Menu

 

A+ A A-

MENJADIKAN ANAK ANGKAT SEBAGAI MAHRAM

Saya dan suami sepakat untuk mengambil seorang anak angkat perempuan yang kini berumur lima bulan. Seboleh-bolehnya kami ingin menjadikannya mahram kepada keluarga kami. Maka saya merancang untuk mengambil pil hormon perangsang susu supaya dapat menyusukannya nanti. Jadi saya inginkan kepastian adakah tindakan ini memang dibolehkan?

Jawapan:

RINGKASNYA: Ya, tindakan itu boleh menjadikan anak angkat itu sebagai anak susuan dan mahram muabbad (selama-lamanya) dengan ahli keluarga terdekat puan seperti seolah-olah dia itu anak kandung puan. Kaedah pengambilan hormon ini diterima jika ia memenuhi syarat-syarat penyusuan bagi menjadikan seseorang anak susuan itu sebagai mahram.

HURAIAN: Penyusuan yang menyebabkan anak yang disusukan itu menjadi mahram adalah dengan memenuhi syarat-syarat berikut:

1.    Anak yang disusukan itu belum mencapai usia dua tahun.

2.    Anak itu disusukan dengan lima kali penyusuan yang mengenyangkan secara berasingan.

Jika anak itu berhenti menghisap susu dengan sendirinya, kebiasaannya dianggap dia sudah kenyang. Tetapi jika dia berhenti seketika sahaja seperti untuk sendawa, menarik nafas atau sebagainya dan kemudiannya kembali menyusu, ia masih dikira sebagai satu kali penyusuan.

Maka kesan daripada penyusuan itu, anak susuan itu mahram kepada ibu susuannya serta adik beradik, anak-anak dan cucu-cucu ibu susuan itu. Begitu juga dia menjadi mahram kepada bapa susuannya serta adik beradik, anak-anak dan cucu bapa susuannya.

Bapa Tiri Susuan

Bagaimana pula dengan suami saya? Adakah dia dikira sebagai bapa susuan?

Jawapan:

Sebenarnya istilah bapa susuan merujuk kepada suami kepada ibu susuan yang susu itu terhasil akibat kelahiran daripada hubungan antara kedua-duanya.Jika susu itu terhasil daripada bekas suaminya yang terdahulu atau dengan sebab yang lain seperti pengambilan pil hormon, maka suami kepada ibu susuan itu dikira sebagai bapa tiri susuan kepada anak itu. Walau bagaimanapun, anak itu tetap menjadi mahram.

Susu Tidak Original

Namun apa yang memusykilkan saya adalah cakap-cakap orang bahawa susu tersebut tidak boleh menyebabkan hukum susuan  kerana susu tersebut tidak original. Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan:

RINGKASNYA: Memang ada pandangan sebegitu. Namun majoriti ulama tidak berpendapat sebegitu.

HURAIAN: Majoriti ulama mazhab Syafi‘i, Hanafi dan Maliki tidak mensyaratkan bahawa susu yang diberikan itu mesti terhasil daripada kelahiran atau kehamilan. Maka seorang gadis yang belum berkahwin tetapi mempunyai susu boleh memenuhi syarat penyusuan yang membawa ikatan mahram.

Namun menurut mazhab Imam Ahmad, penyusuan oleh seorang gadis tidak membawa ikatan mahram kerana susu itu terhasil melalui cara di luar kebiasaan. Maka berdasarkan pandangan jumhur, susu yang terhasil melalui pengambilan pil atau suntikan hormon boleh membawa kepada ikatan mahram jika memenuhi syarat-syaratnya.

HUJAH: Hukum ini berdasarkan lafaz umum ayat al-Quran yang bermaksud: “Dan (diharamkan juga kamu mengahwini) ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu dan saudara susuan kamu.” (Surah al-Nisa’: 23).

Disusukan dengan botol

Seperkara lagi, bolehkah bayi itu disusukan dengan botol tidak secara lansung daripada badan?

Jawapan:

Boleh. Jumhur ulama tidak mensyaratkan penyusuan dilakukan secara langsung di badan ibu. Apa yang penting susu itu benar-benar dari badan yang boleh mengenyangkan dan ia masuk ke dalam mulut bayi.

MENJADIKAN ANAK ANGKAT SEBAGAI MAHRAM

Biarkan Adik Susukan

Kami juga ada berbincang, sekiranya saya tidak menyusukan sendiri pun, kami bercadang untuk menyusukan anak angkat itu dengan adik kandung perempuan saya. Kebetulan dia akan melahirkan anak tidak lama lagi. Bimbang juga apabila mendengar kes kesan sampingan pengambilan hormon itu. Si anak itu akan tetap menjadi mahram kepada suami dan anak-anak lelaki saya bukan?

Jawapan:

RINGKASNYA:Jika begitu, anak angkat itu akan menjadi anak saudara susuan puan. Ia memang menjadi mahram selama-lamanya untuk puan, tetapi hanya menjadi mahram muaqqat (sementara) untuk suami puan. Kepada anak-anak puan pula, ia menjadi sepupu susuan yang tetap halal bernikah dan tidak boleh didedahkan aurat.

HURAIAN: Jika anak itu disusukan oleh adik puan, maka anak itu menjadi anak susuan adik puan dan anak saudara susuan puan.

Bagi suami puan pula, anak itu menjadi anak saudara susuan sabit suami puan. Maka dia hanya mahram sementara kepada suami puan. Maksudnya, selama puan dan suami kekal sebagai suami isteri, dia haram berkahwin dengan anak angkat itu. Tetapi pengharaman itu akan tamat bila berlaku perceraian atau kematian. Tambahan pula mahram muaqqat tidak boleh mendedahkan aurat antara satu sama lain.

Bagi anak-anak puan pula, anak angkat itu berstatus sepupu susuan. Hukumnya seperti seorang sepupu iaitu bukan mahram dan tidak boleh mendedahkan aurat antara satu sama lain. Demikian juga dari sudut hukum bersentuhan dan berdua-duaan. Hukumnya adalah seperti hukum antara ajnabi.

Wallahu a‘lam

 

 

   Dr Fathi Yusof

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas