Menu

 

A+ A A-

QUNUT NAZILAH SEMAI UKHWAH

‘‘Cubit paha kanan, paha kiri terasa jua,”

Itulah gambaran kasih sayang dan semangat ukhuwah yang ada dalam kalangan umat Islam.

Sabda Nabi s.a.w. bermaksud: “Perumpamaan orang-orang beriman antara sesama mereka dari segi kasih sayang, belas kasihan, cinta mencintai ialah ibarat satu jasad, apabila satu anggota mengadu sakit, seluruh anggota lain merasainya dengan berjaga malam dan demam.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain: “Orang Mukmin dengan orang Mukmin lain seumpama satu bangunan, saling menguatkan antara satu sama lain.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Subhanallah! Indahnya hubungan ukhuwah ini. Hari ini dunia menyaksikan sejarah pahit yang menimpa bumi umat Islam di Palestin. Serangan regim Zionis bertalu-talu mengorbankan beribu-ribu orang dan meranapkan rumah serta bangunan di sana. Sebagai umat Islam, kita turut berasa simpati dengan kesedihan yang dialami oleh umat Islam Palestin. Apakah kita tidak mempunyai perasaan belas kasihan kepada mereka? Sabda Nabi s.a.w:

“Barang siapa yang tidak berasa belas kasihan, maka ia juga tidak akan dipandang belas kasihan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh sebab itu, marilah sama-sama kita membantu mereka dengan apa jua cara yang terdaya. Antara cara yang boleh kita lakukan ialah berdoa. Tanpa perlu mengeluarkan modal berbilion ringgit, namun doa adalah senjata paling mahal milik umat Islam.

Fokus penulis dalam ruangan kali ini ialah doa qunut nazilah, kerana isu ini sangat penting diketengahkan bagi mendedahkan kepada masyarakat betapa pentingnya qunut ini. Ramai yang mengabaikan untuk membaca qunut nazilah. Mengapa? Mungkin tidak sedar ada ibadah doa qunut ini sebab mungkin merasakan sudah memadai dengan qunut waktu Subuh.

Atau memang mereka tahu, cuma rasa segan untuk melakukannya dek orang lain tidak membuatnya?

Inilah satu sunah Rasulullah s.a.w. yang mana ramai umat Islam tidak mengetahui tentangnya. Ala kullin, kita perlu ketahuinya sekarang. Islam menyediakan pelbagai medium untuk kita mendapat pahala selain memberipeluang kepada umat Islam menolong saudaranya di Palestin.

qunut nazilah

Apakah Ia Qunut Nazilah?

Dinamakan qunut nazilah atau qunut nawazil kerana ia disyariatkan ketika berlaku suatu peristiwa (nazilah). Nazilah ialah kata mufrad yang mana jamaknya ialah nawazil iaitu bala bencana yang menimpa umat Islam.

Maka sebab itu ia dinamakan qunut nazilah. Qunut ini sunat dilakukan apabila berlaku bala bencana atau musibah terhadap umat Islam dan dilakukan dalam solat lima waktu. Anas bin Malik r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah membaca qunut selama sebulan dengan melaknat kaum Ri’l, Zakwan dan Usoyyah yang menderhakai Allah dan Rasul-Nya. (Muttafaq alaih).

Bilakah Nabi lakukan qunut nazilah ini? Ibn Abbas menceritakan Rasulullah pernah qunut selama sebulan berturut-turut dalam solat Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh iaitu pada rakaat akhir selepas rukuk. (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Hakim). Ini membuktikan kepada kita qunut nazilah disyariatkan pada solat fardu.

Untuk makluman, qunut nazilah tidak disyaratkan membaca dengan begitu panjang atau lama, malahan yang digalakkan ialah kita berdoa dengan doa yang ringkas dan padat. Anas bin Malik pernah disoal adakah Nabi pernah membaca qunut dalam solat subuh.

Lantas beliau menjawab: “Ya, baginda qunut selepas rukuk dengan qunut ringkas.” (Riwayat Muslim) Selain itu, tiada lafaz khusus yang perlu dihafal dan diingati oleh mereka yang berdoa, apa yang penting ialah ia bersesuaian dengan bala yang menimpa umat Islam ketika itu. Ibn Taimiyah ada menerangkan: “Dan sunah ia membaca qunut ketika turun bala dan berdoamengikut kesesuaian kaum yang memerangi.” (Majmuk al-Fatawa, 21/155).

Inilah yang telah dilakukan oleh Nabi s.a.w. sebagaimana direkodkan oleh al-Bukhari dan lain-lain muhaddith. Selain itu, sunat bagi imam solat yang membaca qunut tersebut, membacanya dengan nyaring agar semua orang dapat mendengarnya dan mengaminkan qunut tersebut.

Imam al-Nawawi r.hm. menegaskan hokum ini: “Dan hadis qunut Nabi s.a.w ketika para qari sahabat r.a dibunuh menunjukkan bahawa baginda s.a.w. menyaringkan qunut dalam semua solatnya. Inilah kata-kata al-Rafi ’ie dan pendapat yang sahih atau benar iaitu sunat menyaringkannya.” (Al-Majmuk, 3/482)

Motif Qunut Nazilah

Antara maqasid syariah dalam pensyariatan qunut ini ialah menunjukkan musharakah maknawiah atau rasa turut serta bersama-sama keperitan umat Islam Palestin. Ertinya, walaupun kita dipisahkan beribu batu dengan halangan geografi antara bumi Malaysia dan Palestin, namun dengan doa qunut nazilah ini ia menanamkan rasa kebersamaan kita bersama-sama mereka menempuh kesulitan dan kepayahan. Lebih jauh dari itu, ia membangkitkan perasaan kasih sayang dan saling bantu membantu antara kaum Muslimin.

Melalui doa qunut yang dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia, para mujahidin Palestin pasti akan mendapat kekuatan rohani daripada Allah Taala. Inilah realiti yang pernah kita dengar, bahkan pernah kita lihat. Ibn Hajar r.hm., tokoh hadis yang mensyarahkan kitab Sahih al-Bukhari menjelaskan:

“Dan nyatalah bagiku hikmah mengapa dijadikan qunut nazilah pada waktu iktidal, bukan ketika sujud padahal sujud adalah lebih dianggap tempat mustajab. Ia adalah kerana apa yang dituntut dalam qunut nazilah ini ialah para makmum bersama-sama imam dalam doa walaupun hanya dengan lafaz amin yang diucapkan. Oleh itu, ulama bersepakat mereka hendaklah menyaringkan suara dengan lafaz amin.” (Fath al-Bari, 2/570)

Sebab itu, sunat bagi makmum mengaminkan doa imamnya dalam qunut nazilah ini. Amin yang diucapkan oleh makmum menunjukkan mereka betul-betul menyelami maksud doa, dan rintihan imam agar Allah Taala menyelamatkan bumi Palestin. Makmum yang mengaminkan doa imam membuktikan mereka sedar dan tidak leka betapa pedihnya musibah yang menimpa saudara Islam mereka.

Walaupun dibolehkan doa dalam sujud, namun doa dalam sujud adalah berbeza ketika qunut nazilah. Dalam sujud, doa adalah dilafazkan bersendirian, masing-masing dengan doa masing-masing. Manakala, qunut nazilah menunjukkan sekumpulan orang Islam yang ramai dalam satu saf bermunajat kepada Allah memohon kemenangan bagi umat Islam. Inilah yang dikatakan semangat kasih sayang yang ditonjolkan dalam qunut nazilah.

 SOLUSI 8 - 55

Qunut itu sendiri juga adalah satu doa minta kemenangan dan hakikatnya satu kemenangan dan pertolongan dari Allah Taala. Satu ketika, Sayidina Ali r.a pernah berqunut nazilah dalam suatu peperangan, lantas  beliau berkata: “Sesungguhnya kami meminta kemenangan ke atas musuh kami.” (Ibn Abi Shaibah, 2/103).

Inilah peluang kita, sama-samalah zahirkan keprihatinan anda kepada umat Islam yang menerima nasib yang perit di bumi Palestin. Ingatlah sabda Nabi s.a.w.: “Barang siapa yang tidak mengambil berat tentang hal ehwal orang-orang Islam, maka ia tidak termasuk dalam golongan mereka”.

Subhanallah! Nabi tidak mengaku kita sebagai  umat Islam andainya kita tidak menghiraukan  nasib sesama umat Islam.

Apa tunggu lagi, marilah sama-sama kita berdoa qunut bersama-sama untuk membantu rakyat Palestin yang berada dalam kesusahan. Susahnya mereka patut kita rasai bersama. Lahirkanlah kasih sayang sesama umat Islam melalui doa ini¤

 

Oleh Nik Abd Rahim Nik Abd. Ghani

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8

 


 

Nik Abd Rahim Nik Abd Ghani

Lulusan Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dalam bidang Syariah. Berkhidmat sebagai guru di Sek. Men. Imtiaz, Dungun pada tahun 2004-2005. Kini melanjutkan pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Syariah di Universiti Kebangsaan Malaysia di samping bergiat dalam bidang penulisan dan dakwah.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas