Menu

 

A+ A A-

10 PANTANG LARANG IHRAM

Ditulis oleh 

SAYA akan menunaikan haji pada tahun ini. Cuma saya agak bimbang kerana dimaklumkan ketika ihram ada perkara-perkara yang perlu dijaga dan sekiranya saya melanggarnya saya akan dikenakan dam. Harap Dr. Zulkifli dapat menjelaskan apakah perkara yang haram semasa berihram?

Terdapat 10 perkara haram yang wajib dielakkan oleh orang yang berihram haji atau umrah:

10-pantang-larang-ihram-1

1. Memakai pakaian yang disarung di badan dan memakai kasut. Walau bagaimanapun, boleh memakai selipar yang tidak menutup kakinya.

2. Menutup kepala atau sebahagiannya dengan sebarang penutup seperti serban dan songkok kecuali kerana keuzuran. Walau bagaimanapun, tidak mengapa berteduh di tepi dinding atau dengan payung yang tidak mencecah kepala. Kedua-dua tegahan tersebut adalah haram bagi lelaki sahaja.

Hal ini berdasarkan sebuah hadis. Ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi: “Apakah jenis pakaian yang boleh dipakai oleh orang yang berihram?” Baginda menjawab: “Jangan memakai baju, serban, seluar, topi dan kasut, kecuali apabila ketiadaan selipar maka bolehlah memakai kasut yang dipotong bahagian bawah buku lali. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Menyisir rambut sama ada dengan sikat, kuku atau dengan sebarang alat sekalipun.

4. Mencukur rambut atau mencabutnya kecuali apabila terpaksa berbuat demikian. Begitu juga haram mengguntingnya walaupun sekerat daripada sehelai rambut.

Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah. Sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahalul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati. Janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahalul) sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya.

“Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu ia mencukur rambutnya), hendaklah ia membayar fidyah iaitu berpuasa, bersedekah atau menyembelih.

“Kemudian apabila kamu kembali dalam keadaan aman, maka sesiapa yang mahu menikmati kemudahan dengan mengerjakan umrah (dan terus menikmati kemudahan itu) hingga masa (mengerjakan) haji, (bolehlah ia melakukannya kemudian wajiblah ia) menyembelih dam yang mudah didapati.

“Kalau ia tidak dapat (mengadakan dam), maka hendaklah ia berpuasa selama tiga hari dalam masa mengerjakan haji dan tujuh hari lagi apabila kamu kembali (ke tempat masing-masing). Semuanya itu sepuluh (hari) cukup sempurna.

“Hukum ini adalah bagi orang yang tidak tinggal menetap (di sekitar) Masjidilharam (Makkah). Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah. Ketahuilah bahawasanya Allah Maha berat balasan seksa-Nya (terhadap orang-orang yang melanggar perintahNya).” (Surah al-Baqarah: 196)

Ulama fiqah mengiaskan hukum rambut kepala dengan bulu di seluruh badan kerana tidak ada sebab yang membezakan hukum kedua-duanya.

5. Memotong kuku sama ada banyak atau sedikit sebagaimana hukum memotong rambut kecuali disebabkan keuzuran seperti kuku yang terkopak dan menyakitkan yang terpaksa dipotong.

6. Memakai bau-bauan iaitu sengaja mengenakannya pada mana-mana bahagian badan. Begitu juga makan dan minum sesuatu yang bercampur dengan bau-bauan, duduk atau tidur di atas hamparan atau lantai yang terdapat bau-bauan tanpa berlapik dan menggunakan sabun wangi ketika mandi. Walau bagaimanapun, tidak mengapa mencium bunga mawar dan airnya sama ada yang ada di dalam bekas atau yang ditanam.

Pengharaman tersebut berdasarkan ijmak ulama kerana ia jelas merupakan unsur kemewahan yang bertentangan dengan hikmah haji. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Orang yang mengerjakan haji itu kusut dan berdebu.” (Riwayat Muslim)

7. Membunuh binatang buruan yang halal dimakan iaitu binatang darat yang liar. Begitu juga menangkapnya untuk mendapatkan mana-mana bahagian badannya seperti bulu dan sebagainya. Sementara binatang laut dan binatang jinak seperti lembu, kerbau, ayam dan itik tidak termasuk dalam larangan ini walaupun ia liar.

Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram.

“Sesiapa antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang yang adil antara kamu sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci).

“(Jika tidak mampu) atau bayaran kafarah iaitu memberi makan orang miskin atau berpuasa sebanyak (bilangan cupak yang diberikan kepada orang miskin) supaya dapat ia merasai kesan buruk perbuatannya.

“Allah maafkan apa yang telah lalu. Sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.” (Surah al-Maidah: 95)

8. Akad nikah sama ada orang yang berihram itu sendiri atau wakilnya. Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Orang yang berihram tidak boleh berkahwin dan mengahwinkan orang lain.” (Riwayat Muslim) Jika berakad nikah maka akad tersebut tidak sah.

9. Bersetubuh. Hal ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “(Masa untuk mengerjakan ibadat) haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, membuat maksiat dan bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat haji.

“Apa jua kebaikan yang kamu kerjakan diketahui oleh Allah. Hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri (dari keaiban meminta sedekah). Bertakwalah kepada-Ku wahai orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (Surah al-Baqarah: 197)

10. Melakukan perbuatan yang menimbulkan berahi seperti berdakapan, berkucupan, melancap dan sebagainya. Hal ini adalah kerana kesemuanya termasuk dalam perbuatan senggama ( الرفث ) yang ditegah semasa berihram sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat-ayat tersebut.

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.7


Read 13335 times
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.