Menu

 

A+ A A-

SETIAP DETIK ALLAH DI HATI

“HARI INI AKU MAHU LUANGKAN MASA AKU BERSAMA-SAMA-MU, YA ALLAH.” Pernahkah kata-kata ini disematkan dalam hati kita?

BAGI seseorang yang amat mementingkan masa, pasti dia akan menyiapkan satu senarai tugas atau ‘to do list’ setiap hari. Bermula awal pagi, seterusnya pada waktu petang dan begitu juga pada malam hari sehingga sebelum masuk tidur. Segala-galanya lengkap dan pasti akan dilakukan setiap senarai tersebut. Senarai tugas ini dicatatkan agar setiap tugasan dan perkara yang ingin dilakukan akan terlaksana. sungguh teliti perancangannya sehingga waktu makan dan tidur turut dicatatkan!

Allah di hati
Namun, ada sesuatu kekurangan dalam ketelitian yang dibuat. Dalam senarai yang dibuat, ia tampak kosong kerana tiada masa yang diperuntukkan buat Allah, Pencipta alam dan sekalian yang ada di dalamnya. Biar siapapun diri kita; sama ada pelajar, majikan atau pekerja, masa bersama-sama Allah tidak seharusnya dianaktirikan. Setiap masa yang dilalui sepanjang hidup ini adalah kebenaran dan ketetapan Allah s.w.t. buat setiap diri manusia. Masakan manusia boleh hidup di atas muka bumi ini tanpa ruang masa yang Allah peruntukan.

dihati

Kaedah yang sebenar untuk melaksanakan tuntutan yang Allah s.w.t. tetapkan ini dengan meletakkan Allah s.w.t. di hati. Hanya Allah yang layak untuk diletakkan dalam setiap perbuatan tanpa ada rasa syak untuk mencari selain-Nya. Untuk meraih keikhlasan melakukan setiap pekerjaan dan tuntutan, maka perlunya takwa dalam diri seseorang. Takwa itu menjadikan diri seseorang sentiasa dekat dengan Allah dan sentiasa mengharapkan pertolongan dan keberkatan daripada-Nya.

‘To Do List’ yang baru
Jadi, untuk menghasilkan satu senarai tugas yang baru, keutamaan zikrullah itu perlu disertakan bersama tanpa pernah ada perasaan untuk mengabaikannya walaupun cuma seketika. Konsep mengingati Allah atau dinamakan sebagai zikrullah bukan sekadar mengucapkan ‘subhanallah’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahu akbar’ sahaja. ia amat luas kerana mencakupi apa yang diucapkan, dilakukan, difikirkan hanya dengan penetapan bahawa Allah s.w.t. dalam setiap keadaan. Andai kata senarai tugasan adalah ‘menyiapkan kerja rumah’, ‘add-on’ padanya ‘menyiapkan kerja rumah untuk menambah pengetahuan dan menambah keimanan kepada Allah’. Begitu juga ‘add-on’ pada tugasan ‘kelas pagi sehingga petang’ kepada ‘perjuangan menuntut ilmu Allah dari pagi sehingga petang’. Malah, dalam urusan riadah juga perlu ditukar kepada ‘beriadah untuk membolehkan beribadah kepada Allah’.

dihati2Amalkan, jangan tinggal
Dalam riwayat ibn Hibban, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“sepatutnya atas seorang yang berakal itu, ia mempunyai empat waktu; waktu untuk berdoa, memohon kepada Allah, waktu ia menilai diri sendiri, waktu untuk memikirkan segala kejadian Allah dan suatu waktu untuk menikmati hajatnya daripada makan dan minum.” Ayuh, jadilah golongan yang tahu akan kepentingan nilai masa bersama-sama dengan Allah dan menghayati kewajipan ini dengan sepenuh hati.

Golongan ini tidak akan membenarkan walaupun sedetik untuk dia berpaling daripada suruhan Allah atau membiarkan dirinya walaupun sesaat untuk melakukan larangan Allah. Ketahuilah bahawa orang yang beriman itu apabila melakukan dosa, dia akan bertaubat.

Dalam hatinya pasti resah atas kesalahan yang dilakukan dan menyesal kerana terlanjur berbuat demikian. Manakala orang yang tidak beriman adalah orang yang apabila melakukan dosa, dia tidak menyesalinya bahkan terus-menerus melakukan dosa tersebut. Lebih buruk lagi, dia begitu sombong untuk bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah s.w.t.

Khadijah Khalilah Abdul Rashid
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu 6

 


 

Khadijah Khalilah Abdul Rashid

Khadijah Khalilah Abdul Rashid dilahirkan pada 20 Mei 1987 di Serdang, Selangor. Kini menetap di Sepang, Selangor. Mendapat pendidikan di Sekolah Islam al-Amin Bangi, Sekolah Agama Menengah Hulu Langat, Sekolah Agama Menengah Bestari Subang Jaya, Universiti Mohammed V, Rabat Maghribi, Institut Terjemahan Negara Malaysia Berhad dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kembali ke atas