Menu

 

A+ A A-

TUHAN SEDANG MENGAJARMU ERTI IKHLAS DAN SABAR

SAYA begitu tertarik dengan dialog semasa Fahri (watak utama dalam filem “Ayat-ayat Cinta”) di dalam penjara atas tuduhan memperkosa. Ketika beliau begitu terganggu ketika ingin memulakan solat, ‘teman’ sepenjaranya lantas membentak dan mencengkam leher bajunya lantas berkata, “Dengar, Tuhan sedang berkomunikasi denganmu! Tuhan sedang mengajarmu erti sabar dan ikhlas… Dan itulah Islam!” Ya, ujian hidup adalah “guru” yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik.

Ia hakikatnya komunikasi tanpa suara antara Tuhan dengan hamba-Nya. Ujian terkecil malah yang terbesar adalah takdir Allah. Ia mempunyai maksud tertentu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian sama ada secara langsung daripada Allah atau melalui orang lain, kita mula melatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu. Allah Maha Pengasih; jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita sama-sama cungkil hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan.

Melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji

Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan pertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada mengingati Allah, Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya hamba-Nya tadi tidak terus tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila. Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, sama ada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat bersungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).

Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia.

Sekiranya kita dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang kepada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan. Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa begitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik.

Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, insya-Allah mudah diterimanya. Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi? Ujian ini sengaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah tiada kuasa untuk menolak ketentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekali gus membuang rasa bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya.

Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah. Firman Allah dalam surah Ali Imran; 142 yang bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.” Firman Allah dalam surah al-Zumar ayat 10 yang maksudnya: “Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.” Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Sesiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak!

TAKUT ALLAH1

Ujian kepada para Rasul

Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah Baginda, malah mencaci, menghina dan melempari Baginda dengan batu-batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang yang engkar dan berlaku durjana itu kepada Baginda, tetapi dengan tenang Baginda s.a.w. menjawab: “Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”

Demikianlah, orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ini, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah bertujuan menguji kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji.¤
                 

Oleh Abu Asif
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

 


 

Kembali ke atas