Menu

 

A+ A A-

PANDUAN PUASA HARI ARAFAH

Fadilat Berpuasa Hari Arafah

Tahun ini saya bercadang untuk berpuasa sunat 9 Zulhijah sempena Hari Arafah. Boleh ustaz berikan sedikit panduan hukum berkaitannya?

RINGKASNYA: Berpuasa pada hari Arafah adalah sunat bagi mereka yang tidak mengerjakan haji. Disunatkan juga untuk berpuasa pada 8 Zulhijah (Hari Tarwiyah).

HURAIAN: Hari Arafah mempunyai kelebihan yang besar dalam syariat Islam. Maka, puasa pada hari tersebut tentunya mempunyai kelebihan dan fadilat yang besar juga. Justeru, seorang Muslim digalakkan berniat untuk berpuasa pada hari tersebut walaupun tidak mampu menunaikan puasa pada lapan hari sebelumnya.

Sebenarnya puasa pada hari tersebut ialah peluang untuk membersihkan segala dosa yang dilakukan. Ini kerana setiap manusia pasti melakukan dosa kerana mereka tidak maksum. Nabi bersabda yang bermaksud: “Puasa pada hari Arafah, aku mengharapkan supaya dihapuskan (dosa) pada tahun sebelumnya dan selepasnya.”(Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, Ibn Abbas berpendapat bahawa orang yang berpuasa pada hari Arafah akan hidup hingga ke tahun akan datang. Ini kerana Allah telah hapuskan dosanya awal-awal lagi. Nabi tidak akan bercakap ikut suka sahaja melainkan berdasarkan wahyu.

TAMBAHAN: Adapun bagi jemaah haji, adalah disunatkan supaya tidak berpuasa pada hari itu. Ini supaya dapat menguatkan mereka untuk berzikir dan beribadah kepada Allah semasa mereka sedang berkumpul di sana.

panduan-puasa-hari-arafah-1

Gabung Niat Qada dan Sunat

Bolehkah saya berpuasa pada 9 Zulhijah dengan dua niat sekali gus: qada sehari puasa Ramadan yang saya tinggalkan dan puasa sunat hari Arafah?

RINGKASNYA: Boleh dengan syarat jadikan niat utamanya adalah untuk puasa qada.

HURAIAN: Prinsipnya, dibolehkan meletakkan niat puasa sunat di bawah niat puasa wajib. Jika meletakkan niat puasa wajib di bawah niat puasa sunat, maka tidak boleh.

Justeru, orang yang ada puasa Ramadan yang tertinggal boleh mengqada puasanya pada hari tersebut sambil berniat untuk puasa sunat hari Arafah.

HUJAH: Hukum ini dikiaskan kepada seseorang yang masuk ke dalam masjid lalu solat dua rakaat sebelum duduk dengan niat solat fardu atau sunat rawatib. Dia akan memperoleh pahala solat sunat Tahiyat al-Masjid. Al-Syeikh al-Bujairimi menyatakan dalam Hasyiahnya: “Dan terhasil dua rakaat solat iaitu kelebihannya (pahalanya) sama ada dia solat fardu atau solat sunat yang lain walaupun sama ada kamu niat bersamanya atau tidak. Dalilnya hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Apabila kamu memasuki masjid maka janganlah duduk sehingga kamu solat dua rakaat.”

panduan-puasa-hari-arafah-2

Hukum Puasa Pada 13 Zulhijah

Apa hukum berpuasa pada 13 Zulhijah? Bukankah 13 Zulhijah itu sebahagian dari hari Tasyrik dan dalam masa yang sama juga termasuk hari “putih”?

RINGKASNYA: Tetap haram berpuasa pada hari tersebut.

HURAIAN: Sama ada puasa sunat atau wajib, kita tidak boleh berpuasa pada hari tersebut. Walau bagaimanapun, hukum ini dikecualikan bagi orang yang mengerjakan haji yang dikenakan membayar dam. Ini kerana sesiapa yang tidak dapat menyembelih binatang korban, dia dikehendaki untuk berpuasa selama tiga hari di Tanah Haram dan tujuh hari lagi apabila kembali ke negeri masing-masing sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Baqarah ayat 196.

Dalilnya ialah sebuah hadis yang bermaksud: “Tidak diberi kelonggaran pada hari Tasyrik untuk berpuasa kecuali bagi sesiapa yang tidak mendapati binatang korban (untuk membayar dam) .” (Riwayat al-Bukhari)

TAMBAHAN: Pada 14 dan 15 Zulhijah dibolehkan berpuasa kerana kedua-dua hari tersebut bukannya hari Tasyrik.

Wallahu a‘lam.

Rujukan :

1. I‘anah al-Talibin, Syeikh Abu Bakr al-Dimyati al-Syafi‘i.

2. Hasyiah al-Bujairimiy ‘Ala Kitab al-Iqna‘, al-Khatib al-Syirbini.

3. Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, Syeikh ‘Atiyyah Saqr.

Ustaz Mohammad Nor Mohammad Endut

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Mohammad Nor Mohammad Endut

Sarjana Muda Syariah, Universiti al-Azhar. Sarjana Pengajian Islam, American Open Universiti, Mesir. Sedang menyambung pengajian di peringkat PhD di UIAM. Berguru secara langsung dengan beberapa ulama besar antaranya Syeikh ‘Atiyyah Saqr, Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi, Syeikh Ali Juma‘ah. Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Terkini daripada Mohammad Nor Mohammad Endut

Kembali ke atas