

Wallahu a‘lam.

ISTIHALAH HARAM JADI HALAL

 

 

Ustaz Fahrul Irfan Ishak  

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Fahrul Irfan bin Ishak

Lulusan B.A (Hons) Syariah Islamiah Universiti al-Azhar Mesir. Kemudian memperolehi Master of Comparative Laws, IIUM. Kini sedang mengikuti pengajian PhD in Halal Product Managemenet, UPM. Bertugas sebagai pensyarah di Universiti Kuala Lumpur-MITEC

Kembali ke atas