Menu

 

A+ A A-

MENANAM POKOK DI ATAS BATU!

SAMA ada wajib seperti zakat atau yang sunat, sedekah sangat digalakkan dalam Islam. Ini dapat dilihat kepada kekerapan persoalan ini ditimbulkan dalam al-Quran dan bagaimana ia begitu dititikberatkan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Namun begitu dalam ayat 264 surah al-Baqarah, Allah s.w.t. memberikan peringatan berbeza. Dalam keghairahan bersedekah dan berderma jangan sesekali terpesong niat utamanya. Acap kali kita melihat konsep murni sedekah yang digalakkan Islam disalahgunakan untuk kepentingan sendiri. Pemberian yang kononnya derma, diharapkan balasan. Secara diam mereka mengharapkan agar pemberian tersebut memberi keuntungan kepada mereka. Bukan mengharapkan keredaan Allah, tetapi mahu mereka yang menerima “sedekah” juga menyedekahkan kesetiaan kepada mereka. Tunduk kepada kehendak dan arahan mereka seperti kerbau dicucuk hidung.

Kejar Populariti dengan Derma

Sedekah juga digunakan sebagai topeng di sebalik jenayah rasuah yang berlaku. Menggunakan istilah dana kebajikan, derma, sedekah jariah atau subsidi, mereka mengaburi masyarakat hakikat niat sebenar mereka. Bertujuan mempamerkan limpahan kekayaannya, sedekah dikeluarkan bukan atas kesedaran membantu yang tidak bernasib baik dengan berkongsi anugerah yang Allah berikan. Artis yang pudar namanya juga menggunakan platform derma untuk meraih semula populariti sendiri.

Jelas betapa konsep sedekah telah dimanipulasikan dengan sewenang-wenangnya sehingga tersasar daripada matlamatnya yang sebenar. Apa pun istilah yang digunakan, pemberian yang disertakan dengan syarat-syarat tertentu tidak diiktiraf sebagai sedekah.

Allah memberikan amaran ini dengan tegas. Semua “sedekah” palsu ini tidak akan memperoleh ganjaran daripadaNya. Harta mereka tidak akan dibersihkan dan diberkati sebagaimana janjiNya bagi sedekah yang dikeluarkan dalam ayat 261 surah al-Baqarah.

Perumpamaan sedekah palsu ini adalah seperti tanah yang berada di atas seketul batu yang licin, apabila ditimpa hujan semua tanah akan hilang.

Demikian juga sedekah yang dikeluarkan kerana riyak atau sedekah yang disertai dengan membangkitbangkitkan. Harta yang dikeluarkan hanya sia-sia tidak mendapat limpahan pahala, tidak ada pertambahan pada harta dan tiada juga peningkatan iman dalam jiwa. Pemberian mereka tidak ubah seperti perbuatan menanam pokok di atas batu!

Dermawan Bakhil lwn. Dermawan Budiman

Setelah mengecam golongan “dermawan bakhil” ini, Allah seterusnya memuji dengan memberikan perumpamaan orang Mukmin sejati yang mengeluarkan harta mereka semata-mata demi mendapatkan keredaan Allah. Derma daripada dermawan sejati adalah seperti sebuah kebun subur yang terletak di tanah tinggi. Apabila disirami hujan lebat, tanamannya memberikan hasil lumayan berlipat kali ganda. Disebabkan oleh lokasinya di tanah tinggi dan tanah yang subur membolehkan tanamannya memberikan hasil yang baik walaupun hujan hanya renyai-renyai.

Ini menggambarkan keberkatan sedekah yang ikhlas kerana Allah sama seperti kesuburan tanaman ini. Pemberiannya walaupun sedikit memberikan impak maksimum kepada kesuburan hartanya serta turut menyuburkan imannya. Apatah lagi jika banyak. Sebagaimana hasil tanaman yang baik memberikan manfaat kepada empunya kebun, keluarganya malah masyarakat, sedekah yang telus juga dapat “menyuburkan” masyarakat.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari ke reda an Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul daripada jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah 2: 265)

Dermawan Tua yang Muflis

Setelah menggambarkan kebodohan menanam pokok di atas batu dan menceritakan kesuburan sedekah yang ikhlas, Allah sekali lagi memberikan peringatan tentang pemberian yang bukan mengharapkan keredaan Allah.

Dalam ayat berikutnya surah alBaqarah, Allah menggunakan logik akal manusia untuk menyedarkan mereka betapa buruknya derma yang tidak ikhlas. Ayat ini menyuruh kita membayangkan sekiranya kita mempunyai harta kekayaan yang banyak dan harta ini pula semakin bertambah setiap hari (Allah menggunakan kebun-kebun tamar dan anggur untuk menggambarkan harta yang banyak). Tetapi kerana usia di hujung senja, kita tidak dapat menikmati semua kekayaan ini. Makanan yang enak sudah tidak terasa di lidah kerana tekak sudah lali dengan pelbagai ubat. Pakaian yang mahal dan hebat tidak lagi dapat melindungi tubuh yang usang dimamah usia. Lantas apa gunanya semua kekayaan ini?

Lebih malang lagi jutawan tua ini tidak mempunyai waris yang mampu menjaga hartanya. Sama ada anak-anaknya masih kecil atau sakit, hartanya pasti jatuh ke tangan orang lain. Ibarat jatuh ditimpa tangga, dengan semua masalah ini, tiba-tiba tragedy menimpa. Kilang-kilangnya hangus terbakar, saham-saham yang dibelinya jatuh menjunam dan krisis ekonomi melumpuhkan kewangan negara. Demikian sedikit demi sedikit harta kekayaan yang dibanggakannya hilang di hadapan matanya. Bayangkan apa yang tinggal?

Seorang tua yang bersarang di tubuhnya pelbagai penyakit, bersama anak-anak yang masih kecil dan tanpa harta. Bayangkan jika diri anda hartawan tua yang muflis ini. Apa perasaan anda?

Hartawan tua ini ialah sedekah palsu yang kita keluarkan bukan kerana Allah. Walaupun berjuta wang dilaburkan atau berekar-ekar tanah diwakafkan, namun tidak satu pun diterima Allah s.w.t. ¤

Rohidzir Rais

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.5

 

Rohidzir Rais

Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

IMBK1002

  IMBK1002

Kembali ke atas