Menu

 

A+ A A-

PENENTUAN ANAK BULAN

BOLEH ustaz jelaskan cara menentukan bermulanya Ramadan?

MUKADIMAH: Ada tiga masa umat Islam perlu melakukan penentuan anak bulan atau disebut melihat anak bulan sebagaimana berikut:

1. Pada hari ke-29 Syaaban untuk menentukan 1 Ramadan bagi memulakan puasa Ramadan.

2. Pada hari ke-29 Ramadan untuk menentukan 1 Syawal bagi mengakhiri ibadah puasa dan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

3. Pada hari terakhir Syawal (boleh jadi 29 atau 30) untuk menentukan permulaan Zulhijah dan 10 Zulhijah bagi melaksanakan ibadah haji dan segala yang berkaitan dengannya seperti hari wuquf di Arafah dan sebagainya.

Sebenarnya ada tiga kaedah menentukan anak bulan Ramadan yang diguna pakai pada hari ini:

Kaedah 1:

Dengan cara melihat anak bulan pada hari ke-29 Syaaban ketika tenggelam matahari. Sekiranya kelihatan, maka 1 Ramadan ialah keesokannya. Kewajipan ini menjadi fardu kifayah untuk menyempurnakan kewajipan berpuasa.

Kaedah 2:

Menggenapkan bilangan 30 hari bulan Syaaban sama ada langit terang atau berawan sekiranya tiada siapa yang ternampak anak bulan Ramadan.

Kaedah 3:

Pengiraan menggunakan ilmu falak moden. Inilah pendapat kebanyakan ulama masa kini. Caranya dengan mentakdirkan anak bulan Ramadan ketika langit mendung dan berawan. Hujahnya ialah sebuah hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Apabila (langit) mendung yang menyebabkan tidak nampak anak bulan, maka hendaklah ditakdirkan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Imam Nawawi rhm. berkata:“Maknanya disempitkan baginya dan dikira di bawah awan iaitu diwajibkan berpuasa pada malam langit berawan itu.” Jumhur ulama berkata: “Dikira dengan dicukupkan bilangan 30 hari bulan Syaaban sebagaimana yang disebut oleh Nabi s.a.w. dalam hadis yang sahih.

penentuan-anak-bulan-1

PERBINCANGAN:

Al-Muhaddis al-Allamah Syeikh Ahmad Muhammad Syakir dalam risalahnya ketika menjawab persoalan sama ada dibolehkan menggunakan pengiraan falak dalam melaksanakan ibadah Islam yang berkaitan menjawab: “Menyandarkan kepada melihat anak bulan adalah kalangan ummah yang tidak tahu membaca dan mengira.

“Apabila keadaan telah berubah yang mana ummah boleh membaca dan mengira, maka hendaklah disandarkan kepada pengiraan falak tanpa bergantung kepada kepada orang bukan Islam untuk menentukan bulan-bulan Islam.”

Gagasan ini penting dan dapat menyatukan orang Islam sedunia. Hasilnya tidak lagi wujud sebarang percanggahan dalam menentukan bulan puasa, satu Syawal dan sebagainya. Pendapat ini turut disebut oleh al-Syeikh Rasyid Ridha dalam majalah al-Manar ketika mentafsirkan ayat-ayat berkenaan puasa. Senada dengan itu, al-Faqih al-Syeikh Mustafa al-Zarqá menyarankan umat Islam menggunakan hisab falak dalam menentukan tarikh puasa dan sebagainya.

Perlu dijelaskan bahawa ulama yang menghalang penggunaan hisab falak atas kebimbangan mereka sekiranya tindakan turut dikira sebagai ilmu nujum. Ilmu ini merujuk kepada satu amalan masyarakat dahulu yang meramalkan perkara-perkara akan datang berdasarkan bintang-bintang di langit. Meramal dengan bintang sememangnya haram sebagaimana hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang mengambil ilmu daripada bintang-bintang, maka ia mengambil satu bahagian daripada ilmu sihir.” (Riwayat Abu Daud)

Berbalik kepada persoalan di sini, usaha penyatuan umat Islam mengenai puasa, iftar dan kesemua syiar-syiar Islam mereka merupakan perkara yang dituntut dari segi syarak. Ini kerana perkara khilaf sentiasa ada dalam perkara cabang dan berlapang dada adalah mustahak supaya tidak timbul pertelingkahan. Di negara kita, pihak Jabatan Agama mengunakan ketiga-tiga kaedah di atas untuk menentukan anak bulan Ramadan dan lain-lain.

Rujukan:

Mughni al-Muhtaj, al-Khatib al-Syarbini.

Taisir al-Fiqh, Dr Yusuf al-Qaradawi.

Fatawa Dar al-Ifta’.

 

Mohammad Nor Mohammad Endut
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No. 4


Ustaz Mohamad Nor Mohamad Endot

Lulusan BA (hons) Syariah Islamiah di Universiti al-Azhar, Mesir dan MA. (Dirasat Islamiah) di Univ. Terbuka Amerika. Kini sedang menyambung pelajaran di UIAM. Antara guru beliau Syeikh al-Qaradawi, Syeikh Atiyyah Saqr, Syeikh al-Sya’rawi, Syeikh Ismail A’dawi,Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir). Kini beliau bertugas sebagai Editor Syariah untuk Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

Terkini daripada Ustaz Mohamad Nor Mohamad Endot

Kembali ke atas