Menu

 

A+ A A-

JENAYAH DALAM ISLAM : PEMBAHAGIANNYA

Biarpun tinggi matlamat dan tujuan serta peranan pembalasan jenayah di dalam Islam, namun masih terdengar suara di sanasini yang merendahkannya. Pelbagai pandangan negative terhadap sebahagian pembalasan Islam datangnya daripada sebahagian masyarakat Islam sendiri.

Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa pembalasan undang-undang jenayah Islam itu sebahagiannya sudah lapuk dan hanya sesuai untuk masyarakat di zaman lampau sahaja. Jika dilaksanakan ke atas anggota masyarakat sekarang adalah dianggap amat kejam.

Pendapat atau pandangan yang sebegini mungkin berpunca dari kengerian pembalasan itu sendiri atau kerana tersalah di dalam perlaksanaannya atau kerana kejahilan orang itu sendiri. Padahal setiap hukuman yang dikenakan itu ada hikmah yang tersirat.

Walau bagaimanapun orang yang sama tidak pernah menganggap pembalasan yang setaraf hukuman Islam apabila dilaksanakan oleh masyarakat bukan Islam. Tidak ada suara-suara yang memberikan pandangan negatif, seolah-olah keadaan itu dapat diterima dan tidak dianggap sebagai sesuatu yang kejam atau tidak sesuai atau lapuk.

Beberapa tahun yang lalu, Negara China telah melaksanakan pembalasan rejam sehingga mati ke atas beberapa orang penzina,tetapi tidak ada suatu reaksi negatif daripada masyarakat luar. Tiada suara yang mengatakan bahawa pembalasan rejam itu tidak sesuai dilaksanakan.

Tetapi apabila sesebuah negeri ingin melaksanakan pembalasan yang minimum terhadap peminum arak, iaitu sebatan enam kali, maka lahirlah pelbagai pandangan dan tanggapan yang tidak sihat. Malah yang amat menyedihkan, mereka menganggap pembalasan sebat ke atas peminum arak itu sebagai sesuatu yang lapuk, sedangkan hukuman seumpama itu telah berjalan sejak beberapa lama di dalam penjara.

Mengapa ia dipandang sebagai sesuatu yang lapuk? Dr. Mat Saad Abd. Rahman dalam bukunya Undang-undang Jenayah Islam Jenayah Hudud, berkata, kedudukan sesuatu pembalasan itu sama ada berat atau ringan tidaklah menjadi sesuatu yang perlu dititikberatkan. Tetapi yang harus dijadikan ukuran, sejauh manakah kemampuan sesuatu pembalasan jenayah itu menyekat perkembangan jenayah. Itulah yang menjadi nilai dan itulah juga yang menjadi ukuran bagi kejayaannya.

Dalam ruangan kali ini penulis akan membahagikan jenayah dalam Islam mengikut beberapa aspek.

Pertama: Antara Khaliq dan makhluk

  • Jenayah terhadap Allah s.w.t. seperti murtad, melanggar syariat Allah dan lain-lain.
  • Jenayah sesama makhluk seperti membunuh tanpa hak, mencuri dan lain-lain.

 

Kedua: Pembahagian hukum syariat

  • Qisas
  • Hudud
  • Ta'zir

 

Ketiga: 5 Pemeliharaan Dharuriyat 

  • Agama seperti murtad
  • Nyawa seperti pembunuhan
  • Nasab seperti perzinaan
  • Maruah seperti Qazaf
  • Akal seperti arak
  • Harta seperti mencuri

 

Keempat: Hukuman yang ditetapkan atau tidak 

  • Yang ditetapkan seperti qisas dan hudud.
  • Yang tidak ditetapkan tetapi diserahkan kepada kebijaksanaan hakim seperti ta’zir.

 

Kelima: Sudut perbuatan atau peninggalan 

  • Perbuatan seperti merompak dan mencuri.
  • Peninggalan seperti tinggal kewajipan solat, zakat, puasa tanpa uzur syarie.

 

Keenam: Punca jenayah 

  • Perbuatan – seperti berzina.
  • Percakapan – seperti mengumpat dan menuduh orang baik berzina.
  • Hati seperti hasad dengki, dendam kesumat dan lain-lain.

 

Ketujuh: Dari sudut niat dalam hati 

  • Sengaja seperti pembunuhan dengan pistol.
  • Tidak sengaja seperti pembunuhan yang tersilap.
  • Hampir sengaja seperti pembunuhan yang tiada niat membunuh tetapi membawa kepada kematian.

 

Kelapan: Penjenayah 

  • Perseorangan – seperti minum arak.
  • Ramai-ramai seperti kumpulan bughah.

 

Kesembilan: Cara perlakuan jenayah 

  • Terang-terangan seperti merompak.
  • Tersembunyi seperti mencuri.

 

Kesepuluh: Hukuman yang membawa mati atau tidak

  • Hukuman mati seperti jenayah membunuh,murtad dan tinggal solat dengan sengaja tanpa uzur.
  • Tidak membawa hukuman mati seperti mencuri.

 

Kesebelas: Umur pelaku jenayah 

  • Kanak-kanak.
  • Dewasa.

 

Kedua belas: Kewarasan pelaku Jenayah

  • Berakal.
  • Gila.

 

Ketiga belas: Jantina

  • Lelaki.
  • Wanita.

 

Keempat belas: Tempat perlakuan Jenayah 

  • Terbuka.
  • Sembunyi.
  • Di Tanah Haram, seperti Makkah.
  • Selain di Tanah Haram.

 

Kelima belas: Keadaan pelaku jenayah

  • Sukarela tanpa dipaksa dan dengan kehendak sendiri.
  • Dipaksa seperti diugut untuk dibunuh.

 

Keenam belas: Keadaan perlakuan Jenayah

  • Secara langsung.
  • Tidak langsung atau bersebab.

 

Ketujuh belas: Keadaan hati pelaku Jenayah 

  • Dengan niat.
  • Tanpa niat.

 

1xDemikian antara kategori dan aspek yang boleh dibahagikan dalam isu jenayah. Demikian adalah berdasarkan kajian ilmiah para ulamahasil istinbat hukum dan pengamatannya. Berdasarkan pembahagian di atas, jelas Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap telah menawarkan pakej sempurna untuk manusia, termasuk sistem perundangan yang mampu menangani pelbagai karenah manusia. Allah s.w.t. yang mencipta manusia amat mengetahui apakah penawar kepada kerencaman masalah dan penyakit manusia. 

Manakala Nabi s.a.w. telah menunjukkan kepada kita contoh teladan dalam mengemudi bahtera sebuah pentadbiran yang adil.

Dalam jenayah, Islam meletakkan hukuman yang serius dan mampu mencegah gejala ini.Namun banyak negara yang diterajui umat Islam mengabaikan tuntutan ini, lantaran lebih selesa memilih undang-undang konvensional untuk dilaksanakan di bawah kekuasaan mereka. Mereka tidak berani membawa undang-undang Islam walaupun majority rakyatnya adalah beragama Islam. 

Kita bimbang, globalisasi terbuka menjadi satu perangkap kepada umat Islam apabila musuh menggunakan ruang ini untuk menyebarkan racun dan virus kerosakan. Walhal jenayah1kemudahan IT itu sepatutnya dimanfaatkanoleh umat Islam untuk meneroka ilmu. Namun tujuan itu telah diselewengkan menjadi satu keseronokan yang akhirnya menjurus kepada liberalisasi yang memalingkan manusia daripada Islam. 

Sebenarnya media merupakan elemen yang sangat berkesan untuk mempengaruhi pemikiran masyarakat. Media adalah alat kepada kekuasaan yang mampu menaik dan menjatuhkan pemimpin. Di negara demokrasi terpimpin seperti Malaysia, media seharusnya dikawal pemerintah agar tidak meracuni fikiran rakyat dengan hiburan yang melalaikan.

Hiburan pada hari ini menjadi pemacu utama dalam meraih keuntungan dengan menyiarkan bahan murahan, pornografi, budaya anti intelektual. Budaya seronok santai (sensate culture) ini akan menjahanamkan sahsiah remaja. Rejim sekular tidak mempedulikan semua ini kerana masyarakat bermentaliti hiburan tidak akan mempunyai kesedaran politik yang betul.

Dalam keadaan ini kita kesal, sebahagian ulama tidak tahu memainkan peranan yang berkesan untuk mengembalikan semula masyarakat terhadap Islam. Jauh lebih malang lagi, ada yang menjadi pengampu pemimpin yang tidak mesra syariah, dalam keadaan umat semakin berpaling daripada agama. 

Sebahagian ulama itu lebih enak dalam bilik berhawa dingin dan dewan kuliah tanpa mempedulikan umat sekeliling yang telah jauh tersesat. Manakala mereka yang sarat dengan pelbagai idea dan kritikan yang wajar terus terhalang dek tembok kaca yang dibina oleh mereka sendiri. Semoga Allah s.w.t. selamatkan kita daripada sebarang unsur jenayah.

 

 

 

Dr. Zulkifli Al-Bakri

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 08


 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas