Menu

 

A+ A A-

MEMBERI NAFAS BARU DALAM NAHI MUNGKAR

Nahi Mungkar Tidak Semestinya Tegas

Soalan: Tidak lengkap amar makruf tanpa nahi mungkar. Bagaimana pula kita hendak melaksanakan tanggungjawab nahi mungkar dalam suasana hari ini? Atau boleh kita katakan bahawa konsep nahi mungkar mestilah bersifat lebih keras dan tegas berbanding amar makruf?

Jawapan:

Kita telah membincangkan dalam keluaran yang lalu bahawa konsep serta pendekatan amar makruf (menyuruh ke arah kebaikan) mesti bertunjangkan kepada bentuk problem solving, penyediaan saranan dan jawaban praktis kepada persoalan-persoalan semasa. Justeru konsep amar makruf mesti meriah dengan program-program yang komprehensif sebagai jawapan amali terhadap permasalahan masyarakat.

Maka demikian jua dengan konsep nahi mungkar (mencegah kemungkaran). Ia juga mesti digarap bukan dengan sekadar memuntahkan kalimah-kalimah yang menghina dan provokatif. Bukan sekadar membelasah penuh emosi. Semacam mendapat nikmat besar apabila timbul isu yang boleh dieksploitasi.

Nahi mungkar seharusnya merupakan kritik yang jujur dan membina dengan hujah-hujah yang dilengkapi data, fakta dan angka. Lalu dilafazkan dalam nada bahasa dai yang lunak. Ini kerana para dai sifatnya berbicara kepada akal dan fitrah manusia.

Sesungguhnya dai adalah penyelamat bukan pelaknat dan bukan tukang sorak yang memulangkan paku buah keras. Dai adalah penyeru bukan penyerang, bukan pembangkang melulu dan bukan pula penyokong melulu. Mereka adalah “al-amiruuna bil ma‘ruf wa nahuna anil munkar” iaitu penyeru kebaikan dan pencegah kemungkaran.

Sikap dan fikrah inilah yang tersirat di sebalik ungkapan “du‘ah la qudah”(pendakwah bukan penghukum atau hakim). Inilah ungkapan penuh hikmat yang memang sudah menjadi syiar dalam kalangan pendakwah tulen.

Tugas hakim berbeza daripada tugas dai. Hakim harus menyelidiki hakikat dan kedudukan sebenar seseorang yang dihadapkan kepadanya dalam keadaan tertuduh. Setelah itu dia akan membuat keputusan sama ada membebaskannya atau menghukumnya.

Kita bukan hakim tetapi adalah dai yang peranannya menyeru, menyampai dan mendidik. Mereka yang sesat diberi petunjuk, yang berdosa diajak bertaubat, yang jahil dibimbing dan yang kafir diislamkan.

Pelbagai Platform Dakwah Itu Rahmat

Soalan: Hari ini wujud pelbagai organisasi dan gerakan yang berasaskan dakwah dan kebajikan di luar sana. Dari satu sudut, alhamdulillah. Cuma saya teringat pengalaman semasa di IPT dahulu. Dua tiga gerakan dakwah yang ada ketika itu saling bertelingkah dalam banyak hal antaranya merebut ahli baru. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?

Jawapan:

Bagi seorang pendakwah, antara kelemahan yang paling menonjol dan paling mengkhuatirkan ialah persengketaan yang diakibatkan oleh kepelbagaian aliran pemikiran. Natijahnya ia menimbulkan pula pertentangan-pertentangan yang meruncing sehingga menenggelamkan hakikat persamaan risalah dan juga matlamat.

Pertentangan-pertentangan yang tajam dalam kalangan pendakwah ini adalah suatu aib besar yang diakibatkan oleh sikap fanatik terhadap pemikiran kelompok sendiri, tiada kesediaan untuk menghormati pendapat orang lain, gagal untuk membezakan antara persoalan hak dan batil dengan persoalan betul dan salah.

Penyakit mengagumi pendapat sendiri ini sedang menyerang sebahagian pendakwah sehingga mereka tidak dapat lagi mewarisi sikap dan adab para imam fuqaha yang berselisih pendapat dalam persoalan-persoalan yang demikian banyak. Namun mereka tidak pernah mendabik dada sebagai pemonopoli kebenaran. Sebaliknya mereka berpendirian: “Pendapatku betul, tapi berkemungkinan salah. Pendapat orang lain salah, tapi berkemungkinan juga betul.”Gara-gara penyakit inilah maka ketika ini kita menyaksikan suasana yang amat menyayat hati. Gamatnya pertelagahan dalam kalangan pendukung dakwah hingga mengakibatkan terabainya tanggungjawab bersama untuk menyelesaikan masalah-masalah umat. Masakan tidak, seluruh tenaga mereka tertumpu dalam polemik, politiking dan perlumbaan menambahkan bilangan penyokong masing-masing.

Sebenarnya bukan tidak ada formula penyelesaian kepada masalah perbezaan pendapat dalam kalangan pendukung dakwah yang berbeza aliran pemikiran ini. Sudah sejak lama Jamaluddin al-Afghani memberikan jalan keluar daripada belitan konflik seperti itu. Jalan keluar itu terakam dalam ungkapan: “Bekerjasama dalam hal-hal yang disepakati dan berkompromi dalam hal-hal yang diperselisihkan”.

Ruang untuk berbeza memang ada dan memang perlu. Sebenarnya perbezaan dalam hal-hal ranting boleh membawa natijah yang positif kepada pertumbuhan pemikiran Islam. Kepelbagaian pendapat boleh memperkaya khazanah pemikiran Islamiah andainya kita mampu menghadapinya secara dewasa.

Namun seandainya kita menghadapinya dengan sikap keanak-anakan, menganggap mereka yang tidak sependapat sebagai musuh, maka perbezaan pendapat akan menjadi bahan bakar penyemarak api permusuhan.

Ayuh, jadikanlah diri kita pendakwah yang:

Duduk muafakat menjunjung adat.

Duduk bersama berlapang dada.

Duduk berkawan bertenggang rasa.

Duduk di kampung rasa merasa.

Duduk di negeri pada patutnya.

Duduk di majlis bermanis muka

Selamat berlapang dada dalam berdakwah!

Ustaz Badli Shah Alauddin
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.6


Ustaz Badli Shah Alauddin

Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah (Tafsir al-Quran) Universiti al-Azhar. Kini sedang melanjutkan pengajian Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.Merupakan Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan di Jabatan Agama Islam Pahang. Mendapat bimbingan langsung kemahiran menyampaikan dakwah daripada Prof. Dr. Abd al-Mun‘im Subhi Abu Shu‘ayshi‘ Abu Dunya, tokoh ulama Mesir.

Kembali ke atas