Menu

 

A+ A A-

REMAJAKU DAN MASJID

“SESUNGGUHNYA yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” - (Surah at-Taubah 9:18)

Masjid adalah tempat sujudnya insan yang bertaqwa kepada Allah dan simbol perpaduan seluruh umat islam. Di mana sahaja tempat yang mempunyai masjid bererti di situ wujudnya orang-orang yang bertaqwa dan bersaudara. Penampilan manusia dan masjid akan mencerminkan darjat hubungan antara manusia dengan Allah s.w.t. dan antara manusia dengan manusia.

Dalam riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Kawasan yang paling dikasihi oleh Allah ialah masjid-masjid-Nya.”

Namun persoalannya, benarkah masjid tempat berhimpunnya golongan berusia dan sudah tua? Apabila difikirkan dan diamati, jawapan bagi persoalan di atas mungkin boleh menjadi muhasabah bagi belia era globalisasi kini. Anda yang membaca juga perlu muhasabah.

Usah biarkan sepi

Alhamdulillah masjid dan surau di Negara kita semakin berkembang jumlahnya, serta mutu bangunannya bertambah cantik. Ada masjid yang mewah dan meriah serta makmur. Ada juga yang mewah tetapi sunyi sepi. Ada pula yang daif bangunannya tetapi aktif dengan berbagai-bagai kegiatan dan ada yang kecil terpencil serta lemah kegiatannya.

Kesemua keadaan yang disebutkan ini, sudah pasti golongan belia adalah yang paling corot kehadirannya. Mengapakah golongan belia kini seolah-olah meminggirkan masjid dan surau lantas hanya cukup berpada solat di rumah bersendirian? Apa yang lebih menyedihkan lagi, golongan belia adalah antara penyumbang peratusan terbesar bagi umat islam yang tidak menunaikan solat. Astaghfirullah...

Trend penolakan sebahagian daripada golongan belia dan remaja terhadap masjid mungkin disebabkan empat faktor utama:
1.     PERTAMA, disebabkan faktor ibu bapa yang kurang memberikan galakan untuk anak-anak mereka bagi mengimarahkan surau dan masjid.

2.     KEDUA, disebabkan kelekaan golongan muda kini diasak dengan budaya hiburan kemudahan teknologi maklumat seperti internet dan telekomunikasi.

3.     KETIGA, disebabkan kekurangan ilmu fardu ain dan solat dan akhirnya menyebabkan kelompok ini berasa segan untuk ke masjid.

4.    KEEMPAT, disebabkan gaya pentadbiran masjid yang tidak menitik beratkan isu bagaimana untuk menarik minat golongan muda untuk ke masjid.

Sedar atau tidak, akibat tidak adanya roh dan budaya masjid dalam jiwa golongan belia, maka muncullah pelbagai penyakit kemanusiaan yang kronik dan sukar untuk diselesaikan seperti budaya penyalahgunaan dadah, budaya jenayah berat, budaya lepak dan pesta maksiat.

Kebelakangan ini kita berhadapan pula dengan suatu budaya yang semakin serius dan meresahkan masyarakat iaitu budaya pembuangan anak luar nikah yang tidak berdosa. ini semua dipelopori oleh manusia-manusia yang zalim dan ganas yang kebanyakannya adalah belia. Tidak ada alternatif lain yang lebih berkesan untuk mengatasi gejala-gejala ini selain daripada kembali kepada islam dan kembali memakmurkan roh dan budaya masjid di dalam masyarakat.

Masjidlah tempatnya

Tidak ada tempat lebih baik di bumi ini selain rumah-rumah Allah. ini kerana di situlah terbit segala ketenangan yang diimpikan oleh segenap insan. Tidak ada tempat di bumi ini yang mampu menjanjikan ketenangan dan kedamaian hidup, melainkan rumah Allah.

Di mana remaja dalam hal ini? Jika anda seorang remaja, insafilah. Jika anda seorang bapa dan ibu, muhasabah diri dan tanya soalan ini kepada anak-anak anda. Tanggungjawab anda dan semua cukup besar sebagai umat Muhammad s.a.w., umat akhir zaman.

TIDAK ADA TEMPAT LEBIH BAIK DI BUMI INI SELAIN RUMAH-RUMAH ALLAH. INI KERANA DI SITULAH TERBIT SEGALA KETENANGAN YANG DIIMPIKAN OLEH SEGENAP INSAN. TIDAK ADA TEMPAT DI BUMI INI YANG MAMPU MENJANJIKAN KETENANGAN DAN KEDAMAIAN HIDUP, MELAINKAN RUMAH ALLAH.

Oleh Ustaz Mohd Azrul Ismail
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.6


Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas