Menu

 

A+ A A-

WUQUF BERSAMA RASULULLAH

Saya tertarik dengan teks khutbah Nabi semasa Haji Wada’ yang dijadikan poster di surau. Bolehkah ustaz terangkan keadaan dan suasana semasa Rasulullah menyampaikan khutbah tersebut? Boleh ustaz rumuskan beberapa isi penting yang seharusnya kita ambil perhatian daripada khutbah tersebut?

Jawapan:

Nabi menyampaikan khutbah tersebut semasa Baginda wuquf di Arafah. Peristiwa tersebut dirakamkan oleh seorang sahabat Nabi bernama Jabir dan diabadikan dalam kitab-kitab hadis.

Imam al-Nawawi mengulas: “Hadis ini merupakan hadis yang besar dan agung, mengandungi banyak faedah, mutiara dan kaedah yang penting.”

Al-Qadi Iyad berkata: “Para ulama telah berbincang berkenaan dengan hadis ini dari segi fiqah dan mengupas lebih lanjut, antaranya Abu Bakar Ibn al-Munzir yang menyebut lebih daripada 150 masalah.   Dan jika hendak dikira lagi, nescaya ia lebih daripada itu.”

       Antara kandungan hukum yang terdapat dalam hadis ini ialah

1.     Sunat untuk tidak berada di Arafah kecuali selepas tergelincir matahari atau masuk waktu Zuhur.

2.     Sunat jamak solat antara Zuhur dan Asar.

3.  Sunat mandi sebelum masuk Arafah untuk berwuquf

4. Wuquf ialah rukun haji. Wukuf disyaratkan di Arafah dan berbermula waktunya selepas Zuhur hingga terbit fajar pada hari ke-10  Zulhijah. Jika seseorang itu sempat berada di Padang Arafah pada waktu tersebut, maka dia dikira telah melaksanakan wuquf.

Antara pengajaran penting daripada khutbah agung tersebut:

     1. Haram membunuh, menumpahkan darah, mencedera dan menceroboh hak orang lain.Firman Allah s.w.t. mafhumnya:

    “Dan sesiapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka Jahanam. Dia kekal di dalamnya dAN Allah mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya.”  (Surah al-Nisa’ Surah al-Nisa’: 93)

    2. Sistem dan undang-undang jahiliah dimansuhkan dengan dengan undang-undang Islam.

   Firman Allah s.w.t. mafhumnya: “Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada  (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?” (Surah al-Maidah Surah al-Maidah: 50)

   3. Ancaman daripada sistem ekonomi yang berpaksikan riba.

Riba itu dosa yang amat besar dan memerah keringat manusia dengan sistem yang zalim. Maka balasannya cukup besar di sisi Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Orang yang makan riba tidaklah mereka berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kerasukan syaitan lantaran penyakit gila. Hal yang demikian itu disebabkan mereka mendakwa: “Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba.” (Surah al-Baqarah: 275)

Qatadah berkata: “Bahawa orang yang memakan riba itu pada hari akhirat kelak akan dibangkitkan dalam keadaan gila. Itulah suatu tanda pemakan riba yang akan dikenali semua orang yang sedang berdiri menunggu saat pengadilan Allah.”

4. Menjaga kehormatan dan amanah berkenaan wanita atau institusi kekeluargaan. Adab rumah tangga digambarkan dengan jelas sebagaimana firman Allah, mafhumnya: “Dan bergaullah dengan mereka secara patut.” (Surah al-Nisa’: 19)

5. Wajib berpegang dengan pedoman Ilahi dan nabawi daripada al-Quran dan sunnah. Rasulullah bersabda maksudnya: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara yang nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya jika berpegang dengannya iaitu kitab Allah dan sunnahku.”

6. Rasulullah meminta para sahabat menjadi saksi. Ini kerana Rasulullah bersifat dengan tabligh dan mustahil baginya bersifat menyembunyikan kebenaran. Bahkan tugas Rasul itu sendiri memberi maksud menyampai apa yang diperintah oleh Allah.

Setelah selesai Rasulullah menyampaikan khutbahnya, turunlah kepadanya ayat al-Quran yang bermaksud: “Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redai Islam itu menjadi agama bagimu.” (Surah al-Maidah: 3)

Wallahu a‘lam.

 

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas