Menu

 

A+ A A-

DILEMA PAKEJ BERSALIN

Saya bakal menimang cahaya mata dalam masa beberapa bulan sahaja lagi. Saya sekarang sedang membuat perbandingan “pakej bersalin” yang ditawarkan oleh beberapa hospital swasta. Dari segi syariah, apakah sebenarnya akad “pakej bersalin” ini kerana dalamnya terdapat berbagai perkara seperti upah doktor, ubat-ubatan, penginapan dan lain-lain?

Pertama sekali, tahniah saya ucapkan atas anak yang bakal lahir nanti. Semoga urusan kelahiran berjalan lancar dan anak membesar sebagai anak yang soleh.

Berbalik kepada soalan saudara, berbagai perkhidmatan semasa bersalin telah disatukan dan dijual dalam satu pakej. Perkara ini dibenarkan dan akad yang dijalankan ialah akad jual beli.

Namun satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan hendaklah bebas daripada elemen gharar (ketidaktentuan atau kejahilan). Maksudnya, pihak saudara dan hospital hendaklah mempunyai maklumat yang jelas mengenai perkara-perkara yang termasuk atau terkeluar daripada pakej tersebut.

Misalnya, adakah perkhidmatan seperti epidural, pembetulan bayi songsang, ultrasound, vakum, forseps, pembedahan, lawatan doktor ke wad dan lain-lain termasuk dalam pakej atau sebaliknya? Jika tidak termasuk, berapa pula harganya bagi perkhidmatan-perkhidmatan ini? Kesemua perkara ini hendaklah diketahui dengan jelas untuk mengelak gharar yang boleh membawa kepada ketidakpuasan hati dan pertelingkahan antara pesakit dan hospital di kemudian hari.

Ada sesetengah hospital misalnya, menawarkan pakej yang pada zahirnya murah, tetapi menjadi lebih mahal apabila ditambah dengan kos-kos lain yang “terselindung”. Perkara sebegini hendaklah dielakkan. Adalah menjadi hak saudara sebagai pengguna dan pembeli untuk mendapatkan semua maklumat secara jelas sebelum saudara bersetuju untuk membeli pakej bersalin yang dijual.

Harga Meningkat 100%

Insya-Allah, saya bakal melahirkan anak kedua. Awal-awal lagi saya merancang untuk bersalin sama semasa kelahiran anak sulung. Apa yang mengejutkan, harga pakej bersalin yang sama meningkat secara agak ketara. Dahulunya RM3500, sekarang RM7500. Adakah peningkatan lebih 100% ini dibenarkan syarak?di hospital swasta yang sama semasa kelahiran anak sulung. Apa yang mengejutkan, harga
pakej bersalin yang sama meningkat secara agak ketara. Dahulunya RM3500, sekarang RM7500. Adakah peningkatan lebih 100% ini dibenarkan syarak?

Secara umumnya, syarak memberi kebebasan kepada penjual dan pembeli untuk bersepakat dan bersetuju atas sebarang harga bagi sesuatu barangan. Oleh sebab itu, tidaklah menjadi kesalahan bagi pihak hospital untuk meletakkan harga tertentu bagi pakej yang ditawarkan.

Namun dalam keadaan tertentu seperti caj yang dikenakan adalah terlalu tinggi dan tidak munasabah, maka pihak pemerintah bolehlah campur tangan dengan meletakkan harga siling terhadap sesuatu perkhidmatan dan barang jualan. Ini adalah untuk mengelak pembeli daripada dizalimi atau diambil kesempatan oleh penjual. Namun perlu diingat bahawa kuasa campur tangan ini hanya ada pada pemerintah yang melihat maslahat semua pihak secara makro.

Tidak Puas Hati

Saya amat tidak berpuas hati di atas caj yang dikenakan ke atas saya semasa melahirkan anak saya dua bulan lepas. Dari segi syarak, apakah yang perlu saya lakukan?

Saya yakin bahawa ketidakpuasan hati tersebut ekoran pakej yang tidak telus dengan pelbagai kos terselindung. Dalam hal ini, puan bolehlah membuat aduan kepada tribunal pengguna. Pihak ketiga ini akan membuat penilaian yang adil kepada semua pihak.

Dari segi syarak pula, apabila berlakunya pertelingkahan, biasanya uruf atau amalan kebiasaan bagi perkhidmatan yang sama dalam kalangan pengamal perubatan dan hospital akan dijadikan rujukan dalam menentukan harga yang munasabah.

Upah Menyusu

Atas sebab-sebab tertentu, saya bercadang untuk mengupah seorang wanita untuk menyusukan bayi saya nanti? Apakah perkara ini dibenarkan syarak?

Para fuqaha bersepakat bahawa perkara ini adalah harus. Istilah yang digunakan dalam fiqah ijarah al-zi’r (إجارة الظئر).

Secara umumnya, rukun dan syarat upah (ijarah) hendaklah dipenuhi. Misalnya, kadar upah, kerja-kerja yang perlu dilakukan, tempoh masa dan lain-lain hendaklah dimaklumi dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak yang berakad.

Seperkara lagi yang diperlukan ialah keizinan suami puan. Jika upah tersebut dipersetujui tanpa mendapat keizinan suami, maka suami mempunyai hak untuk membatalkan akad yang telah dipersetujui.12

 

Susu atau Penjagaan

Sekiranya jadi nanti, bagaimana cara untuk saya tentukan kadar upahnya? Adakah berdasarkan susu atau penjagaannya?

Persoalan ini berkaitan perkara ma‘qud alaih iaitu sesuatu yang diakad ke atasnya. Sebenarnya para fuqaha berbeza pandangan dalam hal ini. Ada yang berpendapat bahawa “khidmat menjaga bayi” adalah perkara yang diakadkan ke atasnya dan penyusuan hanyalah sebagai sesuatu yang menjadi ikutan (tabi‘) sahaja.

Manakala sebahagian fuqaha yang lain berpandangan sebaliknya. Maka kesannya, jika wanita yang diupah supaya menyusukan anak itu memberikan susu haiwan kepada bayi, maka dia tidak berhak mendapat upahnya.

Namun adalah disarankan agar ma‘qud alaihini hendaklah jelas dan dipersetujui bersama. Tentukan sejak awal sama ada ia hanya melibatkan penjagaan sahaja atau susu sahaja atau kedua-duanya sekali. Tindakan ini sangat penting untuk mengelakkan gharar dan perbalahan di kemudian hari.

Wallahu a‘lam.

 

       Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Al-Ustaz

Majalah yang dilahirkan untuk merungkai segala persoalan feqah, akidah dan lain-lain perihal agama dalam kalangan masyarakat. Diwakili oleh pelbagai kolumnis pakar dalam pelbagai bidang. Majalah yang padat serta dikukuhkan berdasarkan Al-Quran & Hadis. Sesuai dijadikan sebagai sumber rujukan kepada persoalan-persoalan dan menjawab segala kekeliruan permasalahan di kalangan umat islam.

 

Dapatkan majalah Al-Ustaz keluaran terbaru di Addeen Online Store!

Kembali ke atas