Menu

 

A+ A A-

LAGI TERPERINCI, LAGI RENDAH KUALITI

“MACAM mana ustaz boleh baca kitab Arab macam itu? Baris tak ada, tanda mati tak ada. Macam mana nak tahu kena baca baris atas, depan atau bawah?” tanya seorang pelajar yang datang berziarah ke rumah saya.

“Hmm… macam mana saya nak jawab ya. Kalau nak tahu baris-baris di tengah perkataan, belajarlah ilmu sarf. Kalau nak tahu baris di hujung perkataan, belajarlah ilmu nahu,” saya menjawab.

“Kalau habis belajar bab nahu dan sarf tu, kira boleh bacalah ye?” tanyanya lagi.

“Tak juga. Kelancaran membaca kitab Arab yang tak berbaris ini, datang daripada latihan. Lagi banyak membaca, lagi eloklah kualiti pembacaan kita,” saya cuba menjelaskan.

“Bila dah mahir, tak perlukan baris lagi?” beliau semakin blur.

“Malah kalau dibaris-bariskan semua, jadi sulit pula nak baca. Buku Arab yang membaris-bariskan semua perkataannya, adalah tajhil kepada pembaca,” saya menyambung.

“Tajhil? Tajhil tu apa?”

“Tajhil bermaksud menganggap pembaca sebagai jahil. Yakni tak mahir membaca. Maka perlu dibaris-bariskan semuanya,” saya menjelaskan.

“Oh begitu, habis kenapa al-Quran semua dibubuh baris? Menganggap semua pembacanya jahil ke?” tanya beliau penuh semangat.

“Kitab Tafsir hanya dibaca oleh orang yang belajar tafsir. Buku teks Bahasa Arab Tingkatan 1 hanya dibaca oleh pelajar Tingkatan 1. Tapi al-Quran untuk bacaan semua. Daripada yang Tingkatan 1 sehinggalah kepada sealim-alim manusia,” saya cuba mengungkai keserabutannya.

“Lagi pun al-Quran adalah kalam Allah, sumber hukum. Silap baca lain maknanya!” saya menyambung.

“Boleh ustaz bagi contoh?”

“Misalnya dalam ayat 6 surah al-Maidah: Perkataan “arjulakum” yang bermaksud “kaki kamu itu” hendaklah dibaca dengan baris atas pada huruf Lam. Maknanya hendaklah disapu kepala ketika berwuduk dan kaki pula dibasuh. Tetapi kalau dibaca arjulikum, dengan baris bawah, maknanya berubah. Ia memberi makna “hendaklah disapu kepala dan kaki kamu”. Tak payah basuh kaki. Sapu sahaja...” saya menjelaskan panjang lebar.

“Oh, itu yang orang Syiah buat kot, ustaz,” beliau semacam terkejut.

“Perbezaan qiraat. Sebab itu kena letakkan barisnya. Lagi pun al-Quran kena dibaca dengan tajwid. Baca sebagaimana ia diturunkan,” saya memberitahu.

Kemudahan yang Memanjakan Pengguna

Perbualan saya dengan pelajar tersebut masih segar di ingatan. Ia membawa saya kepada memikirkan suatu teori iaitu: Semakin terperinci, maka semakin rendahlah kualiti.

Saya pun tidak tahu sejauh mana benarnya teori saya ini. Tetapi dalam bab membariskan teks Arab itu tadi, lagi terperinci ia dibariskan, maka ia menunjukkan kepada kerendahan tahap pembaca yang disasarkan.

Begitu juga dengan menisbahkan perkataan dalam Bahasa Arab. Contohnya perkataan Jamiah Islamiyyah (universiti Islam). Saya tidak bertemu dengan perkataan Insaniyyah (bersifat kemanusiaan), ‘Alamiyyah (bersifat sejagat), Dauliyyah (bersifat antarabangsa) dan Islamiyyah (bersifat Islamik) dalam bahasa Arab al-Quran dan awal Islam. Saya pun tidak pasti bilakah bentuk perkataan seperti ini muncul dalam bahasa Arab.

Agaknya dulu-dulu, kalau dah Muslim itu, Muslimlah ia. Tetapi hari ini ia perlu diperincikan; Muslim yang bagaimana?

Muslim yang Islamik! Sebab ada Muslim yang tak begitu Muslim.

Jika dahulu, daulah (negara) yang dipimpin oleh orang Islam, daulah Islamlah ia. Tetapi kemudiannya terpaksa diperincikan sebagai daulah yang dipimpin oleh orang Islam yang memerintah dengan hukum Islam. Sebab rupa-rupanya ada daulah Muslim yang tidak memerintah dengan hukum Islam.

Makin terperinci definisi sesuatu isu, makin terserlahlah kerendahan era itu.

Jika dahulu khutbah Jumaat Baginda s.a.w. ringkas, dan solat Jumaat yang dipanjangkan. Kini khutbah perlu dipanjang kan dan diperincikan, kerana hanya dengan mendengar ayat al-Quran dan hadis serta terjemahannya, ia tidak dapat menyentuh hadirin.

Lagi banyak kita bercakap, lagi jelas petanda yang kita sedang berdepan dengan kerendahan.

Apakan daya. Kita tidak boleh marahkan kerendahan itu kerana itulah realiti yang ada. Maka kitalah yang kena menyesuaikan diri dan pendekatan, dengan kerendahan itu.

Malas Berfikir

2Makin Terperinci Makin Kurang KualitiKetika menerima maklum balas pembaca terhadap artikel-artikel yang saya tulis, ada kalanya saya terjebak dalam isu yang sama.

Misalnya isu-isu yang saya ketengahkan dalam buku saya, Aku Terima Nikahnya. Awalnya, saya berat untuk menulis artikel itu kerana ia membabitkan subjek yang sangat peribadi buat diri saya. Tetapi saya kasihan adikadik hari ini yang terkapai-kapai mempraktikkan kehidupan remaja tanpa bercouple, mahu menuruti sunnah, tetapi menjadi tidak tentu hala sehingga memfitnah agama.

Lalu, saya ketengahkan pengalaman sendiri, agar adik-adik dapat melihat secara praktikal bagaimana jodoh boleh dipertemukan, tanpa perlu mengambil dosa sebagai jalannya.

Namun, ada pembaca mahu saya memperincikan lagi artikel itu kerana mereka tidak jelas bagaimana kefahaman mereka terhadap artikel itu boleh mereka amalkan.

Tidakkah mereka mampu berfikir sendiri? Mengolah apa yang saya beri untuk diaplikasikan dalam kehidupan masing-masing.

Sedangkan lebih dalam dan personal saya perincikan tentang kehidupan, lebih sukar untuk ia diserap ke dalam kefahaman pembaca. Ia akan terlalu menjadi “cerita saya”.

Ini yang saya pelajari daripada al-Quran. Kisah-kisah dalam al-Quran, Allah s.w.t. tidak memperincikan tarikh, nama, masa dan tempatnya. Antara hikmah penceritaan begitu adalah supaya setiap pembaca dapat melihat diri masing-masing dalam cerita berkenaan.

Memperincikannya, hanya akan menyebabkan cerita itu menjadi cerita orang lain. Maka hilanglah kehendak ‘ibrah pada sebuah kisah.

Rajin-rajinkanlah diri berfikir, otak kanan dan otak kiri. Orang cerdik, dengan isyarat pun sudah cukup faham!

 


Oleh Hasrizal Abdul Jamil

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu no 3

 


 

 

Hasrizal Abdul Jamil

Lahir di Ipoh, Perak dan mendapat Ijazah Sarjana Muda (Hons) Syariah dan Pengajian Islamic, dari Universiti Mu’tah, Jordan. Berpengalaman sebagai guru, pengetua dan imam sambilan di Northen Ireland, dan pernah menjadi Pen. Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Sedang menyambung pelajaran di peringkat Sarjana, Sains Kemanusiaan (Sejarah dan Tamadun) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Di samping sebagai kolumnis beberapa majalah, beliau kini beliau sebagai kaunselor pesakit di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur. Beliau aktif di dalam laman web beliau, www.saifulislam.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

gb0043 gb0043

Kembali ke atas