Menu

 

A+ A A-

JANGAN MEREMEHKAN SUNNAH

Ustaz, saya baru terbaca artikel dalam Internet yang menyatakan bahawa sunnah atau hadis nabi sebenarnya rakaman sejarah hidup Baginda sahaja. Segala hukum Islam terkandung dalam al-Quran. Hadis nabi hanya menguatkan sahaja. Apa pandangan ustaz?

Para ulama sepakat menetapkan sunnah sebagai hujah dan sumber hukum. Kita wajib beramal dengannya jika ia sabitnya bersumber daripada Rasulullah s.a.w. Ketetapan ini berdasarkan al Quran, ijmak ulama dan akal.

1.    Al-Quran menunjukkan bahawa apa-apa sahaja yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w. berkaitan hukum-hakam syariat ialah wahyu daripada Allah s.w.t. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan tiadalah yang diucapkannya (Muhammad s.a.w.) itu menurut kemahuan hawa nafsunya. Ucapannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan (kepadanya).” (Surah al-Najm 53: 3-4) Dapatlah difahami bahawa perkataan Rasulullah s.a.w. ialah sama seperti al-Quran dari segi sumber (asal usulnya). Kedua-duanya ialah wahyu daripada Allah s.w.t., tetapi sunnah diwahyukan dengan maknanya sahaja. Jika al-Quran pun wajib diikuti kerana ia daripada Allah, begitu jugalah dengan sunnah kerana maknanya daripada Allah.

2.    Allah s.w.t. telah berikan kepada Rasulullah s.a.w. tugas untuk menjelaskan makna-makna al-Quran dan menerangkan hukum-hukumnya. Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Dan kami turunkan kepadamu al-Quran, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa-apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka berfikir.” (Surah al-Nahl 16: 44) Daripada ayat ini pula dapat difahami bahawa penjelasan Baginda berkaitan satu-satu ayat al-Quran merupakan perkara yang amat perlu bagi membuat kesimpulan hukum. Maka sunnah adalah salah satu daripada dalil-dalil hukum.

3.    Banyak ayat-ayat yang menunjukkan bahawa wajib mengikut sunnah, antaranya firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan apa-apa yang didatangkan oleh Rasul kepada kamu, hendaklah kamu menerimanya, dan apa-apa yang dilarang olehnya, maka tinggalkanlah.” (Surah al-Hashr 59:7)

4.    Para ulama semenjak zaman Nabi s.a.w. hingga kini telah sepakat (ijmak) menetapkan bahawa wajib berpegang dengan hukum-hukum yang terdapat dalam sunnah dan mesti dirujuk kepadanya untuk mengetahui hukum-hukum syarak. Tiada seorang pun daripada generasi sahabat, tabiin dan tabi tabiin yang membezakan antara hukum yang terdapat dalam al-Quran dengan hukum yang terdapat dalam sunnah. Kedua-duanya wajib diikuti kerana berasal dari sumber yang satu iaitu wahyu Allah s.w.t..

Apakah kedudukan sunnah dalam perundangan Islam?

Sunnah ialah sumber syariat kedua selepas al-Quran. Tidak mungkin agama Allah ini sempurna kecuali dengan mengambil sunnah Nabi s.a.w. dan digandingkan dengan kitab suci Allah. Oleh kerana itu banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis mutawatir yang memerintahkan agar taat kepada Rasulullah dan berpegang teguh dengan sunnah dan menjadikannya sebagai hujah (dalil, bukti). Umat Islam juga telah berijmak dalam hal ini. Berikut ialah beberapa dalil daripada al-Quran dan hadis tentang hal ini:

sunnah
1.    Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul, dan ulil amri daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’ 4: 59) Maksud “kembali kepada Allah” ialah merujuk kepada kitab- Nya, manakala “kembali kepada Rasulullah” merujuk kepada Baginda s.a.w. semasa hidupnya dan kepada sunnahnya setelahBaginda wafat.

2.    Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud: “Katakanlah jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali ‘Imran 3: 31) Ayat ini menunjukkan bahawa hakikat cinta kepada Allah itu ialah ittiba’ (mengikuti) Rasul-Nya. Ittiba‘ al-Rasul itu adalah dengan mengikutinya dalam segala perkara baik dari aspek ucapan, perbuatan atau petunjuknya. Maka pengakuan cinta kepada Allah daripada orang yang tidak mengikuti hadis nabawi dan tidak memandang wajibnya mengamalkan hadis, ia pengakuandusta belaka.

3.    Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Semua umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan!” Sahabat bertanya: “Siapakah yang enggan wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Sesiapa yang taat kepadaku dia pasti masuk syurga dan sesiapa yang menderhakai aku, maka bererti ia enggan.” (Riwayat al-Bukhari) Daripada keterangan ini jelaslah bahawa berhujah dengan sunnah dan mengamalkannya adalah wajib. Kedudukannya sebagai sumber kedua selepas al-Quran wajib ditaati dan diikuti. Orang yang tidak mengambil sunnah pada hakikatnya sama dengan orang yang tidak menerima al-Quran. Taat kepada Rasulullah bererti taat kepada Allah, maksiat kepada Rasulullah s.a.w. bererti maksiat kepada Allah. Sesungguhnya jalan selamat dan benteng daripada kesesatan adalah dengan berpegang teguh kepada al- Quran dan sunnah secara seiring, menurut manhaj dan mazhab salafussoleh.

 

 

Dr. Abdul Basit Abd Rahman

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 3

 


 

Dr. Abdul Basit Haji Abdul Rahman (Abu Anas Madani)

Dr. Abdul Basit Bin Haji Abdul Rahman, dikenali juga sebagai Abu Anas Madani. Beliau adalah pendakwah yang tidak asing lagi di kalangan pencinta ilmu agama. Menjawat jawatan Pensyarah di Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) dan Musyrif (Penyelia) Pondok Sungai Durian, Kuala Krai, Kelantan, Panel Penasihat Dakwah, Kerajaan Negeri Kelantan tahun 1428-1429H serta beberapa jawatan lain.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

 

Kembali ke atas