LATIH ANAK-ANAK BERPUASA
- Ditulis oleh Rashidah Mustafa
- Kategori Ibadah
- Read 4599 times
SELANG beberapa minggu lagi kita akan menyambut bulan Ramadan yang mulia. Para sahabat Nabi begitu menanti-nanti Ramadan, sebagai bulan memperbanyakkan ibadah dan mencari keberkatannya. Mereka memaksimumkan apa sahaja amalan yang baik sepanjang Ramadan. Dan mereka akan menangisi Ramadan yang berganjak pergi.
Latih Anak-Anak Berpuasa
Apakah kita juga memiliki hati sebagaimana para sahabat, menanti-nantikan bulan Ramadan dan menangisinya ketika Ramadan meninggalkan kita? Jika belum, marilah kita mengatur strategi bawalah keluarga dan anak-anak banyak beramal, berdoa dan mohon keampunan daripadaNya.
Bagi ibu bapa yang mempunyai anak-anak kecil, mereka juga perlu diajak bersama-sama menghayati Ramadan. Anak-anak seumur tiga hingga tujuh tahun sudah boleh diajak berpuasa. Sebelum menyiapkan anak-anak berpuasa, ada beberapa tahap yang perlu dipraktikkan.
TAHAP PERTAMA
Sebagai persediaan mental, kenalkan anak-anak tentang puasa. Mengapa umat Islam diwajibkan berpuasa? Apakah ganjaran dan kegembiraan bagi orang-orang yang berpuasa dan sebagainya. Kenalkan apabila usia anak menginjak tiga hingga empat tahun kerana mereka pada usia sebegini sudah cerdik untuk memahami penjelasan atau makna puasa. Terangkan pada anak-anak bahawa berpuasa bukanlah sekadar menahan makan dan minum saja.
Kebaikan puasa juga dapat menahan emosi yang berlebihan seperti marah, kasar, malas dan sebagainya. Nyatakan berpuasa juga banyak memberi faedah kesihatan. Perut yang sentiasa bekerja sepanjang tahun perlu diberi rehat sepanjang tiga puluh hari. Bagaimana jika anak-anak ingin mencuba berpuasa ketika empat tahun?
Kita boleh benarkan namun sediakan batas waktu berpuasa untuknya. Misalnya setelah sarapan, mereka tidak boleh makan sehingga tengah hari. Kemudian mereka dibenarkan berbuka.
TAHAP KEDUA
Pada tahap kedua pula, barulah kita mula melatih anak-anak mempraktikkan puasa. Iaitu apabila anak-anak memasuki usia lima hingga tujuh tahun. Perlaksanaan puasa itu akan menjadi lebih mudah jika si anak telah difahamkan lebih awal akan kepentingan berpuasa. Hasilnya anak-anak akan menerima cabaran berpuasa tanpa rasa terpaksa lebih-lebih apabila melihat keseluruhan keluarganya mempraktikkannya.
Menyentuh persoalan bagaimana hendak melatih anak-anak berpuasa, ada beberapa perkara yang boleh dicuba atau diusahakan:
1. Lakukan Secara Bertahap
Ajak anak supaya bangun bersahur bersama kita. Sekiranya anak susah bangun, tangguhkan ‘sahur’nya pada waktu sarapan pagi. Setelah makan, galakkan dia supaya menyambungkan puasanya sehingga pukul 12 tengah hari. Sekiranya anak-anak tidak tahan, benarkanlah berbuka puasa. Berikan pelukan atau pujian betapa bangganya kita sebagai ibu bapa melihatnya berpuasa.
Walaupun puasa gagal dipertahankan hingga ke waktu Maghrib, ketika waktu berbuka ajaklah mereka duduk bersama, sebagai penghormatan kerana mereka telah cuba berpuasa. Keesokannya tingkatkan masa supaya mereka berpuasa dari waktu sahur sebenar hingga ke waktu tengah hari. Jika anak dapat bertahan, sambung lagi puasanya hingga ke waktu Asar. Jika anak tidak tahan, benarkan si anak berbuka dengan sedikit makan dan minum.
Seterusnya lanjutkan puasa ke waktu Maghrib. Katakan sekiranya si anak inginkan kegembiraan yang sebenarnya ketika berbuka, cubalah berpuasa dari waktu sahur hingga ke waktu Maghrib. Allah s.w.t. yang menjanjikan kegembiraan ini sebagaimana firman-Nya:
“Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan. Kegembiraan semasa berbuka puasa, dan kegembiraan semasa bertemu TuhanNya.” (Riwayat Muslim, Ahmad, alNasa’ie dan Ibnu Majah).
Memandangkan anak-anak yang berpuasa akan bersekolah pagi dan petang, berilah kerehatan untuk tidur sekejap selepas solat Subuh. Dengan tidur yang sekejap itu dapat memberi kesegaran dan tenaga untuk mereka belajar di sekolah.
2. Sibukkan dengan Aktiviti
Bagi anak-anak yang bersekolah sama ada di tadika atau sekolah rendah, mereka sebenarnya telah sibuk dengan berbagai-bagai aktiviti. Suasana gembira di sekolah sedikit sebanyak telah mengalihkan perhatian mereka daripada memikirkan soal makan.
Cuma cabaran apabila berada di rumah. Dalam keadaan itu ibu bapa boleh menyediakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah supaya masa anak-anak terisi. Jika kepenatan, benarkan anak-anak tidur tetapi jangan sampai berlebihan. Jika tidak, badan mereka menjadi bertambah lemah dan lapar.
Aktiviti-aktiviti yang menarik yang boleh disarankan misalnya mewarnakan buku cerita, melukis, membuat kad hari raya, membuat hiasan daripada manik-manik untuk saudara mara di kampung dan sebagainya.
Atau menolong ibu di dapur menyediakan bahan-bahan masakan untuk berbuka. Secara tak langsung, anak-anak akan kurang memikirkan soal makan dan minum.
3. Beri Ganjaran jika Berpuasa
Memberi ganjaran boleh menjadi penambah motivasi anak berpuasa. Ada berbagai-bagai ganjaran boleh kita berikan kepada anak-anak. Misalnya jika anak-anak berjaya berpuasa, kita akan membawanya ke bazar Ramadan. Berikan pilihan kepada mereka untuk memilih makanan yang di sukai untuk berbuka nanti. Atau bagi meraikan cubaan berpuasa itu, kita juga boleh memasak makanan kesukaannya. Atau pun kita memberikan hadiah yang tidak semestinya mahal misalnya pensel warna, sticker dan sebagainya.
Ibu bapa juga boleh menjanjikan hadiah misteri jika anak-anak dapat berpuasa penuh. Misalnya pergi melancong ke tempat bersejarah, taman rekreasi dan sebagainya. Ketika itu kita boleh suntikkan motivasi pada si anak, “Alhamdulillah. Oleh kerana ayah dan ibu memiliki anak yang soleh dan telah berpuasa penuh, Allah s.w.t. telah memberi rezeki berlebihan pada hari Raya ini.” Walau bagaimanapun, kita perlu ingatkan pada anak-anak. Berpuasa bukan kerana ganjaran atau upah, sebaliknya sebagai tanda cinta kepada Allah s.w.t. Barulah ibadah puasa dijalani penuh makna.
4. Jaga Waktu Tidur
Sekiranya anak-anak bersedia untuk menjalani latihan puasa, nasihatkan supaya tidur lebih awal. Jika anak-anak masih berbotol susu, berilah minum terlebih dahulu supaya mereka mendapat cukup bekalan kalsium. Sebelum tidur pula, kita boleh membaca atau menceritakan keberkatan Ramadan kepada anak-anak supaya mereka berasa akrab dengan Ramadan.
Misalnya pintu-pintu syurga dibuka pada bulan Ramadan, setiap doa kita, Allah s.w.t. akan dengar dan makbulkan dan sebagainya. Beritahu anak-anak bahawa mereka patut selalu bersyukur kerana mendapat makan dan beribadah dengan aman. Sedangkan di beberapa buah negara Islam yang lain berada dalam keadaan perang. Rakyat di sana masih dilanda kesusahan dan penderitaan.
Pada siang harinya, jangan biarkan anak-anak tidur berlebihan. Katakan kepada mereka bahawa para sahabat Nabi s.a.w. lebih aktif dalam bulan Ramadan. Allah s.w.t. menyukai orang mukmin yang kuat dan tidak malas.
5. Sediakan Makanan Berkhasiat ketika Sahur
Sesetengah orang tidak berasa selera untuk bersarapan pagi. Apa lagi jika hendak mengisi perut ketika bersahur pada awal pagi. Ada yang hanya minum segelas air dan kemudian menyambung tidur. Malah ada yang tidak bangun langsung untuk bersahur. Namun Nabi s.a.w. menggalakkan kita supaya mendapatkan keberkatan dengan bersahur. Mungkin anak-anak tidak berasa selera untuk bersahur. Sedangkan mereka memerlukan air dan zat yang lebih di dalam badan. Oleh sebab itu ibu bapa perlu menyediakan makanan yang seimbang yang mengandungi cukup karbohidrat, protein, lemak dan makanan berserat.
Memandangkan anak-anak aktif pada siang hari, biarlah mereka mendapat makanan lebih ketika bersahur. Semoga kita berjaya memujuk anak-anak berpuasa. Elakkan menghukum anak-anak jika tidak mahu berpuasa kerana mereka belum baligh lagi. Ajak mereka duduk semeja ketika berbuka. Namun ambil pendekatan psikologi supaya mereka rasa tercabar melihat abang atau kakak yang lain berpuasa. Secara tak langsung dapat menggalakkan mereka untuk turut serta berpuasa.
6. Balik Kerja Awal Sebelum Berbuka
Bagi meraikan anak-anak yang berpuasa, ibu bapa perlu pulang kerja lebih awal. Raikan anak-anak dengan memasak lebih jenis makanan berbanding dengan hari-hari biasa. Kemudian minta anak-anak agih-agihkan sebahagian makanan kepada jiran-jiran sebelah. Tradisi beri memberi ini boleh merapatkan silaturahim sesama jiran. Apabila datang kegembiraan di hati anak-anak ketika berbuka, mungkin mereka ingin berpuasa lagi keesokan harinya.
Oleh Rashidah Mustaffa
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10