Menu

 

A+ A A-

MULIA BERKAT KESABARAN

MANUSIA dan sabar. Satu fizikal dan satu lagi spiritual. Ya…sabar itu spiritual. Kadang-kadang dorongan untuk bersabar itu berlawanan dengan sifatnya yang mulia. Bagaimana? dari segi spiritualnya, sabar ini amat dalam sifatnya yang mana ia berada dalam kelompok ikhlas.

Contoh, boleh sahaja kalau kita menenangkan rakan yang sedang marah atau juga bersedih dengan ungkapan ‘sabar’ tetapi adakah ungkapan itu menyerap ke dalam jiwanya?

Tidak semua boleh ‘menyedut’ kesabaran dengan sekali ungkapan tanpa menghayatinya. itulah yang dikaitkan kesabaran ini dengan spiritual. Namun apa yang jelas, orang yang mempunyai kesabaran yang tinggi adalah orang yang mulia sifatnya. Bukan mudah untuk memiliki sifat mulia ini dalam kehidupan yang penuh pancaroba ini tetapi ia tidak mustahil untuk dicapai – seperti memanjat bukit yang memerlukan kesungguhan dalam kesabaran untuk sampai ke puncak. Tiada kesungguhan dan kesabaran, tiadalah kejayaan.

Di sini diperjelaskan kaitan sifat sabar dalam kehidupan seharian melalui ayat-ayat dalam kitab agung al-Quran:

1. BERSABAR DALAM MENERIMA PUJIAN:

Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali ‘imran ayat 188 yang bermaksud: “Jangan sekali-kali engkau menyangka bahawa orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan. Jangan engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka akan beroleh azab yang pedih.”

2. BERSABAR DALAM BERKATA-KATA:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Baqarah ayat 263 yang bermaksud: “(Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati. Dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar.”

3. BERSABAR DALAM BERBUAT BAIK:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ra’d ayat 22 yang bermaksud: “Dan orang yang sabar kerana mencari keredaan Tuhan mereka, dan mendirikan sembahyang, serta menafkahkan dari apa yang Kami berikan mereka, secara bersembunyi atau terang-terang; dan mereka menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itulah disediakan bagi mereka balasan yang baik.”

4. BERSABAR DALAM MENURUT HAWA NAFSU:

Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali imran ayat 14 yang bermaksud: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia; kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda yang bertanda lagi terlatih, dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga).”

5. BERSABAR DALAM MEMEGANG AMANAH:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud: “sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya surah al-Nisa’ ayat 58 yang bermaksud: “sesungguhnya Allah menyuruh kamu kamu menghukum dengan adil. sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”

6. BERSABAR DALAM BERMASYARAKAT:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Anfal ayat 47 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang keluar dari negerinya dengan berlagak sombong dan riyak kepada orang ramai serta mereka pula menghalang manusia dari jalan Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Meliputi pengetahuan-Nya akan apa yang mereka kerjakan.”

7. BERSABAR DALAM TIPU DAYA DUNIA:

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Nisa’ ayat 120 yang bermaksud: “syaitan sentiasa memberikan janji-janji serta angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata.”

 

Oleh Azzam Supardi

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q 7

 


 

Azzam Supardi

Pernah mengikuti pengajian di Maahad Buhuth di Kaherah, Mesir. Kini bertugas di Telaga Biru Sdn. Bhd. sebagai editor majalah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas