Menu

 

A+ A A-

IKHLAS DALAM BERSAUDARA

MENGAPA sukar untuk mengikhlaskan diri tatkala menjalinkan hubungan sesama manusia? Pasti ada sekelumit niat sama ada untuk mendapat manfaat, kedudukan, perhatian dan pelbagai lagi tujuan lain, walaupun pada asalnya diniatkan hanya kerana Allah.

Menjalinkan persaudaraan sesama Muslim merupakan satu bentuk ‘taqarrub’ dan ketaatan kepada Allah yang paling baik. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya, orang yang beriman dan beramal soleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam diri mereka rasa kasih sayang.” (Surah Maryam 19: 96)

Persaudaraan Itu Ibadah

Cinta kerana Allah itu ikhlas, tulus, bebas daripada segala tipu daya, jauh daripada khianat, tidak akan dibimbangi mendatangkan mudarat, bersih daripada maksud duniawi dan kekal abadi. Tidak ada istilah “ada udang di sebalik batu” atau tujuan buruk yang lain kerana persaudaraan itu semata-mata untuk mendapatkan keredaan Allah.

Ada sebahagian daripada kita menganggap, ikhlas hanya boleh dipraktikkan dalam hal-hal ibadah khusus seperti solat, sedekah dan lain-lain. Tetapi sebenarnya, ikhlas juga dituntut dalam segala bentuk urusan termasuk bersilaturahim dan berbakti kepada orang lain.

Jika kita ikhlas kerana Allah, Allah akan mencintai kita dan menjadikan manusia cinta kepada kita. Sebaliknya, setiap jalinan ukhuwah yang tercipta di dunia dengan tujuan selain Allah, akan berbalik menjadi permusuhan pada hari kiamat. Dengan kata lain, jika ikatan persaudaraan itu dibina kerana Allah, ia akan kekal selamanya sehingga ke hari akhirat.

Ikhlas seharusnya disemai untuk menambah keimanan dan banyak lagi kebaikan yang akan kita peroleh dalam menjaga hubungan persaudaraan ini. Hati juga terdidik untuk menjauhi sifat hasad, dendam dan sombong. Selain ikhlas, ada beberapa lagi sikap lain yang diperlukan seperti simpati dan menjaga rahsia.

ikhlas-dalam-bersaudara-1

Kesempurnaan Iman

Kesempurnaan iman amat berkait rapat dengan kasih sayang. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Demi jiwaku yang berada dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman (dengan sempurna) sehingga saling mencintai.” (Riwayat Muslim dan Ahmad)

Orang yang beriman ialah hamba yang dipilih Allah dan diberikan kecenderungan untuk memberi manfaat dan menyayangi orang lain. Hati, lidah dan tubuh badannya dipelihara daripada sesuatu yang akan membuatkan orang lain teraniaya. Rasulullah s.a.w. ialah contoh teladan dalam setiap urusan terutamanya berkasih sayang. Baginda mempraktikkannya sebelum menyuruh para sahabat untuk melakukannya.

Banyak cara yang boleh kita gunakan untuk menjalin ukhuwah persaudaraan atau silaturahim ini. Paling afdal ialah dengan menziarahi mereka, terutamanya kaum kerabat terdekat, membantu mereka ketika dalam kesusahan dan sebagainya.

Manfaatkan Teknologi

Dengan adanya kecanggihan teknologi perhubungan dan komunikasi yang serba canggih kini, semua itu dapat dilakukan dengan begitu mudah sekali. Alat-alat komunikasi seperti telefon bimbit dan internet memudahkan kita untuk beribadah dan menambah pahala dengan menelefon, bertanya khabar, saling menasihati, bertukar-tukar pandangan dan sebagainya supaya silaturahim yang dijalin lebih erat, mantap dan kukuh.

Bukan itu sahaja, jarak perjalanan untuk mengunjungi atau menziarahi, terutamanya ibu bapa dan sanak saudara tidak menjadi halangan dengan sistem pengangkutan yang baik seperti kapal terbang, kereta api, kereta, malah, sistem jalan raya juga bertambah baik dengan pembinaan lebuh raya yang mampu menyingkatkan masa dan tenaga. Bukankah zaman serba moden seperti ini sepatutnya mengeratkan lagi silaturahim yang telah wujud?

ikhlas-dalam-bersaudara-2

Apabila hubungan persaudaraan antara keluarga dan masyarakat dijaga dengan baik dan utuh, negara juga akan mendapat hasilnya. Hasil yang baik itu merangkumi ikatan silaturahim yang bakal membentuk pengukuhan dari aspek ekonomi, politik, agama, sosial, dan lain-lain lagi.

Setiap orang yang beriman seharusnya mampu untuk menjadi penyayang dan berkasih sayang. Walaupun seperti bukan mudah untuk melaksanakannya, namun sebenarnya tidak sukar jika diniatkan dengan tulus ikhlas dan sentiasa memohon pertolongan daripada Allah s.w.t. semoga kita diberi kemudahan oleh Allah untuk mengamalkannya.

Mahfuzah Omar
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.8


Mahfuzah Omar

B.A (HSc) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Pernah bertugas sebagai editor penerbitan di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas