Menu

 

A+ A A-

USIA BUKAN PENGHALANG

JIKA kita diberi pilihan di antara mahu hidup dengan usia yang panjang dan usia yang pendek, sudah pasti ramai yang akan memilih berusia panjang. Namun, benarkah hidup dengan usia yang panjang itu adalah lebih baik… atau akan rugi jika usia kita pendek?

Pernahkah kita renung dan fikirkan apakah sudah cukup amal kebaikan kita sepanjang usia kita hidup sehingga hari ini? Berapa waktu yang dihabiskan untuk bersujud, membaca ayat-ayat suci al-Quran, mengingati Allah dan amal kebaikan yang telah kita kumpulkan sebagai bekal untuk pulang ke akhirat?

Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi: “Orang yang paling baik adalah orang yang panjang umurnya dan baik amal perbuatannya.” Hadis ini menyebutkan bahawa jika sekadar hanya berumur panjang itu bukanlah kebaikan, kecuali ia diisi dengan amal perbuatan yang baik.

Malahan adakalanya umur panjang yang dikurniakan itu hanya merugikan dan memberi kemudaratan sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Ali Imran ayat 178 yang bermaksud: “Dan janganlah sekali-kali orang kafir itu menyangka bahawa penangguhan Kami kepada mereka hanyalah supaya bertambah-tambah dosa mereka, dan bagi mereka azab yang menghinakan.”

Allah menjelaskan dalam ayat ini bahawa orang yang kafir itu dilapang dan dimurahkan rezeki, kesihatan, dan umur yang panjang. Namun, segala kurniaan Allah kepada mereka itu bukanlah untuk kebaikan bagi mereka, bahkan hanya akan menambah buruk nasib mereka kelak. Dosa-dosa mereka akan sentiasa bertambah dengan kurniaan itu yang akhirnya akan menyebabkan kesengsaraan kepada mereka baik di dunia mahupun akhirat.

Oleh sebab itu, ramai di kalangan para ulama tidak mahu jika didoakan panjang umurnya oleh orang lain. Sebaiknya doakan agar Allah panjangkan usianya dalam ketaatan kepada-Nya. Kerana umur yang panjang adakalanya merugikan seseorang jika hidupnya hanya dihabiskan dengan perbuatan dosa dan maksiat.

Kita sendiri tidak dapat menjangka adakah umur kita panjang atau pendek. Kita juga tidak tahu adakah Allah mengurniakan segala nikmat di dunia ini sebagai kurniaan atau ujian-Nya. Yang penting bagi kita adalah tetap beramal soleh dan sentiasa bertaubat daripada segala dosa yang kita lakukan. Sehingga ketika saat ajal kita tiba, kita sudah bersedia dengan bekal yang cukup untuk mengharungi perjalanan panjang menuju Allah.

usia bukan penghalang

Sesiapa yang menyedari tentang singkatnya umur, jauhnya perjalanan dan ngerinya tempat kita akan kembali, pasti dia akan bersungguh-sungguh dalam menghimpunkan amal kebaikan. Dia tahu segala amal itu akan dihitung sama ada besar atau kecil, untung atau rugi.

Perbuatan baik itu adalah semudah melemparkan senyum sesama Muslim, berkata yang baik-baik, berjabat tangan, berzikir, berjalan untuk menunaikan solat, apalagi solat itu sendiri, sedekah dan berbagai-bagai lagi amal yang mudah bagi seseorang hamba itu, tapi berat dalam timbangan.

Seringkali kita tidak berasa takut ketika melakukan sesuatu dosa atau maksiat kerana menyangka tidak ada yang akan melihat kita melakukannya. Padahal, Allah sentiasa mengawasi kita dan malaikat-Nya sentiasa mencatat setiap perbuatan kita tanpa gagal.

Sungguh, sangat rugi jika waktu yang kita telah gunakan sepanjang usia kita ini tidak bernilai di sisi Allah. Sungguh, sangat celaka jika waktu semalam kita lebih banyak melakukan dosa dan maksiat berbanding menabung amal soleh. Alangkah ruginya kita jika, apabila tidak mengambil pengajaran daripada berbagai-bagai kejadian yang terjadi di masa lampau.

Wahai orang-orang beriman, tidak ada orang yang menaruh belas kasihan terhadap dirimu melainkan dirimu sendiri. Maka sayangilah diri sendiri dengan mengumpul sebanyak-banyak kebaikan, menjaga waktu dan darjat yang tinggi selagi ada usia.

Bersyukurlah jika saat ini, Allah membuka mata menyedarkan kita. Bertekadlah untuk mengisi hari-hari yang mendatang dengan berbagai-bagai amal soleh. Jagalah ibadah wajib, banyakkan ibadah sunat, sentiasalah mengingati Allah, tinggalkanlah dosa dan maksiat, lakukan kebaikan dan bertawakallah kepada Allah dalam setiap urusan. Insya-Allah hidup kita akan sentiasa dalam keredaan-Nya. Q

 

Mahfuzah Omar

Sumber artikel daripada majalah Gen Q Isu Perdana


 

Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas