Menu

 

A+ A A-

AYAT-AYAT SUJUD SAJDAH

Sujud Sajdah dalam Solat Subuh Pagi Jumaat

PERTAMA kali saya solat Subuh berjemaah di masjid ialah minggu lepas. Barulah saya tahu ada amalan sujud tilawah dalam solat Subuh. Saya terpinga-pinga melihat orang lain sujud. Saya ingatkan rukuk. Bolehkan ustaz jelaskan tentang amalan tersebut?

Jawapan:

Sujud itu dinamakan sujud sajdah atau tilawah. Ia dilakukan apabila kita membaca ayat-ayat sajdah. Menjadi amalan kebiasaan umat Islam di Malaysia membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh setiap pagi Jumaat. Dalam surah tersebut, ada ayat sajdah iaitu pada ayat ke-15. Hukum melakukan sujud tilawah apabila membaca ayat sajdah adalah sunat. Maka kita boleh memilih sama ada untuk melakukannya atau tidak. Sesiapa yang melakukannya akan mendapat kelebihan mengikuti sunnah Rasulullah.

Berikut antara dalilnya:

1. Zaid bin Thabit berkata: “Aku membaca (ayat 62) surah al-Najm. Rasulullah tidak sujud, maka kami juga tidak sujud.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Ibn Umar r.a. berkata bahawa Rasulullah sujud apabila membaca surah al-Najm. (Riwayat al- Bukhari)

3. Sayidina Umar Bin al-Khattab r.a. membaca surah al-Sajdah pada hari Jumaat dengan membuat sujud tilawah serta diikuti oleh para jemaahnya. Namun pada Jumaat yang berikutnya pula, beliau tidak melakukan sujud tilawah. Para makmum mempersoalkan tindakan beliau. Lalu beliau menyatakan bahawa perbuatan tersebut tidak diwajibkan oleh Allah. Ikutlah kehendak kita sama ada hendak sujud atau tidak. (Riwayat Malik)

Dalam sujud itu, kita disunatkan membaca doa berikut:

sujud-sajdah-1

Maksudnya: “Sujudlah mukaku kepada Tuhan yang telah menciptakannya dan juga yang telah mencipta pendengaran dan penglihatannya dengan kekuasaan-Nya, maka Maha Berkat Allah sebagai sebaik-baik Pencipta.”

Ayat-ayat Sujud Tilawah

Selain daripada ayat 15 surah al-Sajdah, apa lagi ayat-ayat sujud tilawah yang lain dalam al-Quran?

Jawapan:

Kesemuanya terdapat 14 tempat dalam al-Quran yang disunat kita untuk sujud tilawah seperti berikut:

sujud-sajdah-2

 

sujud-sajdah-3

Sebagai maklumat tambahan, ayat 24 surah Sad tidak dikira sebagai ayat sujud tilawah, tetapi ia dikira sebagai ayat sujud syukur bagi mazhab Syafi‘i dan Hanbali. Walau bagaimanapun, kita akan dapati tanda sujud diletakkan juga dalam mashaf. Ini untuk meraikan mazhab Hanafi dan Maliki yang menetapkan ayat tersebut sebagai ayat sujud tilawah.

Jumlah Ayat Al-Quran

Sudahkah ada ulama yang membuat pengiraan tentang jumlah ayat al-Quran? Jika ada, berapa jumlahnya?

Jawapan:

Ada. Ulama yang alim dalam bidang pengiraan ayat-ayat al-Quran disebut sebagai “ulama ‘adad”. Ilmu ini disebut sebagai “al-Fawasil.” Sebenarnya, ulama berbeza pendapat tentang bilangan ayat al-Quran.

Berikut adalah jadualnya:

sujud-sajdah-4

Perbezaan ini berlaku akibat perbezaan standard pengiraan yang digunakan. Contohnya, para ulama Kufi mengambil kira beberapa ayat huruf hijaiyah muqatta‘ah seperti “alif lam mim dan alif lam ra” yang terdapat pada permulaan sebagai ayat yang tersendiri sedangkan ulama lain tidak. Wallahu a‘lam.

Mohd Adib Hasan Saari

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Mohd Adib bin Hassan Saari

Sarjana Muda Qiraat, Maahad Qiraat Shubra, Universiti al-Azhar. Antara guru beliau ialah Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Latif (Pakar Rujuk Utama Ilmu Qiraat di Masjid al-Azhar), Syeikh Abdul Rahim al-Banna dan Syeikh Qadri bin Abdul Hamid al-Hafiz. Kini guru, merangkap jurulatih utama al-Quran, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Kembali ke atas