ALLAH MEMBERI UNTUK KITA MEMBERI
- Ditulis oleh Pahrol Mohd Juoi
- Kategori Ibadah
- Read 7216 times
KITA dilahirkan sebagai umat yang memberi. Apabila bertemu sahaja saudara seIslam, sama ada yang dikenali atau tidak kita dianjurkan untuk ‘memberi’ salam dan senyuman. Di dalam solat, kita memberi doa. Dalam zakat, kita memberi harta.
Menjadi umat Islam secara automatic menjadi umat yang ceria. Ini kerana kita telah ditarbiah dan dilatih untuk memberi. Apabila ceria, apa sahaja yang kita buat akan ‘menjadi’. Kita akan membuatnya ‘dari hati’, bukan sekadar ‘ambil hati’. Maksudnya, orang yang ceria sewaktu melaksanakan sesuatu pekerjaan akan lebih mudah untuk ikhlas.
Natijah, hasil kerjanya akan lebih berkualiti. Sebaliknya, orang yang muram, marah, merungut sewaktu melaksanakan kerja, hasilnya akan mengecewakan. Produktiviti dan kualiti kerjanya akan merudum.
Namun mengapa kita masih sukar untuk memberi? Kata orang, kita sukar memberi kerana itu akan mengurangkan. Orang yang diberi tidak pandai berterima kasih, kata orang yang lain. Apakah yang hendak diberikan? Saya tidak punya apa-apa untuk diberikan. Begitulah alasan yang selalu kita dengar daripada mereka yang sukar memberi. Sebenarnya, mereka sedang memberi alasan mengapa mereka tidak gembira dalam hidup!
Jangan mengharap terima kasih daripada orang yang menerima kebaikan daripada kita. Umumnya, manusia tidak pandai berterima kasih. Tetapi jangan sekali-kali berhenti memberi hanya kerana itu. Lihatlah bagaimana kasih saying Allah, yang terus memberi walaupun kebanyakan manusia tidak pandai bersyukur.
Begitu banyak Allah memberi, begitu sedikit manusia yang bersyukur tetapi hebatnya Allah terus-terusan memberi. Justeru, siapa kita yang memberi hanya sedikit, tetapi mengharapkan terima kasih yang banyak?
Kita sebenarnya sentiasa ada sesuatu untuk diberikan. Cuma pengertian kita tentang rezeki perlu diperluaskan. Rezeki itu bukan hanya pada wang ringgit, harta benda dan lain-lain yang berbentuk material, tetapi juga meliputi segala nikmat termasuk ilmu, kesihatan, sahabat, masa, tenaga, hidayah dan lain-lain. Nikmat ini terlalu banyak. Allah menegaskan dalam al-Quran bahawa manusia tidak akan terhitung nikmat-nikmatNya. Oleh sebab nikmat itu terlalu banyak, maka tidak ada alasan untuk kita tidak memberi!
Sekalipun si miskin, dia masih boleh memberi doa, senyuman, masa dan tenaganya kepada orang lain. Ya, Allah suka kepada si kaya yang pemurah tetapi Allah lebih suka kepada si miskin yang pemurah. Sikap pemurah bukan ditentukan oleh banyak atau sedikitnya harta. Tetapi oleh baik atau buruknya rasa di dalam jiwa. Ya, bukan soal kuantiti harta yang kita miliki, tetapi oleh kualiti hati yang ada di dalam diri.
Oleh itu jangan hairan jika ada orang miskin yang lebih ceria hidupnya berbanding si kaya. Semuanya ditentukan oleh kemampuan memberi. Kata penulis tersohor, Dr. Aid al-Qarni, orang yang pertama mendapat manfaat daripada suatu kebaikan ialah orang yang melakukannya. Hakikatnya, perbuatan memberi itu ialah suatu kebaikan. Oleh itu, orang yang memberi ialah insan pertama yang mendapat manfaat daripada apa yang diberikannya.
Orang yang memberi salam (memberi doa), akan terlebih dahulu mendapat keberkatan daripada doanya. Kemudian barulah orang yang menerima ucapan salamnya. Ya, tepat seperti mana yang diungkapkan oleh orang yang bijaksana, tangan yang menghulur bunga mawar pasti berbau harum. Dengan menyalakan lilin oranglain dengan lilin kita yang bernyala, tidak akan mengurangkan cahaya lilin kita. Sebaliknya kita akan mendapat lebih banyak cahaya!
Namun di mana salahnya apabila memberi tidak menggembirakan kita lagi? Memberi tidak akan menimbulkan kegembiraan apabila kita melakukanya tanpa rasa kasih sayang. Itu sebabnya. Jadi, apabila kita merasa malas, sukar dan jemu untuk memberi, itu ialah petunjuk yang jelas bahawa kasih sayang telah terjejas. Memberi hanya akan menggembirakan apabila disertai rasa kasih sayang di dalam hati. Soalnya, mengapa kasih sayang boleh terjejas?
Kasih sayang sesama manusia Terjejas, apabila iman kepada Allah terjejas. Iman dan kasih sayang mempunyai hubungan kesalingan yang sangat rapat. Iman berkadar terus dengan kasih sayang. Sikap kurang memberi, berpunca daripada rasa tidak gembira melakukannya. Rasa tidak gembira itu petunjuk kepada kurangnya rasa kasih saying dan kurangnya kasih sayang menunjukkan kurangnya iman. Cinta dan kasih kepada Allah dalam diri seseorang akan merangsang kasih sayangnya kepada manusia.
Jadi, sekarang kita sudah jelas mengapa umat Islam kini belum benar-benar produktif dan kualiti kerja umat masih rendah... kita hanya bekerja untuk menerima, bukan untuk memberi. Masih ramai yang tidak sedar, Allah memberi untuk kita memberi!
PAHROL MOHAMAD JUOI
Sumber artikel daripada GEN-Q 10
Pahrol Mohd Juoi
Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.