Menu

 

A+ A A-

DI MANAKAH NERAKA?

ADA satu ayat dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan bersegeralah kamu kepada ampunan daripada Tuhanmu dan kepada syurga yang seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang yang bertakwa.” (Surah Ali ‘Imran 3: 133)

Soalannya, kalau syurga itu seluas langit dan bumi, bagaimana dengan neraka? Di mana letaknya?

Alam semesta tidak hanya terbatas pada langit dan bumi. Sehingga kini, fahaman kita tentang langit masih lagi kabur dan kita masih lagi tidak dapat untuk memahami tentang langit sebenarnya. Kita hanya percaya bahawa di atas langit ada malaikat Allah dan kefahaman itu tidak dapat dicapai dengan akal dan ilmu kita. Kerana inilah, Nabi s.a.w. menganjurkan sesudah rukuk (dalam solat iaitu ketika iktidal) kita membaca:

di-manakah-neraka-1

Maksudnya: “Ya Allah, ya Tuhan kami. Kepunyaan-Mu segala puji sepenuh langit dan bumi, juga sepenuh apa yang Engkau kehendaki sesudah itu.” (Riwayat Muslim)

Masalah langit, dan planet lain selain bumi, kini masih lagi menjadi bahan kajian atau penelitian ilmu pengetahuan moden. Salah satu penemuan daripada hasil kajian ini ialah mengenai ukuran jarak antara bumi dengan planet lain, dan jaraknya berjuta-juta tahun cahaya. Jarak antara kita dengan sebahagian bintang boleh mencapai berjuta-juta, bahkan berbilion-bilion tahun cahaya. Jika dikatakan luas syurga seluas langit dan bumi, ini tidaklah bererti bahawa Allah tidak berkuasa menggambarkan luas dan letaknya neraka. Bahkan lebih daripada itu pun Allah sangat berkuasa.

Pertanyaan ini sebenarnya persoalan yang sudah pernah diajukan oleh para sahabat kepada Rasulullah s.a.w. Demikianlah juga sebahagian ahli kitab pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w. mengenai makna ayat: “Syurga yang luasnya seluas langit dan bumi.” “Di manakah neraka?” tanya mereka. Rasulullah s.a.w. menjawab (dengan mengajukan pertanyaan): “Di manakah malam hari ketika siang?”

Abu Hurairah daripada al-Bazzar secara marfu‘ meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki bertanyakan hal ini kepada Rasulullah s.a.w., lalu Baginda menjawab: “Tahukah engkau ketika malam tiba dan menyelimuti segala sesuatu, di manakah siang berada?” Orang yang bertanya itu menjawab: “Siang berada di mana Allah mengkehendakinya.” Kemudian Nabi s.a.w. bersabda: “Demikianlah neraka. Ia berada di mana-mana Allah mengkehendakinya.”

Imam Ibn Kathir rhm. Dalam tafsirnya memberi pandangan mengenai riwayat tersebut dengan mengatakan: “Riwayat ini mengandungi dua pengertian:

Pertama, jika kita tidak menyaksikan atau tidak mengetahui di mana malam hari pada waktu siang, ini tidaklah bererti bahawa malam hari itu tidak ada pada suatu tempat. Begitu juga dengan neraka, ia berada di suatu tempat yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Hal ini sangat jelas.

Kedua, jika siang hari berlaku pada salah satu belahan dunia ini, malam hari berada pada belahan dunia yang lain. Begitu juga syurga. Ia berada di tempat ‘illiyyin yang paling tinggi, di atas semua langit, di bawah Arasy, yang luasnya sebagaimana difirmankan oleh Allah s.w.t. seluas langit dan bumi. Adapun neraka berada di bawah iaitu tempat yang paling bawah. Dengan ini, kenyataan kewujudan syurga yang seluas langit dan bumi itu tidak menafikan adanya neraka.”

Wallahu a‘lam.

Dr. Yusuf al-Qaradawi
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 2


Dr. Yusuf al-Qaradawi

Tidak keterlaluan dikatakan beliau tokoh ulama paling berpengaruh masa kini. Merupakan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam sedunia, sebuah pertubuhan yang menghimpunkan kesemua ulama daripada golongan Sunnah, Syiah dan Ibadhiah. Tesis PhD beliau “Zakat: Implikasinya Dalam Menyelesaikan Masalah Sosial” mendapat perhatian dunia Islam. Sehingga kini lebih daripada 120 buku yang ditulisnya. Beberapa kali dipenjarakan atas kelantangan dan sokongannya kepada Ikhwan al-Muslimin. Kini menetap di Qatar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Terkini daripada Dr. Yusuf al-Qaradawi

Kembali ke atas